Wednesday, June 27, 2007

Mulaikan harimu sayang


Memang, pada ketika-ketika waktu kita perlu membisikkan sayang pada diri sendiri.
Kerana, apabila terlalu sibuk memikirkan kecintaan yang lain kita jarang sekali merenung ke dalam diri untuk berkata pada diri, "Oh, engkaulah sebenarnya yang aku cintai."
Lebih kerap pula menghukum dan menghina diri apabila melihat/ cemburu pada orang lain yang pada sisi kita, dia lebih baik dan mulia.


Malahnya, terus-terusan pula kita membentak dalam hati tentang laku sendiri yang membebalkan sedang jalan usaha pembaikan tidak ada.



aduh diriku! Kau sebenarnya tidak tahu, aku begitu sabar menjagamu, menatangmu, membelaimu dan mengukuhkan dirimu kerana aku mencintaimu!


dan, biarlah aku bisikkan satu rahsia padamu diriku, kerana Tuhan ciptakan makhlUkNya, lalu dirimulah diciptakan dalam diriku untuk bersama kita menjadi SATU MANUSIA.


Aku dirimu Ummu Hani diriku




Nak jadi macam abah


Wednesday, June 20, 2007

Catatan Minggu Yang Lepas

DIARI CIK UMMU 2007

Ayo. Sejujurnya aku menulis kisah ini lebih awal tetapi kerana ruwetku meredah jadual sibuk, maka tidak upayalah aku medahului perkara yang kedua atau ketiga penting berbanding yang pertama. Panasaran juga tanpa mencatat di sini. makanya, yang ketiga penting itu aku tulis juga. Jam sekarang di putaran enam petang. Aku mangsi atas tilam tanpa sebarang hiruk akhi akhawatku di luar kamar.

Ghizlan (gadis mesir), Zahra Kamilia (anak dr kamariah kamaruddin- bakal penulis hebat ni ikut jejak bondanya) dalam pelukan cik ummu

Tadi, baru saja mendapat smsnya Ghizlan. Who Ghizlan? Oya, dia teman baruku hampir dua minggu udah. Dia teman istimewa daripada teman-teman biasa. Istimewanya tidak sampai mengatasi keistimewaan teman-teman seharian yang lebih dahulu mengenal hati budi dan sabar melayani karenahku cumanya, Ghizlan ini tidaklah kutemui pada perempuan (teman-teman) di Malaysia ini kerana dia perempuan Mesir. Biar kuselitkan di sini perkara sampingan (kerana tulisanku, bebas aku berekspresi loh!) sejak membaca Ayat-Ayat Cinta (yang terbitnya sekitar 2004 tapi aku mula baca mei 2007. Kasihan betul aku) nyata kecintaan aku pada dua negara yang rapit dalam AAC juga memuncak kadang buat aku gila mahu jadi macam Nurul, atau dapat jadi sedikit keFahrian pun tak apa (kegilaan ini samalah seperti aku gilakan Kak Sal dalam TTD hingga lahirlah Ladang Hati Mustika. Aku doa semoga kegilaanku pada Nurul atau Fahri bolehlah aku lahirkan TULIP BAROMKHEH dengan baik. Amen)

(Inilah rupanya anak baru Kak Nisah Haron-Salsabila namanya)

Yang sebenarnya, sebaik AAC berserabut dan menggilai diriku, Kuasa Tuhan begitu Agung mempertemukan aku dengan manusia yang bisa membawa aku ke dunia lebih besar iaitu Ghizlan dari Mesir dan Pak Saifullah Skmalie dari Jakarta.

Wina dan Cik Faez bersama tauke Ujana Ilmu, Encik Nasir (suami Kak Nisah Haron)

Ghizlan. Simple saja pertemuan kami iaitu di suatu majlis walimah anak teman abah di Bangi. Ghizlan bersama supervisornya Datuk Mansor dan isterinya. Aku datang dengan abah dan Hamdi. Di majlis itu, kebetulannya Ghizlan menjamah selera di sisiku. Lalu, wujudlah lingkaran ukhwah kami. Sejak itu, aku telah muncul teman Malaysia pertamanya sehingga sekarang dia punyai ramai teman lagi dengan kehadiran teman-temanku yang lain seperti Dr Ju, Faez dan Wina. Ghizlan. Umurnya 25 tahun. Sudah tingkat sarjana di Kuliah American Univercity di Cairo. Sekarang sedang membikin tesis tentang hubungan negara2 Islam dengan Mesir. Dia jatuh cinta pada Malaysia (juga sedang mencari jejaka Malaya yang sudi) jadi datang seorang diri ke Kuala Lumpur dibiayai universitinya untuk mengumpul data khususnya di Universiti Malaya. Ghizlan anak jati Egpyt. Dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan. Dua adiknya juga masing2 calon B.A dan majester. Dia wanita muda, intelek dan terbuka malah islamis. Kerana bila aku tanya, inikah pakaianmu juga di Mesir, katanya, ya. Dia turut keharuan melihat muda-mudi globalisasi di Kuala Lumpur (yang udah jauh menyimpang) sama sahaja seperti di negaranya. Walaupun begitu, anak gadis Arab hidung mancung ini lebih gemar berbahasa Inggeris berbanding bahasa Arab. “Aku hanya pandai ammi, fushahnya kurang,” balasnya padaku. Tapi aku tetap degil bercakap Arab dengannya walaupun jawapan bibirnya dalam bahasa penjajah negaraku dulu, tak kisah.

Ghizlan gembira dengan teman2 baru Malaysia, Wina dan Faez. Di depan rumah Kak Nisah

Tentang Pak Saifullah kamalie. Ini pertemuan yang biasa terjadi di zaman IT dan tivi. Iaitu emel. Dia kenali aku sewaktu diwawancara di kantor Selamat Pagi Malaysia, sabtu lalu dalam ruangan resensi buku. Aku rasa tidak ramai yang tahu selain keluarga juga teman2 rapat. Cuma keluargaku di kampung telah heboh sekali aku di televisyen hingga makcik2 tua turut setia menantiku pagi itu. Nanti aku letakkan di sini rakaman yang dibuat teman2 Az-Zahra (yang ribut sekali hingga kak Jibah tak habis ngusik- artis baru..hehe) sejujurnya, aku malu kerana membuat beberapa kesilapan sewaktu ditemubual dua pengacara cantek.

Gembira ke Kuala Klawang

Terus saja tentang Pak Saifullah yang selesa dipanggil Pakcik Saiful. Dia calon Doktor (PHD) di UM. Tinggalnya di Kolej 12 UM bersama anaknya yang juga belajar di sana. Pagi sabtu itu, dia terlihat aku di tv bersama promo novelku. Dan kerana aku ini lulusan UM langsung gerakkan hatinya mendapatkan Ladang Hati Mustika di toko MPH MidValley. Katanya lagi, dia mengusaikan novelku begitu cepat malahnya teringin berkenalan dengan Nur Mustika. Aku tidak lebih daripada 50 peratus Nur Mustika. dia patut tahu sebelum jatuh hati berkenalan dengan watak tipa LHM. Rupanya dia juga kepingin tahu tentang watak2 yang lain (dihafal dengan baik Pak Saifullah) mahu tahu Faez, teman2 az-Zahra, disebutnya juga Hanif, Bayu Ilhami, Fuad juga Afaf. Hah! Paling lucu mahu dia kenal dan sunting Mama Am yang katanya tidak kahwin2 itu. Dia juga teringin bertandang kampung Gajah Puteh. Ayo! Tidak ada lagi respon pembaca yang begitu sungguh2 seperti Pak Saifullah. Tambahan dia orang ‘besar’. Lulusan Universiti al-Azhar, Indonesia kemudian master di Universiti Madinah kini penuntut doctor falsafah di UM. Umurnya hampir sebaya abah-48 tahun. Isterinya doctor gigi di Jakarta juga dua anaknya Ammar ,Afaf dan Huda. Dia tinggal hampir setahun belajar di UM tetapi bukan sekadar belajar kerana dia turut berperanan jalinkan hubungan akademik di antara pelajar2 Malaysia dengan Indonesia. Di Jakarta, dia punyai pasantren dan turut menjawat jawatan di Universiti di Indonesia. Aku paling haru bila dia mau jemput aku bertukar pandangan dengan pelajar2 agama di Indonesia. Mau sekali. Mau sekali!

Novel FT baru yang dibeli Faez kat Ujana Ilmu

Nanti aku akan jumpakan Pak Saifullah dengan watak2 yang mekar dalam LHM. Barangkali bukan Uncle Sepet kerana Uncle tidaklah seramah dalam LHM..hehehe. Mama Am pun bukan meski dia persis x. bos di Warta Darul Aman dulu.

Ghizlan. Nanti minggu hadapan aku mahu bawa dia berlibur di bukit cerakah dengan basikal dan sepatu sukan. Mek Mesir ini begitu teruja mahu tengok binatang dan jatuh cinta pada hutan.

Pak Saifullah pula yang sudah lebih menterjemahkan 30 buah buku Arab ke bahasa Indonesia beriya mahu berjumpa abah berbincang tentang dunia penulisan dan terjemahan.

Keduanya akan membantu padatkan jadualku yang mula akan bergelar seorang pelajar lagi di UM.

Mahu ngungsi diri dulu.

!

Wednesday, June 13, 2007

Bawak bawaklah bersabar!
Mengucup Sejadah Cinta!

Tuesday, June 12, 2007

Si hilwa eh..

Cerpen ini tersiar dalam Mingguan Malaysia- 9 Jun 2007

PUTIK QUNAITARA
Oleh :Ummu Hani Abu Hassan
(Sepanjang di Syria, paling mengesankan di jiwa ialah kanak2nya . Sebab itu karya saya yang telah dihasilkan setakat ni lepas balik syria banyak tentang mereka - sebuah novel dan dua cerpen)



“Anakku, aku ibumu ingin berpesan. Jika berjalan, peganglah tanganku erat-erat.” Ibu menghembus dahiku, anak rambut berwarna perang terkibas ke atas. Topi berjambul biru masih lekap mendinding dingin kepala. Ibu menarikku dekat ke sisinya. Jemari kami berangkulan ketika melintas jalan menuju ke Jisr Rais.
“Wajah Dimasyq cepat malap di musim dingin. Aduh! Kita selalu berkejar dengan masa sayang.

Ibu makin erat menggenggam tanganku. Memandang sekeliling, semua manusia seperti ibu. Berjalan tangkas ke depan, menunu dan meluru langsung tidak menghiraukan orang lain. Aku jika tidak dipeluk ibu, sudah tertiarap di tubir tangga jejantas. Apakah orang-orang dewasa mempunyai perasaan seperti bangunan-bangunan batu yang berselerak seluruh Jabal Muhajirin? Tidak halus memikirkan makhluk yang lain? Suam tangan ibu berminyak di jariku.





Kami menaiki service berlabel Kud’sia. Ibu memangku badanku atas pehanya kemudian menyua syiling 5 lirah kepada pemuda di sebelah. Ibu tidak ralat menampung montel tubuhku semata tidak mahu membayar lebih daripada harga seorang penumpang. “Bapamu kedekut,” keluh ibu setiap kali anak mataku menikam mata ibu. Kasihan. Perjalanan 45 minit ke Nazlah Kud’sia dalam service sempit biasa bagi ibu. Aku atas ribanya, beg comelku dimasukkan dalam beg kerja ibu yang turut diletak sebelah kiri pehanya. Biasanya, tubuh kami dihimpit pula lelaki-lelaki besar seperti juga tubuh bapa, seorang jundi Syria. Jika nasib tidak baik, hidung kami menampung hamis penumpang sebelah yang rata-ratanya jarang mandi di musim sejuk. Aku lalu menempek hidung di balik kerudung ibu. Masam ibu lebih bagus daripada kelat hapak lelaki-lelaki itu.
Mataku mencenung ke luar tingkap, pemandangan yang sama sejak setahun aku berulang-alik dengan ibu dari rumah kami di Jaddat Qudsayya ke Madrasah al-Imran di Pekan Baromkheh. Ibu bertugas sebagai anisah kanak-kanak bisu yang ratanya berumur seusiaku sehingga umur 12 tahun. Kini, aku sudah mencapai umur tadika, ibu meletakkan aku di bawah jagaan seorang pengasuh, Umm Kamal. “Kamu boleh bercakap, tidak seperti mereka,” keluh ibu ketika aku merengek mahu duduk semeja dengan anak-anak muridnya.





Banjaran Beludan ditutupi salji putih. Aku meletak telunjuk ke cermin service, tersengih mengerdip ibu. “Sudah empat kali demam masih tidak serik?” Ibu menggeleng kepala. “Budak-budak..” balas seorang nenek di belakang kami. Dia memerhati aku sahaja sejak naik kenderaan berdebu ini.
Nenek itu senyum-senyum manja menggodaku. Gelember mukanya tambah menggelikan hati. Aku ketawa berdecit sambil menyorok lagi ke dada ibu bila tangan si nenek mula gatal mahu menyentuh. “ Ya hilwa..” katanya. Ibu mengerling perempuan tua itu. “Dia kanak-kanak pemalu puan,” kata ibu menerang dudukku. “Ana banat,” bisik nenek ke telinga ibu. Ibu ketawa spontan. “Kasihan, dia tidak pernah berkahwin pun. Mahukah kamu jadi cucunya?” ibu membisik pula ke telingaku. Tidak mahu!!! Aku menjerit di dalam hati.
Kami berjalan memanjat jaddat. Ibu paling mengah mengendong lemak badannya ditambah beg kerjanya yang berat. Tanganku masih setia dalam genggaman ibu. Beberapa kali ibu berhenti melepas lelah, menarik nafas kemudian berjalan semula. Ibu membiar aku berlari girang jauh meninggalkan dirinya di belakang.

Aku memijat tangga perlahan. Di tepi lubang bersegi empat yang mengadap Jabal Beludan, aku perhati ibu. Dia berjalan kemudian berhenti sekejap, menarik nafas kemudian berjalan semula. Lebih daripada enam kali ibu begitu. Runtun hati menyebabkan aku berlari semula mendapatkan ibu, menggenggam jemarinya. “Ah! Aku sewaktu kanak-kanak dahulu berlari lebih kuat daripada kamu,” kata ibu. Kami beriringan semula. Derap aku menderapi langkah ibu.
Rumah yang terletak di tingkat empat bangunan batu jaddat melelahkan lagi. Aku tidak lepas pegangan ibu, walaupun perlahan kami memijat tangga terus hingga tiba di depan rumah. Pintu tidak berkunci. “Bapamu sudah pulang,” bisik ibu. Dia membuka butku dan meleraikan kain mafla yang berlilit di leher comelku. Aku berlari ke kamar, mencari bapa.
Sekujur tubuh besar agam terbaring atas katil.


Aku menguis, memicit lengan berbulu itu. Sejurus mata itu terbuka, dia bingkas menarikku dan mencium berkali-kali sebelum mendekap aku ke dadanya. “Rindu..” kata bapa.



Dia juga mengerling ibu yang baru masuk ke dalam kamar. “Rindu…” kata bapa lagi sambil memandang ibu. Senyuman ibu meleret dan manis daripada biasa. “Sebentar,” kata ibu. Dia keluar membawa mantonya kemudian tiba semula dengan skirt dan t-shirt sendat. Ibu menghampiri kami, duduk di sisi bapa. Pipi merah ibu semakin meranum diusap bibir bapa. Spontan dadaku berombak kemudian menyua pipi kepada bapa. “Dia cemburu,” kata bapa sebelum mengucup pipiku berkali-kali.


Malam itu, ibu menyediakan hidangan lebih daripada hari biasa. Ada khubuz, jubneh, kusa, nasi, ikan goreng, falafel dan halib jagung. Ibu tidak lupa menyapu khubuz dengan minyak zaitun dan lada putih. Jeruk zaitun semangkuk diletak depan bapa.


Bersungguh kami makan hingga perutku terasa santak. Kambing masywi kegemaran bapa semangkuk licin. “Malam ni badan lebih panas dengan kambing ini,” kata bapa. “Kamu tidur dengan ibu dahulu,” kata ibu menarikku ke bilik. Tanganku keduanya sudah berlekap di mata. Entah pukul berapa, aku sudah terlelap bawah ketiak ibu.
“Kasihan, Jabir sudah enam tahun tapi tidak ada teman.” “Ah, saya fikir berkali-kali untuk mengandung lagi.”Kerajaan sudah mulakan kempen, Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal.” “Tapi, cukupkah Jabir seorang sahaja? Dia perlu adik. Mungkin dua orang lagi” Senyap. “Kamu mampukah?"

Aku membuka mata. Suara ibu dan bapa mendesah di kuping. Aku mencari ibu. Mencari bapa. Oh! Rupanya aku tidur seorang atas tilam bulu kambing. Sampai hati ibu. Aku mulai menangis dan mendekat pada ibu. “Dia sudah jaga,” kata bapa. Dia beralih ke tepi, memberi ruang aku TAtidur di tengah, memeluk ibu. “Sudah kukatakan, kamu tidak cukup untuk sediakan tempat tinggal yang lebih besar. Selagi itu, Jabir tidak berteman,” balas ibu. Dia memeluk kepalaku yang tersorok di lehernya.

Pagi bersinar cantik. Ibu mendukungku ke bilik air, menyapu mukaku seluruh dan mencuci gigiku. Rambut perangku bersapu krim rambut sambil seluruh badanku ditempek krim jenama Kamil. “Bapa kamu liat sungguh bangun tidur. Tabiatnya itu tidak berubah sejak berkahwin denganku,” bebel ibu. Mataku terkebil memerhati bapa yang masih berdengkur. Tugas tenteranya tidak menentu. Pernah berbulan lamanya, bapa tinggal di di sempadan Syria-Lubnan, menjaga keamanan dua negara. Minggu ini cuti bapa panjang sedikit, apakah ibu tidak gembira bapa wujud di rumah? “Rumah kita tidak seperti rumah orang lain. Televisyen tidak ada, bilik hanya sebuah, semua perabot sudah buruk. Ah! Bapamu pula kedekut,” tambah ibu lagi, sangat perlahan di telingaku.









Matari tegak memancar di langit Qudsayya, aku berlari girang menarik tangan Salmi seperti mana ibu menarik tanganku. Salmi yang lebih kecil, terjungkit skafnya.






Abangnya, Hammudeh mampir ke arah kami. “Lepaskan tangan adikku,” katanya. Sejurus, tangan Salmi terlepas dari pegangan. Mengapa Hammudeh perlu marah? “Kau mahu berkahwin dengan adikku?” Tanya Hammudeh memandangku tajam. Berkahwin? Apakah seperti bapa dan ibu? Selalu bila bapa pulang, ibu akan berpakaian cantik dan bapa selalu menyebut, ‘rindu..’.Apakah nanti jika berkahwin dengan Salmi, dia berpakaian secantik ibu dan aku mengucap pada Salmi, ‘rindu..’. Spontan aku mengangguk. “Begitu, kau boleh pegang tangan adikku,” balas Hammudeh yang baru masuk darjah satu di madrasah ibtida’ie. Belum sempat kucapai tangan kecil Salmi, dia lebih dahulu mengait jemariku. “Kita bermain anak patung di rumahku.” Aku mengerut dahi. Anak patung adalah permainan yang paling kubenci. Aku tegak membatu. “Kau mahu kahwin denganku bukan? Mari main anak patung.” Salmi menekan suaranya. Aku menggeleng kepala. Salmi garang, lebih baik aku tidak berkahwin dengannya. Pantas aku berlari naik ke rumah, meninggalkan Salmi yang mula menangis sambil dipujuk abangnya, Hammudeh.




“Kamu perlu beli televisyen. Si Jabir mahu tengok cerita kartun,” suara ibu tinggi. “Si Jabir atau kamu? Perempuan pandai mencari alasan,” suara bapa lebih rendah daripada suara ibu. Aku mendekap telinga sebalik pintu. “Kau tidak menjagaku dengan baik, tidak menepati janjimu dahulu.” “Itu lebih mulia daripada aku biarkan kamu terlolong di Qunaitara,” tempelak bapa. Suara ibu tidak kedengaran lagi, hanya bunyi pintu berdentum kuat.
Aku lari masuk ke dalam rumah. Bagaimana ibu? “Jabir, ke sini kamu..” panggil bapa. Aku tidak menghiraukannya. “Ibu, buka pintu…!” aku menjerit kuat di depan pintu bilik.


“Aku seorang askar, kerjaku bertarung nyawa tambahan pengganas Israel semakin syaitan, berbaloikah pengorbanan itu hanya untuk membeli sebuah televisyen. Bukan ibumu tidak tahu, gajiku sekadar membayar sewa rumah ini. Gajinya pula untuk membeli barangan dapur. Ah! Kita tidak mati tanpa televisyen. Kau tahu Jabir, Israel laknat itu menggunakan siaran tv untuk menyerang otak umat Islam. Begitu, sia-sia sahaja aku membantai senapang di sempadan, kau dan ibumu mati dengan virus dakyah Israel dalam rumah ini,” bebel bapa. Aku sudah duduk mengangkang depan pintu bilik yang masih dikunci ibu. Langsung tidak faham apa yang disebut bapa. Beberapa minit, ibu keluar memakai mantonya. “Aku ingin ke Qunaitara bersama Jabir,” katanya memohon izin bapa tetapi mata ibu langsung tidak bercahaya. “Baguslah, cari dirimu di sana,” balas bapa. Aku menjadi benci dengan suara itu. Mengapa tiada perkataan ‘rindu’ lagi di mulut bapa? Apakah kerana ibu tidak memakai pakaian secantik semalam?

Kami mengadap Bukit Golan. “Aku rindu,” kata ibu. Aku diam, biar ibu dulu melepas gundah nestapa. “Aku rinduuu..” tekannya lagi. “Rindu yang menderam, tidak tertahan sayang,” suaranya mendatar serak. Air mata ibu mengalir luruh. Aku di bahunya turut berasa air dari dua mata cantik itu. “Seluruhnya di sini.” Dia membawa tanganku ke dadanya, ruang di mana letaknya hati. “Semuanya sekali…di sini.” Tanganku dilepas. Aku membiar sekejap, pasti dia akan meraut kembali jemari halusku. Ya, baru sebentar mengesat air hingus, dia menyapa terus anak-anak jariku. Berangkulan semula jemari kami.
“Segala kecintaan, impian dan harapanku telah musnah sayang. Bapamu berubah sekarang. Kau tahu mengapa?” Aku mendongaknya, cuba memahami ibu. “Kerana kita miskin dan tiada tanah. Tanah di Qunaitara ini dimusnahi Israel hingga sekarang bapamu tidak menang mengalahkan mereka. Ah! Kau tidak akan faham sayang.“ Aku sepi. Ibu menyambung lagi. “Berpuluh tahun memendam rindu yang jauh sehingga hati sudah buta mengenal harapan. Aku rindukan keluargaku yang mati di mata senapang Israel” Kepala ibu tunduk merenung rumput-rumput sayu musim sejuk. “Di tanah Qunaitara inilah Jabir. Bapamu seorangnya yang menyelamatkan aku,” bisik Ibu.
“Kau tahu apa makna cinta terlarang? Menyentuh, mengusap dari jauh. Merindu hanya dalam hati, memiliki tidak sekali. Ah! aku tidak akan berputus asa walaupun aku sudah mati. Kau masih ada untuk menyambung doa-doaku semoga tanah Qunaitara kembali aman ke tangan penduduk Islam,” akhiri ibu. Dia memelukku erat. “Kita pulang, walaupun bapamu itu kedekut, dialah yang menyelamatkan aku,” kata ibu terus.
Tanganku dipimpin ibu ke seberang jalan. Sambil ditarik ibu, mataku tidak lepas merenung gagah Bukit Golan. Di situkah terletaknya syaitan-syaitan Israel yang meragut segala kecintaan ibu? Ah! Aku juga mahu menjadi askar yang kedekut seperti bapa bila dewasa. Tidak sesen pun aku akan laburkan pada kalian wahai Israel!

Glosari
1. Anisah- panggilan untuk guru agama perempuan di Damsyik
2. Banat- kanak-kanak perempuan
3. Jaddat – Kawasan bukit
4. Jundi – tentera
5. Madrasah Ib’tidae- Sekolah rendah
6. Sercive- van yang menjadi kenderaan awam di Syria
7. Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal- kempen keluarga di Syria yang bermaksud keluarga kecil, masa depan lebih baik.
8. Ya hilwa- Yang Manis

Thursday, June 7, 2007

Seorang yang baru nak gelar pelajar semula

Guru-guru, saya rindukan kalian semua. Umm Kamal (duduk . kanak) air mata selalu tumpah kenangkan dirimu. oh!

Jameah Abu Nour..apa bisa boleh kusujud lagi di lantai sejadahmu?

Aku benar rindu semua itu kala ini.
mengulit-ulit.


dalam ruang yang terbatas ini..
mampu kah berlari lagi??


selamat memasuki fasa kedua sebagai seorang pelajar Ummu Hani
Universiti Malaya menyambut mu!

Wednesday, June 6, 2007

BUAH HATI YANG DITUNGGU DAN TERBIT



Ini ada berita baik untuk peminat buku...


ku khususkan buku ini kepada mereka yang menghargai sesuatu yang berilmu dan bermanfaat.


koleksi cerpen kanak-kanak terlaris oleh barisan penulis yang prolifik menghasilkan karya-karya krestif berunsur Islam. diabadikan untuk mendidik, menghibur dan memupuk nilai ilmu kepada si comel alaf baru. khazanah kreatif ini adalah hadiah terbaik anda kepada anak-anak dan sahabat taulan.




anda boleh membaca garapan santai dan comel daripada penulis2 ini


saudara nimoiz Ty, Fahd Razy, Ustaz Maszlee Malik, Ummu Hani, Ezzar Akmal, Serunai Faqir dan Naimisa Yusof.




Harga: RM 12.90






Saturday, June 2, 2007

Kongsi2 dengan semua

Sastera Islam dan underground

Oleh: RAZALI ENDUN

Sastera adalah medium untuk melahirkan rasa hati serta
gelodak perasaan pengarang. Sastera juga sebuah hasil
seni yang sarat keindahan kata-kata yang tersirat
makna di sebalik yang tersurat. Sastera kontemporari
tidak pula bergantung kepada keindahan bahasa tetapi
mesti mempunyai mesej dan ilmu. Karya sastera yang
tidak ada ciri-ciri ini dianggap sastera picisan.

Selain sastera picisan, dunia kesusasteraan kita
dikelaskan dalam beberapa kategori yang kemudian
diberi label mengikut jalur masing-masing. Ia bagaikan
kayu ukur bagi mengklasifikasikan karya seseorang
untuk diletakkan di dalam kelompok yang dilabelkan.

Kita ada sastera popular, sastera kabur, sastera
reformasi, sastera arus perdana, sastera siber atau
e-sastera, sastera blog, sastera Islam dan akhir
sekali sastera underground. Pengelasan ini bukan
sahaja dibuat oleh sesetengah sarjana sastera tetapi
oleh sesetengah penulis yang berada di dalam kelompok
masing-masing.

Dengan hal yang demikian, sastera kita terpecah-pecah
di dalam beberapa kelompok yang merupakan fenomena
tidak sihat. Perpecahan bukan sahaja berlaku kepada
hasil karya seseorang, malah mewabak kepada
pengarangnya menjadikan mereka dalam beberapa kelompok
yang tidak beriringan dan bersefahaman. Kelompok arus
perdana tidak sebulu dengan kelompok popular.

Kelompok penggiat sastera reformasi dipandang serong
dan dipinggirkan oleh kelompok sastera arus perdana.
Begitu juga kelompok e-sastera tidak mesra dengan
kelompok lain.

Kalau ada acara sastera anjuran kelompok arus perdana,
misalnya, maka kelompok lain tidak hadir. Begitu juga
sebaliknya. Natijahnya, perkembangan kesusasteraan
kita terpecah-pecah dan tidak dapat dibina secara
bersepadu.

Baru-baru ini, Pena menganjurkan diskusi bagi mencabar
minda penulis- penulis muda yang menjadi ahli
panelnya, di bawah tajuk yang berat dan sensasi iaitu
Sastera underground lawan sastera Islam. Tajuk ini
juga berunsur kontroversi.

Menurut penganjur, tajuk itu sengaja direka begitu
sebagai tarikan kepada khalayak sastera untuk hadir.
Strategi itu ternyata berkesan, kerana Sasterawan
Negara (SN) Datuk A. Samad Said sendiri mengakui
bahawa beliau ‘dipujuk’ oleh tajuk itu.

Malah khalayak yang hadir juga sangat menggalakkan,
hampir 50 orang, yang sebahagian besar terdiri
daripada penulis muda. Kehadiran seramai ini jarang
diperoleh dalam sesi atau majlis sastera seperti ini.
Tetapi yang menjadi persoalan, kenapa mesti ada
perkataan ‘lawan’ di situ antara sastera underground
dan sastera Islam?

Ini seolah-olah mahu melaga-lagakan antara dua
kelompok ini. Namun demikian, tajuk itu berjaya
dibicarakan oleh tiga penulis muda. Mereka ialah Ummi
Hani, Ali Atan dan Rahmat Haroun dan dipengerusikan
oleh Raihani Mohd Saaid.

Meskipun pencarian erti atau definisi sastera
underground dan sastera Islam masih belum ada
kepastian, namun huraian dan hujah yang dikemukakan
boleh diterima bagi memantapkan lagi pencarian itu.

Pencarian teori sastera Islam dibicarakan semenjak
tiga dekad lalu. Cetusan ini disuarakan oleh SN Datuk
Shahnon Ahmad dengan konsep, “Sastera kerana Allah dan
berhikmah untuk manusia.”

Topik ini juga pernah dibicarakan oleh ramai
sasterawan termasuk Kassim Ahmad, Mana Sikana dan Dr.
Shafie Abu Bakar. Malah Badaruddin H.O. pernah
menyentuh konsep sastera Islam semenjak tahun 60-an
lagi.

Walaupun unsur-unsur Islam pernah diterapkan melalui
puisi semenjak tahun 1933, di mana Pungguk (Muhamad
Yassin Ma’amor) dan penyajak-penyajak yang seangkatan
dengannya yang disiarkan dalam majalah Guru, namun
sehingga kini masih belum ditemui satu teori sastera
Islam yang boleh diguna pakai sebagai garis panduan
mentakrifkan sesebuah hasil sastera sebagai sastera
Islam.

Banyak sudah teori dicipta untuk mentakrifkan apa itu
sastera Islam, namun masih ramai yang keliru tentang
konsep itu. Malah kalangan sarjana sastera sendiri
berbalah antara satu dengan yang lain dalam pencarian
konsep sastera Islam ini.

Menurut Dr. Hashim Awang, ‘‘Teori sastera Islam itu
sebenarnya terbuka, mencakupi segala teori meskipun
dari India, China atau negara-negara lain termasuk
teori orang Melayu yang ada adab dan budaya Melayu
yang bersesuaian dengan Islam.’’

Bagi Dr. Shafie , sastera Islam mestilah bertitik
tolak dari konsep tauhid dan falsafah dan ditulis oleh
orang Islam. Teori Takmilahnya menggariskan falsafah
dan tauhid menjadi asas menentukan sama ada sesebuah
hasil sastera itu boleh digolongkan dalam kategori
sastera Islam. Kedua-dua ciri ini tidak boleh
dipisahkan kerana ia tonggak serta part and parcel
kepada pembinaan konsep sastera Islam.

Rajah teori

Dalam rajah teori Takmilahnya, falsafah dan tauhid
dijadikan pusat rangka teorinya yang di antara lain
mendefinisikan tiga kategori bagi pembentukan teori
tersebut. Tiga kategori itu ialah pengkarya, karya dan
khalayak, di mana ketiga-tiganya berpaksikan roh,
hati, akli dan inderawi.

Mana Sikana pula semacam tidak yakin bahawa teori
sastera Islam yang mantap dan bersepadu dapat
diwujudkan kerana adanya perbezaan aliran kritikan dan
mazhab-mazhab dalam Islam.

“Kita jangan menjadi sebagai ahli Sufi yang
mengasingkan diri dari dunia realiti. Kita mesti
berpijak di bumi nyata. Pembinaan teori banyak cara
dan kaedahnya. Tidak mungkin kita dapat wujudkan satu
teori sastera Islam yang betul-betul mantap dan
berpijak di bumi nyata,” kata Mana Sikana.

Sementara itu Dr. Lutfi Abas berpendapat, teori adalah
pernyataan atau sekumpulan pernyataan. Sastera Islam
mesti universal, merangkumi sastera bukan Islam. Karya
seni adalah pernyataan peribadi sasterawan dan
sasterawan bukan ahli Sufi tetapi ahli sains sastera
atau metafizik.

Suratman Markasan pula berpendapat bahawa sastera
Islam adalah ibadat dan hendaklah dengan niat kerana
Allah dan dikembalikan manfaatnya kepada manusia.
Sastera Islam berpegang kepada tiga aspek iaitu, seni@
keindahan, kebenaran dan kebaikan. Suratman menolak
karya yang dihasilkan manusia bukan Islam, betapa pun
agungnya karya sastera itu dengan adanya estetika
sastera Islam, ia tidak boleh dianggap sastera Islam,
mungkin dikategorikan sebagai karya yang berunsur
Islam sahaja.

Ustaz Muhamad Uthman El-Muhamadi menyenaraikan
beberapa konsep sebagai panduan pencarian definisi
sastera Islam. Di antara lain sastera Islam perlu ada
ciri-ciri berikut:-

1. Memancarkan faham alam, faham ilmu dan faham nilai
Islam yang dimanifestasikan dalam jalinan naratif,
pembentukan peristiwa, perwatakan serta keindahan
bahasa prosa atau puisi dan perlambangan penulis yang
mempunyai iltizam terhadap pegangan dan kehidupan
Islam serta peradabannya,

2. Memancarkan akidah Islam, hidup pengabadian
(ubudiyah), akhlak atau moral dan disiplin kehidupan
Islam mengikut Syariat-Nya.

3. Berdasarkan perintah Quran supaya manusia
‘merapatkan diri’ dengan Tuhan melalui
sifat-sifat- Nya.

4. Berdasarkan hadis yang bermaksud, “Berakhlaklah
kamu dengan akhlak-akhlak (yang diambil pengajaran
daripada sifat-sifat Allah),” tetapi kekal dengan
ketuhanannya dan manusia tetap dengan kemakhlukannya
dengan sifat-sifat manusiawinya.

Belum ada kesepakatan bagi membina sebuah teori
sastera Islam yang betul-betul mantap dan bersepadu
sebagai panduan mengklasifikasikan sesebuah karya itu
tergolong dalam kategori ini. Begitu juga dalam kita
membicarakan sastera underground, yang mutakhir ini
bagaikan menjadi medan penulis-penulis muda meluahkan
gelodak perasaan mereka.

Menurut Ali Atan, sastera underground ini dipelopori
oleh Faisal Tehrani, Azman Hussein, Sharil Sanin,
Jimadie Shah dan beberapa orang lagi yang menerbitkan
karya-karya underground mereka secara bersendirian.

Kata Ali, sastera underground bersifat bebas
sebebas-bebasnya, sarat dengan protes termasuk juga
unsur erotik. Bahasanya bertenaga dan berterus terang.
Biasanya diterbitkan dan diedarkan oleh penulisnya
sendiri.

Menurut A. Samad Said, sastera underground bermula
pada tahun 1940-an di barat. Di negara kita yang boleh
ditakrifkan sastera underground ialah antologi puisi
Keranda 152, Teluk Gong dan The Malay Dilemma. Namun
selepas buku-buku itu diterbitkan kemudiannya,
bolehkah dianggap karya underground?

Underground itu bermakna ‘bawah tanah’ atau istilah
keselamatannya ialah ‘subversif.’ Ia pergerakan
‘haram’ dan penerbitan yang berkaitan dengannya juga
dianggap ‘haram’. Namun medan itu sahajalah yang ada
bagi penulis-penulis yang mahu meluahkan protes,
perasaan dan cita rasa mereka terhadap establishment,
penguasa politik dan pihak-pihak yang berkenaan.

Dalam suasana politik kontemporari, di mana media
dikuasai oleh elit politik yang berkuasa, maka amat
sukar untuk tulisan-tulisan seperti ini mendapat
tempat. Namun persoalannya, siapakah yang menentukan
halal haramnya sesebuah karya itu?

Jawab Rahmat Haroun, “Orang yang memegang kuasa yang
menentukan.”

Pena di bawah pimpinan generasi muda amat aktif,
progresif dan proaktif. Acara percambahan pendapat dan
pandangan seperti ini sangat baik diteruskan. Ia cuba
mencabar minda penulis-penulis muda supaya turut sama
memperkatakan perkembangan kesusasteraan kita. Ada
baiknya kalau sekali sekala dilibatkan juga
penulis-penulis veteran agar percambahannya pelbagai.

Friday, June 1, 2007

BUAH HATI KEDUA
Memang rindu tidak pernah tertahan-tahan
dan Tuhan selalu menghadirkan
yang baru
buat yang tidak pernah jemu
berdoa dan mengharap
ah! Tak sabar menatap wajah buah hati kedua
selepas yang pertama
menjadi
senyuman buat semua yang
mencintai SASTERA DAKWAH!

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.