Sunday, September 23, 2007

Teman2 az zahra

dari kiri, kak wani, kak jibah, zurina, faez, kak tipah, kak ida dan cik ummu..
tak sangka, 3 kali ramadan kita masih bersama. sedih bila kenang 'akak2' yang bakal berumah-tangga..huhu

Lelaki2 yang saya sayangi, abah (kanan) dan adik ke3 Hanifah (kiri)


Di mana boleh cari ramai Melayu?


Di mana boleh cari ramai Melayu Pastinya di Kelantan dan Terengganu

Dan juga di pasar malam dan pasar minggu

Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu

Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu

Di Sungai Buloh, pusat pemuilihan, dulu di Pudu

Dan di jalan, lumba haram, rempit tak berlampu

Dan di selekoh duit rasuah depa pun sapu

Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan chandu

Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru

Terkinja-kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu

Terkenal dengan budaya malas dan lesu

Berlepak buang masa tak jemu-jemu

Atau baca majalah Mastika, Metro pasal cerita hantu

Tengok telenovela dari Filipina dan Peru

Berpusu-pusu pergi tengok pameran hantu

Sambil makan junk food, kuaci dan muruku

Sibuk bercerita tentang Datuk K dapat bini baru

Apa pakaian Siti nak pakai itu yang nak tahu

Mana tak gendut berpenyakit selalu

Kalau nak berlagak melayu masih nombor satu

Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku

Atau di perpustakaan dan majlis ilmu

Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu

Ada tapi kurang sangat mereka di situ

Kenapa melayu jadi begitu

Nak salahkan siapa ibubapa atau guru

Pemimpin negara atau raja dulu-dulu

Ayat lazim di mulut ialah Melayu malas selalu

Nak harap Kerajaan saja membantu

Terutama sekali kontraktor kelas satu

Tak habis-habis gaduh nak jatuh siapa dulu

pasal jambatan senggek atau siapa dia penghulu

Dan suka sanggat dengan budaya ampu mengampu

Sampai bila kita nak tunggu Bangsa Melayu jadi bangsa yang maju

BOleh! dengan beberapa syarat tertentu

Pertama dengan banyak menguasai ilmu

Kata nabi ikutlah Quran dan sunnah ku

AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dahulu

tapi apa yang kita tahu, cuma baca bila nak halau hantu


Melayu dan aku yang semakin kronik

ya Allah...



Saturday, September 22, 2007



Team tadarus Nisa dengan pasangan Amy Search dan isterinya, Kak Norish di rumah mereka di Kota Damansara



Sebening Ramadan

Apa-apa yang menjadi kebiasaan di bulan lain tidaklah menjadi kebiasaan di bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan menyucikan. Bulan kerohanian. Bermakna, kebebasan untuk melakukan perkara bukan aulawiyat tidaklah dituntut dalam bulan Ramadan. Contohnya, menonton rancangan hiburan televisyen dan berchatting di internet. Bukanlah tidak boleh dilakukan pada bulan Ramadan tetapi tidak rugikah kita meninggalkan perkara yang diberi berganda-ganda pahala oleh Allah semata-mata kerana melayan syahwat? Kalau di bulan lain, membaca al-Quran mendapat banyak pahala, tetapi di bulan Ramadan, membaca al-Quran mendapat bannnnnnnnnnnnnnnnnnnyakkk pahala, begitu juga amal-amal kebaikan lain. Maka, sewajarnya kita mempergandakan amalan dan sentiasa berkhalwat dengan Allah SWT. Carilah peluang-peluang untuk bermuhasabah dan menginsafi umur yang sentiasa bergerak ke hadapan. Apakah bulan Ramadan akan datang, kita masih seorang insan yang bernyawa?
Buka Puasa dengan para dj IKIM, Dj siti (kanan) dan Dj Yazri dan Nazri


Para peserta AQ1 dengan anugerah platinum album mereka yang laris dijual dan diterbitkan Pihak Hijjaz Record. tahniah!

Kak Norish dan abang Amy

Memang umur ini adalah jadual yang ditetapkan Allah SWT. Dalam beberapa tahun, banyak perkara baru yang merencahi takah umur. Masa terdekat ini, perkara baru yang tidak pernah terlintas di fikiran diri ialah akan berkawan baik dengan kak Norish dan suaminya, Encik Suhaimi alias Amy Search. Memang tidak ada apapun pada orang lain. Tapi padaku, bila dikenang-kenang semula, dulu masa kecil menonton filem Isabella kemudian lagu-lagu rocknya (yang semuanya diharamkan oleh abah dalam rumah kami..hehe) tiba-tiba sekarang yang mengikat kami ialah ukhwah. Alhamdulillah.
Amy Search dan Kak Norish sedang berkongsi rasa hati dan pengalaman seorang penguzlah

Semalam, syukur Ummu telah dapat menjalinkan Kak Norish dan Abg Amy dengan pasukan NIsa yang diketuai Kak Mas dan Kak Muna Fadzil Noor dalam halaqoh ilmu. Teman-temanku seperti Kak Khadijah, Kak Wani, Kak Jibah, Syahidra, dan lain-lain memang teman-teman yang berilmu dan berakhlak mulia. Justeru, dengan itulah aku merasa betapa pentingnya ada artis yang berkawan dengan mereka. Sekurangnya, tidaklah ilmu mereka (teman-temanku) hanya berlegar dalam lingkungan remaja-remaja yang sudah memahami dan mencintai Islam. Sekarang, masanya melebarkan dakwah atau tidakpun memberi kefahaman dakwah kepada para artis khususnya mereka yang diberi hidayah oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Teman2 dai'e, kak Mas, Kak Wani, Kak Dijah dan Syahid

Maka, aku juga mendapat banyak ilmu hasil daripada pergaulan yang pelbagai latar hidupnya. Begitu kekuasaan Allah menunjukkan manusia sebenarnya datang dari sumber yang satu yang penciptaan mereka adalah dengan kekuasaan Allah. Sama-sama mencintai Allah, sama-sama kembali kepada fitrah. Semoga di akhirat nanti, masih juga dapat bersama-sama dengan puak-puak kanan (ashabul yamin). Amin.

Satu Permulaan Yang Baik, Insya Allah.

salam Ramadan Kareem buat semua pembaca blog saya:)

Friday, September 21, 2007

Perubahan Mentaliti Dakwah

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh Keutamaan menyebutkan bahawa pembaharuan masyarakat Islam hendaklah dimulakan dengan tumpuan sepenuhnya kepada pembinaan mentaliti individu terlebih dahulu sebelum pembinaan masyarakat.[1] Umat Islam di abad 21 adalah umat yang telah menerima pelbagai serangan pemikiran terutama daripada barat dan blok komunis, hegemoni ini secara langsung menjadikan umat Islam berasa terkepung.

Namun, Islam dengan acuan yang tersendiri, berpaksi pada nilai-nilai tauhid yang mutlak kepada Allah SWT tidak dapat digugah oleh barat. Sekalipun terdapat umat Islam yang terpengaruh dengan aliran pemikiran barat dan cuba mengadunkan pemikiran-pemikiran ini dengan Islam, usaha mereka masih tersekat lantaran sifat nature Islam yang tidak tergugah.

Islam adalah agama saintifik yang tidak membicarakan tentang alam metafizik dan alam ghaib semata-mata. Harun Yahya, seorang tokoh pemikir Islam misalnya telah berjaya mencanggahi teori evolusi Darwin dengan hujahan al-Quran secara saintifik. Malah, kita memerlukan ramai Harun Yahya dalam setiap kepakaran teknologi dan maklumat semasa terutama dalam bidang multimedia termasuk radio dan televisyen. George Gubner, pemikir Eropah mengatakan bahawa televisyen sebagai satu agama baru kepada masyarakat industri yang cuba meminggirkan agama konvensional dan sebagai pusat minda masyarakat dunia. Jelaslah bahawa, mentaliti masyarakat kini adalah dibentuk oleh media semasa yang kebanyakkan disuapi barat dengan hidangan hedonisma[2] melampau.

Tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan-kerajaan di negara Islam untuk mengerahkan para ilmuan mereka mencipta formula pendidikan berteraskan terapi Islam bagi menggantikan skrip pendidikan sekular Barat. Di Malaysia, usaha penerapan nilai Islam bersepadu hanya dilakukan oleh institusi pendidikan swasta sedangkan di kebanyakan sekolah harian kerajaan kekal dengan silibus pendidikan yang mengutamakan sains dan matematik berbanding ilmu tradisi Islam. Pendidikan kita juga mengutamakan pengajaran dalam bahasa Inggeris secara langsung mengiktiraf hegemoni Barat sedangkan tradisi ilmuan Islam ialah pemantapan bahasa Arab yang menjadi sumber memahami al-Quran dan al-Sunnah.
Tidak dinafikan bahawa kebergantungan negara Islam kepada teknologi barat memberi manfaat yang besar terutama proses penyebaran maklumat dan kelicinan pentadbiran negara yang berlaku secara pantas. Namun, sehingga bila negara Islam akan memberi ruang keselesaan kepada barat sebagai pembekal malah penentu hala tuju ekonomi, politik dan sosiologi kebanyakan negara dunia termasuk di Malaysia?

Justeru, seruan Dr Yusuf al-Qaradhawi supaya penumpuan ke arah pembinaan mentaliti individu dan masyarakat. Antara yang digariskan beliau dalam bukunya[3] ialah:
(a) Membina kebenaran pada akal dan hati, iman, tubuh badan dan akhlak individu secara sempurna dan seimbang.
(b) Mengisi akal fikiran individu dengan ilmu pengetahuan.
(c) Membentuk jiwa dan mentaliti individu dengan ibadah yang benar.
(d) Membina jasmani individu dengan riadah dan olah raga yang sihat.
(e) Membimbing akhlak individu dengan sifat-sifat kemuliaan.
(f) Melatih individu dengan keberanian dan didikan ketenteraan.
(g) Memberikan individu pendidikan kemasyarakatan dan kesedaran berpolitik

Penerapan nilai-nilai ini secara langsung dapat membentengi dalaman umat Islam daripada serangan sekularisme barat terutama hegemoni Amerika yang tidak akan berhenti sehingga kiamat untuk menghancurkan umat Islam sama ada jasmani (seperti pembunuhan yang dilakukan mereka ke atas rakyat Iraq, palestin, Afganistan, Bosnia dan lain-lain) dan rohani (seperti yang kita saksikan di seluruh negara umat Islam, masyarakatnya hancur tidak bermoral lantaran serangan pemikiran sekularisma barat). Jelasnya, umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai asas ilmu yang menjadi panduan mereka di dunia dan selamat di akhirat kelak.


Berdasarkan kepada huraian di atas, jelas bahawa Barat sedang mengalami kejatuhan nilai dalamannya. Pembinaan diri muda-mudi barat sekarang tidak dapat membekalkan model sahsiah kepada masyarakat dunia. Justeru, gejala ini adalah peluang besar kepada tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang pernah mengecap kegemilangan di kurun lalu untuk mengambil semula tempat sebagai sebuah kuasa besar dunia yang memonopoli politik, ekonomi, pendidikan, ketenteraan, sains dan teknologi serta sosial masyarakat yang semuanya terdapat dalam Islam.
Islam sebagai agama tauhid mempunyai dua perundangan mutlak iaitu al-Quran dan as-Sunnah sangat idealis menyelesaikan masalah umat manusia. Wahyu Tuhan merupakan sumber kepada kehidupan manusia yang membawa manusia hidup secara fitrah serta mengembalikan manusia kepada fitrah. Untuk mencapai kegemilangan Islam, usaha ke arah pemurnian akidah dan akal fikiran umat Islam merupakan teraju merealisasikan hasrat tersebut
[1] Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi, Fiqh Keutamaan: Satu Kajian Baru Dari Perspektif al-Quran dan al-Sunnah, Kuala Lumpur: Thinkers Library, h. 241.
[2] Budaya keseronokan tanpa batas
[3] Ibid, h. 244.

Sunday, September 16, 2007

soroton oksidentalis


Nilai Remaja Barat Dalam Filem Take The Lead: Cabaran Kepada Dakwah
Oleh:Ummi Hani Abu Hassan
PENDAHULUAN

Satu cara propaganda yang digunakan oleh barat ialah menjadikan filem sebagai suara budaya yang menarik perhatian dunia. Sejak beberapa dekad, filem menjadi tradisi yang menyuburkan terapi barat kepada bangsa –bangsa lain. Kedudukan barat sebagai kuasa besar dunia tidak sahaja mencakupi legar politik dan ekonomi malahan barat memiliki cita-cita untuk menyatukan kepercayaan (akidah) manusia seluruhnya kepada fahaman global: menerima semua bentuk pemikiran moden dilandasi unsur sekularisme.

Misi dakyah ini adalah jelas kerana kebanyakan filem yang diserapkan kepada dunia mengandungi unsur pemujukan ke arah fahaman sekular yang mahu membebaskan manusia daripada norma agama. Walau bagaimanapun, agama masih di pegang sebagai alat kesantunan diri yang tersarung dalam ruang tersendiri dan memiliki ciri ekslusif. Contohnya, dalam filem-filem barat seperti filem yang akan dibincangkan ini, Take The Lead, barat cuba mengeksperesikan manusia sebagai alat seni yang tidak diikat oleh hukum agama, namun ia masih lagi merujuknya dalam skop tertentu seperti dalam keadaan desakan, kejatuhan, pengharapan, barat masih meletakkan agama sebagai tujuan terakhir.

Berbeza dengan Islam, setiap tindakan umatnya adalah menuju kepada matlamat agama iaitu mentauhidkan Allah SWT. Norma-norma Islam beralur atas dua panduan iaitu al-Quran dan Sunnah yang mesti dipatuhi setiap keadaan, tempat dan masa. Malah, Islam adalah dakwah yang perlu dipromosikan dengan jujur tanpa ada penyorokan atau penyekatan pada ruang eksklusif dan elit. Seperti barat yang bertujuan mendakyahkan umat dunia pada agama sekular, Islam juga mempunyai tujuan yang sama iaitu menyempurnakan kepercayaan manusia kepada Allah SWT sebagai Tuhan dan Pencipta seluruh makhluk. Bezanya, Islam tegas pada matlamat yang tidak terpisah daripada agama walaupun menuntut kepada keterbatasan kelakuan manusia iaitu membenarkan perkara yang baik (menurut Al-Quran dan Sunnah) dan melarang daripada kemungkaran atau kemaksiatan (bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah). Sebaliknya, barat memilih kebebasan manusia daripada norma agama yang memberi nafas mutlak untuk manusia melakukan apa sahaja tanpa sekatan hukum.

Justeru, filem Take The Lead merupakan salah satu filem terbaru Barat yang memaparkan norma hidup muda-mudi mereka yang bergerak atas fahaman sekular. Penulis cuba mengenal-pasti nilai-nilai yang membentuk aksi, pemikiran, psikologi dan fahaman watak yang cuba ditonjolkan barat bagi panduan dunia. Kajian seperti ini dapat membantu para pendakwah mendasari dakyah musuh seperti barat dalam usaha menjadi seteru dan kuasa paling ampuh menghadapi barat.

SINOPSIS TAKE THE LEAD
Take The Lead adalah sebuah filem yang diasaskan daripada kisah benar seorang guru tarian klasik di Bandar New York bernama Pierre Dulane. Beliau menghadapi cabaran untuk mengetengahkan tarian klasik kepada golongan remaja bermasalah yang lebih terpengaruh dengan muzik hip hop. Namun, kesungguhan Pierre akhirnya telah membuka mata para pelajar ini melalui pengenalan muzik klasik yang mempunyai nilai manusiawi berbanding muzik semasa.

Filem ini dibintangi oleh Antonio Banderas sebagai watak Pierre Dulane bukan sahaja watak yang menggerakkan cerita malah bertanggungjawab meronakan falsafah di sebalik judul Take The Lead melalui bahasa tarian . Umumnya, seperti kebanyakan filem Amerika, Take The Lead tidak lari dari menyampaikan nilai dan budaya Amerika yang diikuti oleh sebahagian remaja dunia sebagai hybrid Amerikanisasi. Ia walaupun dispesifikasikan sebagai sebuah filem keluarga terbitan New Line Cinema tetapi adalah terapi yang amat membahayakan bagi anak-anak muda timur terutama masyarakat Islam kerana unsur sekularisme; moden dan pasca modenisme yang diperjuangkan dalam filem ini.



PERMULAAN, PERTENGAHAN DAN PENGAKHIRAN

1.1 PERMULAAN
Amerika dengan dasar sekularnya telah berjaya merealisasikan satu budaya kontemporari yang berbeza daripada budaya asal iaitu budaya global yang meraikan kebebasan asasi manusia yang tidak terikat kepada tamadun dan peradaban sesuatu bangsa tetapi masih berpaksikan kepada nilai-nilai barat sebagai kuasa besar dunia. Dalam filem Take The Lead (TTL), dua aliran yang lahir daripada sekularisme iaitu moden dan pascamoden cuba disatukan bagi menggambarkan realiti sosial yang sedang berlaku di Amerika.

TTL dimulakan dengan galaksi tarian klasik diwakili suara golongan moden (gm) barat diselikan dengan tarian ala hip hop mewakili suara golongan pasca moden (gpm). Dua elemen muzik ini juga divisualkan dengan pemakaian pendokong tarian klasik iaitu Peirer Dulane dan anggotanya (penari Dance Ballroom dari Blaine Academy Student) dengan berpakaian sut folmal (kot, tie, gaun majlis serta kasut kulit). Manakala pendokong pasca moden pula diwakili anak-anak muda hip hop dengan citarasa kasual yang lebih bebas dan non elit (seluar jeans malahnya menampakkan seluar dalam, skirt paras lutut dan punggung, t-shirt ketat yang menampakkan tali coli bagi wanita, rantai dan subang (bertanda salib), kasut bebas). Gaya dua kelompok ini juga berbeza kerana gm bersifat internal dan ekslusif malah elit. Piere Dulane dan kelompoknya berinteraksi dalam dewan besar diiringi muzik mewah dan tarian yang menunjukkan kemewahan kelas moden barat.
Sebaliknya, kelompok gpm adalah anak-anak muda yang kebanyakan bukan berasal dari Amerika iaitu remaja-remaja kulit hitam dan Asia lakonan Elijah Kelley, Jenna Dewan, Dante Basco dan lain-lain yang mengalami masalah sosial. Dalam TTL, dua remaja gpm menjadi watak tipa yang kehidupan mereka dikupas dari awal hingga akhir cerita. Penonton dihidangkan secara suspen dengan watak remaja wanita kulit hitam bernama Larhette sedang mendukung bayi sambil menyuapkan susu botol kepada bayi tersebut dan watak temannya Rock sedang membantu bapanya muntah akibat arak di mangkuk tandas.
Dua babak yang berbeza ini hanya gambaran sekilas tentang golongan pasca moden di Bandar New York dan tidak menafikan golongan moden mendapat tempat begitu ekslusif melalui watak Pierre Dulane (PD) yang digambarkan sebagai seorang lelaki ideal yang masih kekal ciri Eropahnya. Antara sikap PD dalam TTL ialah lelaki yang sentiasa berkot kemas, seorang yang berhemah dalam percakapan dan tindakannya (contoh akan disertakan di bawah), seorang yang evergreen (yang gemar menaiki basikal tua dan mendengar muzik klasik), romantis, memahami manusia lain dan kuat dengan falsafah moden.

Pierre Dulane atas falsafah modennya percaya bahawa setiap individu yang dilahirkan di dunia ini memiliki keistimewaan dan potensi diri sendiri yang dapat membentuk dan mengarahkannya untuk berjaya telah bergerak sebagai penyatu dua golongan (gm dan gpm) dalam TTL. Jelas, terdapat unsur diskriminasi golongan moden terhadap pasca moden yang dianggap sebagai pengacau masyarakat. Dalam TTL, anak-anak muda gpm tidak diberi ruang untuk bercampur dengan golongan moderat. Rock misalnya ingin menghadiri majlis tarian ballroom tetapi dihalang kerana status dirinya yang dikatakan tidak bermoral. Kesan daripada kejian guru besarnya, seorang wanita berkulit hitam bernama Miss James mewujudkan perasaan benci dan dangkal terhadap golongan moden Amerika. Sebagai balasan, Rock dengan didorong oleh teman-teman gpm telah menghancurkan kereta gurunya itu (vandalisme). Kejadian itu disaksikan oleh Pierre Dulane hingga beliau terdorong untuk mengenali lebih rapat anak-anak muda gpm.

Kita harus sedar, Amerika yang dimonopoli bangsa kulit putih mempunyai agenda dakyah kepada bangsa lain. Tokoh barat Rudyad Kipling (1951) telah mengatakan bangsa kulit putih memang bertamadun dan mereka mempunyai beban, iaitu tanggungjawab memajukan bangsa –bangsa kulit berwarna di Asia dan Afrika dengan lunas-lunas kebudayaan barat. Bertitik tolak daripada prinsip inilah, Pierre Dulane telah cuba merapati anak-anak muda seperti Rock dan teman-temannya (90 peratus adalah remaja kulit hitam dan asia).

Perancangan Pierre Dulane untuk mengenalkan tarian klasik (dance ballroom) sebagai metod penerapan nilai moden kepada anak-anak muda pasca moden dianggap tidak logik. Miss James, pengetua yang digambar sebagai ego telah dilunakkan Pierre Dulane dengan bahasa hikmah: mata dan senyuman. Pierre Dulane sebagai hero adalah wakil gm Amerika yang ditonjol idealis, berwawasan dan karismatik. Antara babak yang menyokong beliau:
Menaiki basikal dan berkot kemas. Ketika di sekolah, beliau ditertawakan oleh anak muda gpm kerana dikatakan lapuk dan ketinggalan zaman tetapi beliau hanya tersenyum senang.
Membuka pintu untuk wanita, suatu perbuatan yang tidak ada nilai kepada gpm. Tetapi bagi golongan moden, ia satu kepuasan. Kata Pierre Dulane ketika disinis anak muda gpm: "Semua orang senyum padaku, itu sudah cukup."
Pierre Dulane seorang yang tenang, suka tersenyum, menerima pandangan orang lain dan tidak berputus asa dalam setiap konflik dalam TTL.

Arus pasca moden yang tidak menerima segala bentuk kemutlakan dan melupuskan dinamika sistematik meraikan pelbagai ragam dan budaya sekitar. Begitu anak-anak gpm ditonjolkan sebagai kelompok bebas, berpeleseran dan hidup dengan gaya ranggi Amerikanisasi. Berikut adalah babak-babak awal yang menonjolkan ciri watak:

Pemakaian watak (seperti yang disebut di bahagian atas)- anak muda lelaki bertindik subang sebelah telinga, memakai rantai emas dan bertanda salib pakaian wanita menampakkan pusat, dada dan tidak bermoral (separuh telanjang).

Bahasa watak – bagi gpm bahasa tidak menjadi ukuran diri. Bercakap dengan lucah dan tidak beradab. Contohnya, Rock memanggil bapanya ‘Pope’ bukan ‘dad’. Perkataan seperti ‘Yo!’, ‘yeah!’ ‘uh-huh’’dawg’ ‘poppin’ ‘punked’ ‘pussy’ ‘punkass’ menggantikan perkataan ‘hello’ ‘thank you’ ‘welcome’. Ayat yang menjadi mainan bibir ;‘go to hell!’ ‘full of shit’ ‘What the hell are you doing here?’ dan lain-lain.

Dalam TTL, bahasa diri orang yang lebih tua hanya panggilan nama. Contoh, para pelajar gpm memanggil PD sebagai ‘Pierre’ bukan sir selain ‘aku’ dan ‘awak.’ Begitu juga dalam keluarga, Rock sebagai wakil watak gpm, membahasakan diri ‘aku’ dan ‘engkau’ dengan ibubapanya.
Bahasa adalah alat yang mati (tidak ada budaya) bagi gpm. Ketika Pierre Dulane bertanya kepada Rock tentang masalahnya, pertanyaannya dibalas dengan kesombongan pelajarnya itu. "Aku ada dunia aku sendiri. Engkau fikir kau baik sangat dengan nilai baru yang kau bawa (tarian)? Kau boleh tahu tentang aku tapi aku tak mahu tahu tentang engkau," kata Rock.

Sikap watak – kelakuan gpm adalah berasaskan kepada anti realis yang diatur mengikut persekitaran kebendaan . Watak-watak mereka kasar dan ganas. Falsafah kehampaan (nihilis) yang mengikat diri telah menimbulkan keraguan yang menyeluruh terhadap kebenaran (no truth).

(a) Para pelajar gpm mentertawakan PD ketika dia mahu mengajar mereka tarian klasik (tango, waltz, rumba dan lain-lain) kerana dipercayai helah kesombongan golongan moden dan ketinggalan zaman. Manakala tarian hip hop, jazz, rapper dianggap budaya sebenar golongan ini (menghilangkan kehampaan diri).

(b) Dua remaja gpm yang ditimbulkan di awal cerita iaitu Rock dan Larhette mempunyai masalah keluarga. Kehampaan sosial inilah menyebabkan mereka menjadi remaja yang keras dan tidak bertimbang rasa.

(b1) Bapa Rock seorang kaki minum dan ibunya mengalami tekanan mental. Rock terpaksa bekerja menyara persekolahan dan makan minum ibubapanya kerana sikap bapanya yang tidak bertanggungjawab yang akhirnya membawa Rock terlibat jenayah penyeludupan.
Dialog Rock yang menggambarkan kebencian kepada ibubapanya:
"Kenapa kau tak masak? Aku bagi duit pada kau untuk beli makanan?" tengking Rock pada ibunya apabila mendapati peti sejuk kosong.
"Kau seorang yang tak bertanggungjawab dan menyusahkan! Mengapa kau tak seperti bapa orang lain?" Rock mengherdik bapanya dan apabila mulutnya ditampar, dia mencengkik dan hampir menumbuk bapanya sendiri.

(c) Larhette adalah anak kepada seorang pelacur yang terpaksa menjaga adik-adiknya ketika ibunya bekerja (melacur dalam bilik di rumah). Kesusahan hidup kerana ditinggalkan bapa menyebabkan dia rela ibunya menjadi pelacur sehinggalah dia sendiri hampir-hampir dirogol oleh pelanggan ibunya. Larhette melarikan diri dan akhirnya terlibat pergaduhan dan ditangkap polis.

1.2 PERTENGAHAN

Sebahagian babak di bahagian awal TTL adalah usaha untuk menonjolkan kerendahan martabat gpm dan sifat elit gm yang diwakili Pierre Dulane (PD). PD tanpa putus asa telah berjaya mendekati anak-anak muda gpm dan mula mengajar mereka memahami falsafah tarian klasik (dance ballroom) yang dikatakan paling beretika dan manusiawi:

1. Tarian yang mengikat dua tubuh menjadi satu atas satu gerakan halus dan seni.
2. Setiap harapan bermula dengan langkah pertama.
3. Tarian yang mengajar lelaki menghargai wanita dengan cara paling hormat.
4. Wanita rasa selamat dan berkeyakinan apabila disentuh lelaki melalui tarian klasik.
5. Salah satu cara menghilangkan masalah dalaman dengan alunan muzik lembut juga sentuhan pasangan yang beretika, hormat serta meransang keyakinan diri.
Adalah menjadi amalan barat mempromosikan produk budaya mereka dengan meransang nafsu masyarakat dunia. Realitinya, barat telah menghidang pelbagai ‘makanan’ syahwat dengan pelbagai corak keseronokan seperti hedonisma muzik, rancangan televisyen (antaranya American Idol dan CSI), sukan, taman tema ala-ala Disneyland, makanan segera seperti Mc Donald, KFC, dan lain-lain. Pengaruh yang sangat berkesan ialah pada kecantikan (penggoda) seorang wanita.
Pierre Dulane menggunakan strategi ‘umpan wanita cantik’ untuk menarik minat anak-anak muda gpm pada tarian klasik. Morgan, penari professional dance ballroom menggunakan tubuh dan pakaian seksi untuk menari lebih ghairah (berpasangan dengan Pierre Dulane) sehingga timbul keinginan anak-anak muda gpm. Kekaguman itu berpunca daripada dua tujuan utama iaitu:
(a) Remaja lelaki terdorong untuk memiliki tubuh wanita cantik, seksi dan mengghairahkan menjadi pasangan mereka dalam tarian klasik.

(b) Wanita berkeinginan untuk memiliki tubuh cantik, daya penggoda dan menjadi tarikan semua lelaki. Sekiranya tidak ada ciri-ciri disebutkan mereka berasa amat kekurangan ("Seperti seekor itik"- kata salah seorang pelajar wanita)

Konflik utama dalam TTL ialah apabila Pierre Dulane cuba memecahkan blok golongan moden TTL dengan membawa masuk anak-anak muda gpm ke dewan yang menjadi tempat latihan anak-anak muda moden. Sikap pesimis gm kepada gpm jelas kelihatan dari air muka dan kata-kata mereka bahawa gpm tidak mempunyai wang untuk seperti mereka (anak-anak bangsawan Eropah). Usaha PD untuk membawa masuk para pelajarnya (gpm) ke satu pertandingan dance ballroom hampir gagal dengan peristiwa itu. Kehampaan gpm kepada gm telah dihemburkan kepada PD:
"Tarian yang taksub kepada budaya Eropah kulit putih"
"Tarian yang dimonopoli golongan bangsawan terutama raja-raja Eropah"
"Tarian yang cacat dan sakit"
"Mengapa golongan kulit hitam Afrika menjadi sasaran negative
?"

Pierre Dulane sebagai watak lelaki ideal tidak panik menghadapi karenah anak-anak muda gpm. Antara kata-kata sokongan beliau :
"Kamu betul." – membenarkan pihak lawan adalah salah satu cara melunturkan keegoan mereka.
"Tahukah kamu bahawa kebanyakan tarian dance ballroom seperti Tango dan Rumba berasal dari Afrika?" – mengaitkan dengan asal-usul pihak lawan satu cara meraih sokongan mereka.
"Kamu perlu lakukan dahulu kemudian baru berasa bodoh atau tidak."- mencabar anak-anak muda untuk bertindak tidak sukar.

TTL secara tidak langsung telah memenangkan golongan moden apabila PD berjaya memujuk anak-anak muda gpm untuk meneruskan pertandingan tarian klasik. Gpm terpaksa menukar budaya pemakaian yang ranggi kepada sut formal, menari mengikut rentak muzik yang lembut dan harmoni berbanding muzik hip hop yang bebas serta menerima falsafah tarian klasik ciptaan Pierre Dulane.

PD juga menjadi watak yang berjaya menyatukan individu-individu bermasalah dalam TTL iaitu:
Miss James- daripada seorang yang ego dan elit dapat ditundukkan dengan budi PD (PD menggunakan tarian Tango meraih minat Miss James iaitu tarian yang berasal dari Afrika. Miss James adalah wanita berkulit hitam)

Rock – anak muda bermasalah dan ego yang akhirnya dengan bantuan PD dia terlepas dari pihak polis. PD menumpangkan Rock tinggal di rumahnya dan menyerapkan nilai-nilai falsafah moden- percaya kepada kemampuan dan potensi diri.

Menyelesaikan krisis di antara Rock dengan Larhette dengan tarian. Kedua anak muda gpm ini pesimis terhadap latar-belakang keluarga masing-masing yang roboh. Mereka menjadi pasangan tarian yang ideal di akhir cerita.

Memulihkan keyakinan seorang pelajar gm yang berasa seperti seekor itik apabila menari dengan kawan-kawan gmnya. PD memasukkan dia bersama remaja gpm untuk berasa yakin.

1.3 PENGAKHIRAN

TTL bertujuan untuk mempromosikan tarian klasik sebagai alat seni yang dapat menyerapi kelompangan remaja-remaja Amerika terutama golongan pasca moden tegas dengan landas itu sahaja. Penonton TTL tidak akan dihidangkan selain daripada peranan Pierre Dulane (sebagai tokoh yang benar-benar wujud) sebagai guru tarian yang telah berjaya mengubah pendirian watak-watak antagonis menjadi lebih baik dengan hanya falsafah tarian klasik yang dipegangnya.

Tanpa mahu mengacau isu lain misalnya penyelesaian konflik keluarga Rock dan Larhette yang disuguhkan di awal cerita, TTL terus di tamatkan apabila anak-anak muda gpm memasuki pentandingan dance ballroom yang menjadi tradisi golongan moden Amerika. Satu pengiktifaran kepada golongan moden lagi apabila kemenangan itu berpihak kepada Morgan dan pasangannya yang diwakili pihak moden tetapi atas budi baik yang cuba ditonjolkan TTL (untuk menaikkan golongan moden barat) kemenangan itu dikongsi dengan remaja gpm melalui tindakan Morgan menyerahkan satu pialanya kepada penari gpm.

Dalam kerancakan muzik klasik tiba-tiba dewan dikejutkan dengan muzik hip hop yang menjadi tradisi remaja pasca moden. Suasana elit turut berubah dan para remaja gpm bertukar watak menjadi ganas dan keras (dalam tarian). Ketika itulah, watak Pierre Dulane dihilangkan (keluar dewan) dan penonton di dihidangkan dengan perkataan ‘tamat.’

Kesimpulannya, filem ini menyatakan secara jujur konflik nilai yang berlaku di Eropah khususnya di Amerika sekarang ini. Walaupun golongan moden masih cekal mempromosikan nilai mereka yang wujud sejak lama (abad 18- zaman pencerahan) tetapi mereka terpaksa akur bahawa kehampaan pada nilai-nilai moden yang berasaskan logik telah membawa masyarakat kini terutama remaja menganut dan menghirup nilai pasca moden yang mematikan seluruh norma dan nilai manusiawi (no truth, no really and no meaning)



CABARAN GLOBALISASI DAN SEKULARISME KEPADA DAKWAH

Dunia barat berasa terancam (Islamophibia) dengan tamadun Islam yang subur walaupun kebanyakan di negara-negara umat Islam, mereka masih kekurangan dan jauh ketinggalan dari barat sama ada di bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi dan ketenteraan. Bahkan, barat sentiasa berwaspada supaya umat Islam berada dalam kawalan mereka iaitu sifat kebergantungan umat Islam terhadap sumber kepakaran barat. Lebih jauh, Barat merangka strategi untuk mengikat pemikiran dan psikologi umat Islam berdasarkan produk budaya mereka dengan tujuan melemahkan tamadun Islam sebagai pencabar utama kepada tamadun Barat. Perkara inilah menjadi cabaran utama kepada dakwah Islam.

Barat sebagai teraju perkembangan sains dan teknologi di abad ini melancarkan siri dominasi mereka ke seluruh dunia melalui sebaran media perdana mahupun tidak rasmi. Serangan ini dilaksanakan terus-terusan terutama ke negara-negara majoriti umat Islam termasuk di Asia dan negara-negara dunia ketiga. Usaha barat meraih keuntungan di negara-negara lain semakin baik apabila pecahnya blok-blok timur di negara komunis yang selama ini menyempitkan usaha barat menjadi kuasa ekonomi dunia yang utama. Globalisasi adalah satu bentuk penjajahan seluruh dunia secara cepat dan tidak pernah berlaku pada mana-mana zaman sebelum ini. Jika 500 tahun dahulu, Christhoper Columbus dengan restu Pope Alaxender dan Ratu Isabella telah berlayar untuk menjajah negara Amerika, Asia, Afrika dan lain-lain dengan membunuh rakyat tempatan, maka globalisasi pada hari ini lebih kepada meragut dan membunuh nilai dalaman tempatan kepada menanamkan produk budaya Eropah. Justeru, globalisasi juga adalah bentuk kolonialisasi.

Selain itu, globalisasi akan menyumbang kerosakan dan kemunduran kepada negara-negara yang tidak berasaskan industri iaitu kaedah pengstrukturan semula ekonomi, pemilikan sendirian (kapitalis) dan liberalisasi yang akhirnya mengakibatkan pengangguran, imigrasi secara besar-besaran, ketidak seimbangan kawasan, pendapatan yang tidak tetap serta kerosakan budaya tempatan. Malangnya, negara-negara ini kebanyakannya adalah negara yang majoritinya umat Islam seperti Indonesia dan negara sebelah Afrika.
Antara lain, dari segi budaya dan sahsiah masyarakat, globalisasi yang mempromosikan sekularisme akan menghakis nilai-nilai kebangsaan masyarakat termasuk nilai agama. Di Malaysia, Islam yang menjadi darah daging masyarakat Melayu akan mula kelihatan tergugat apabila sensitiviti terhadap agama berkurangan lantaran penerimaan budaya baru yang secara fizikalnya dilihat lebih mudah. Media massa yang diproksi barat akan mendedahkan pro forma sikap semasa remaja di seluruh dunia untuk diaplikasi oleh muda-mudi tempatan. Tidak hairanlah jika remaja di Amerika yang memakai seluar menampakkan pusat (seperti dalam filem Take The Lead) juga dilakukan oleh remaja di Malaysia. Malah budaya bertindik di hidung, ranggi, rappers, hip hop serta istilah-istilah lain adalah trend kebanyakan remaja di dunia. Kesan terhadap budaya remaja Islam hasil daripada penyeragaman budaya oleh barat merupakan cabaran paling rumit kepada dakwah.

Perubahan nilai sosial semasa secara tidak sedar mengelirukan masyarakat terhadap jatidirinya serta mengalami krisis identiti. Masyarakat tempatan mula berasa tidak ralat untuk menggunakan apa-apa yang dihidangkan oleh barat, bertutur dalam bahasa Inggeris, memakai pakaian ala Amerika dan tidak asing menjadi pengelola kepada hegemoni Amerikanisasi yang akhirnya menghilangkan jatidiri agama dan budaya tempatan yang ada pada diri masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak dinamakan dengan nama barat seperti Isabella (nama ratu Eropah yang memberi dana untuk menghancurkan dunia Islam), Pierre (nama komandan Portugis yang telah datang menghancurkan Melaka pada abad ke 16) dan lain-lain.
Ayuh! para teman sekalian, muhasabah diri kita apakah kita sudah bersedia untuk berperang dengan barat dan budaya2 gila mereka? atau kita terpalit sama dengan budaya2 ini?

Saturday, September 15, 2007

Adik2 Comel dari Uia.

Saya pegang buku Hidup Zero Alasan, sebelah tu penulisnya Raihan:)) wah, Raihan sudah menulis buku pada usia 18 tahun..nak jadi macam Raihan..

Bakal2 peguam hebat ni, Izzah (berfurdah) dan dua temannya.



Raihan (tengah) dan Mai (cover LHM), kisah untuk mereka.





Malam akhir di tapak Convest. Raihan n the gang memeriahkan bintang2.




Sunday, September 9, 2007

Pertemuan dengan Joel Law dan pandangannya terhadap Islam
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan


Salah satu cara komunikatif dakwah dengan non Muslim adalah membina hubungan. Melaluinya, kita dapat berkongsi pandangan dan pemikiran lebih telus berbanding dengan hanya membaca pengalaman orang lain sama ada dari buku, internet dan lain-lain. Namun, bagaimanakah hubungan akan terjalin sekiranya para remaja Muslim bersikap pesimis terhadap sasaran non Muslim sebelum hubungan terbina?

Satu pengalaman berharga buat penulis apabila dapat menghilangkan rasa pesimis untuk duduk berbual dengan seorang pelajar Universiti Malaya bernama Joel Law. Joel, 22 tahun seorang Cina beragama Kristian adalah mahasiswa tahun akhir di Fakulti Sains, UM. Sambil duduk makan petang di Kiosk Baguz belakang perpustakaan utama UM, penulis cuba membina suasana mesra sebelum persoalan utama yang bermain di benak penulis terlepas.

“You tinggal kat kolej mana di UM?” tanya saya
“Dulu tinggal di Kolej Tujuh, sekarang I tinggal dengan family di SS2, PJ,” jawabnya.
“I dulu tinggal di KK12, sekarang bila dah bergelar M.A student, rasa lebih selesa menyewa dengan rakan-rakan,” kata saya.
“Kat mana you sewa?”
“Seksyen 14, Pj.” Joel senyum.
Kami bercerita tentang bidang masing-masing. Joel dalam kursus Sains Kesihatan seorang yang mudah mesra seolah di hadapannya (saya) adalah teman lama. Saya pula menghadapinya sebagai seorang yang lebih muda untuk mengurangkan rasa gugup. Bagaimana saya mahu memulakan perbincangan tentang agama? Bertali pertanyaan itu di benak.

“I sedang buat penyelidikan tentang pandangan non Muslim terhadap orang-orang Islam khususnya orang Melayu. Mungkin pandangan you amat bernilai pada I,” mulaku. Dia terkejip.
“Kenapa?” tanyanya.
“I nak jawapan yang ikhlas dari hati you. Katakanlah apa sahaja yang you rasa dan faham tentang Islam. I mahu tahu sebagai seorang penyelidik dan seorang yang beragama Islam,” balasku.
“Boleh spesifik lagi?” tanyanya lagi.
“Ok, you tahukan agama Islam bukan untuk orang Melayu saja, untuk semua bangsa di dunia.”
Joel mengangguk.
“Sejak bila?”
“Baru saja, masa I tingkatan satu. Sebelumnya I faham Islam tu agama orang Melayu sehinggalah bila I jumpa kawan seorang India, I ingat dia beragama Hindu, rupanya dia penganut Islam. Dari situ I mula faham, Islam is religion for anyone.”
“So, adakah you boleh menerima Islam adalah agama langit?”
“Yes, I memang percaya Islam adalah agama langit seperti juga Kristian dan Yahudi.”
“Really? You juga menerima al-Quran sebagai wahyu dari Allah SWT?”
Joel mengangguk. “Tapi I tetap tak boleh terima Muhammad sebagai nabi.”
“Kalau bukan Rasulullah SAW sebagai nabi, maka al-Quran diturunkan pada siapa?” soal saya.
“Kita tahukan, al-Quran atau Bible telah diturunkan lama dulu, sebelum sampai pada kita
sekarang mengalami pertukaran zaman dan generasi. Adalah tidak mustahil ia telah dipalsukan oleh orang-orang tertentu,” jawabnya tidak menepati soalan saya.
“Tapi al-Quran tak pernah berubah sejak diturunkan kepada Rasulullah SAW sehingga kini.”
“Betul?” Tanya Joel keraguan. Saya mengangguk dan tersenyum.
“Walaupun begitu, ia boleh disesuaikan pada setiap zaman, masa dan tempat. Ayat al-Quran tidak pernah berubah tetapi uniknya ia boleh diselaraskan dengan keperluan semasa. Bagaimana Bible?”
“I akui, dalam Bible terlalu banyak pembaharuan di lakukan sebab macam I kata tadi, wahyu kitab itu bertukar banyak zaman, jadi ia diolah oleh orang-orang tertentu. Contoh sebuah kereta, asalnya keluar dari kilang serupa tapi bila ada yang diubahsuai supaya lebih menarik.”
“Kenapa you tak percaya Nabi Muhammad SAW sebagai nabi?”
“Tak ada bukti. Boleh jadi direka-reka.”
“Tapi al-Quran tak pernah berubah, jelas baginda SAW adalah utusan Tuhan akhir zaman.”
“Dalam Bible tak disebut,” katanya. (saya berfikir bahawa perlu banyak masa untuk berhujah dengannya lalu mengubah kepada soalan lain)
“Saya seorang yang berfikiran terbuka tentang agama. Pada saya, setiap orang berhak dengan apa yang diyakininya betul dan memberi kebahagiaan kepadanya. Tidak adil seseorang itu hanya percaya bahawa apa yang diimani sahaja yang benar,” kata Joel.
“Tuhan itu kaya dengan kasih sayang, malah kita hidup dengan nikmat kurniaNya. Dan manusia berhak merasa adanya Tuhan dengan cara mereka sendiri. Kerana sesuatu itu mungkin baik bagi seseorang tapi tidak baik pada kita,” tambah Joel lagi. Jelas keterbukaan dirinya menerima semua agama.
“Tapi sebagai penganut Kristian, you mesti yakin hanya Kristian yang benarkan?” provoke saya.
Dia senyum lalu mengangguk.
“Begitu juga saya. Sebagai orang Islam, saya hanya yakin Islam sahaja benar. Tetapi, kita berhak untuk tahu pegangan orang lain bukan?” Kami sama-sama tersenyum.
“You taukan tentang kisah Nabi Isa (jesus), dalam al-Quran juga disebut dengan jelas dalam Surah Maryam.”
“Yakah?” Joel terkejut. Baharulah saya tahu rupanya dia sedang mengkaji al-Quran dan membandingkannya dengan Bible secara senyap-senyap.
“Saya belum sampai ke surah itu lagi,” jawabnya.
“Kita percaya Tuhan Allah yang sama tapi bezanya, kalian menerima Jesus sebagai anak Tuhan sedang kami percaya Tuhan itu Esa dan tidak mempunyai anak. Jesus hanya nabi Allah seperti juga para nabi yang lain termasuk Muhammad SAW.”
“Ada disebutkan tentang malaikat Jibaril dalam Bible?” Joel mengangguk.
“Gabriel,” jawabnya.
“Jibril lah ruhul qudus yang menyampaikan pesan pada Maryam bahawa Allah mahu menciptakan anaknya dengan proses yang lain daripada manusia lain. Bukankah Allah itu Maha Berkuasa atas sesuatu? Penciptaan Jesus tanpa bapa juga salah satu kuasa Tuhan. Jadi, Islam tidak menerima Jesus sebagai anak Tuhan, dia hanya Nabi yang diciptakan penuh kekuasaan Tuhan.”
Joel mengangguk.
“Oklah, I nak tanya pandangan you terhadap orang Melayu pula, you lihat anak-anak Melayu ni semakin progresif tak?”
“Ya, kebanyakan teman-teman Melayu I mereka sangat open minded dan independent. Cuma, kadang-kadang I nampak mereka tak praktiskan apa yang mereka percaya.”
“Contohnya?” Tanya saya.
“Kadang-kadang mereka tak solat, bila I tegur mereka kata, umur masih muda kena enjoy, nanti tua sikit baru taubat,” kata Joel sambil senyum sinis.
“Sebab tu I rasa pengamalan dalam Islam ada yang terlalu menekan. Apa guna kalau kita solat dalam keadaan yang terpaksa, is not ikhlas. Macam solat itu fungsinya masuk waktu kena solat seperti diprogramkan bukan solat dengan hati yang betul untuk Tuhan. Ia juga boleh memberi kesan negatif pada ekonomi, bila berurusan dengan pelangan terpaksa delay kerana solat,” kata Joel merujuk pengalaman teman Melayunya.
“Tapi..I ada juga kawan Melayu yang betul amal Islam nampak hidupnya lebih berdisplin,” tambah Joel lagi.
“You tau, I bila tengok filem-filem barat seperti gejala muda-mudinya, hedonisme, budaya bebas I faham itulah ajaran Kristian,” kata saya.
“You salah! Kristian tak ada kaitan dengan budaya barat yang kronik tu. Dalam Kristian kami mengharamkan banyak perkara termasuk zina, minuman arak dan lain-lain. Barat banyak menyeleweng dari Kristian sebenar,” ulas Joel.
“You selalu ke gereja?” Joel menggeleng.
“Dulu selalu juga tetapi sekarang tak lagi. Kamu tau, kadang-kadang I rasa pergi gereja macam ke kuliah saja. Dengar ceramah paderi kemudian balik. Jadi, lebih praktikal kalau I baca dan kaji Bible di rumah saja,” kata Joel. Saya senyum dalam hati.
“Hani, I sokong poligami dalam Islam,” kata Joel. Saya mengerut dahi.
“Ia menjaga kaum wanita tambahan sekarang, wanita disibukkan dengan pelbagai tanggungjawab memang dia perlukan pembantu untuk suaminya.”
“Berkongsi suami?” Joel senyum.
“Saya tidak bercakap sebagai tuntutan biologi saja, secara psikologinya, memang poligami dapat membantu kaum wanita meringankan beban. Reason yang diberikan Islam untuk benarkan poligami amat berasas,” kata Joel. Saya begitu kagum dengan pandangannya.
“Pendapat I tentang agama ni begini, you follow what you believe. Kebenaran akan melorongkan kebahagiaan dan ketenangan pada manusia. Dalam Kristian, kami memperjuangkan cinta, cinta pada makhluk dan cinta pada Tuhan,” katanya.
“Islam juga begitu,” pantas saya.
“Ya, semua agama membawa kepada kebaikan dan perpaduan,’ kata Joel. Jelas, anak muda ini seperti anak-anak muda liberal lain masa kini menerima semua pandangan agama.
“I ramai kawan dari kalangan atheis, mereka tak percaya hidup bertuhan. Kita lahir secara semulajadi, sebab itu mereka sangat enjoy di dunia, hidup sebebas dan sesukanya kerana bila dah mati, tak ada apa lagi,” terang Joel.
“Tapi, I fikir, jika mereka sakit contohnya, mengapa mereka masih ada harapan untuk hidup? Kalau mati you tak dapat balasan apa-apa. Baiklah you mati saja, kenapa nak berharap untuk hidup. You die is nothing. Memang dah sampai masa untuk you jadi seperti semula iaitu tiada,” syarah Joel merujuk teman-temannya yang tidak percayakan agama.
“Itulah fitrah. Manusia tidak boleh lari dari mengharap dan mencintai kebaikan untuk dirinya. Rasa bertuhan itu wujud tapi mereka yang menafikannya,” balas saya.
“I ada kelas sekarang, nanti kita sembang lagi ya,” sampuk Joel.
“Ok, satu penghormatan pada saya mengenali awak Joel.”
“Ya, saya pun.” Kami bertukar no telefon dan emel.
“Nanti saya bawa teman-teman lain bertemu dengan anda Hani,” katanya.
“Ya, sangat-sangat boleh,” balas saya. Dia berlalu ke fakulti, sedang saya masih di meja, menghabiskan sepiring nasi lemak. Teringat Joel, katanya ketika saya ralit bertanya “Kenapa tak makan nasi tu?”


Ya Allah! Kurangnya pengetahuanku pada agamaku sendiri untuk kuberitakan pada makhlukMu tadi. Namun, aku bersyukur kerana Allah menggerak diriku untuk menegur Joel dan tidak bersikap pesimis terhadap non-Muslim. Apakah hari ini permulaan langkahku?

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.