Friday, October 19, 2007

BILA ADIK PULANG

Bila Adik Pulang..
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan



Mentari sangat elok. Cahayanya menerobos ke ruang kamar, terus menerangi wajah kami yang sedang tidur. Aku berasa perlu bangun kerana suara burung sudah kedengaran, bermakna burung telah memulakan kehidupan. “Dik Lin bangun,” lirihku. “Dik Nur bangun,” jeritku. Dua tubuh berkelubung dalam selimut kukodek-kodek dengan tangan. “Bangun sayang-sayang kakak,” kataku. “Umppp..” balas suara dalam selimut. Entah Dik Lin, entah Dik Nur. “Kalaulah kakak burung, kakak sedang terbang cari makanan. Bukan tidur lagi di sini,” kataku.



Pintu kamar terkuak, tubuh montel berambut panjang berlari ke sisiku. Mencium pipiku berkali-kali. “Kakak bangun lambat..” katanya. Aku tersenyum. Dik Nur sudah bangun rupanya. “Kejutkan Lin. Malu dengan burung, sudah terbang cari makanan Lin masih berdengkur.” Dik Nur gelak-gelak, tangannya merentap selimut Dik Lin. “Bangun Lin, kakak kata kau tak malu dengan burung?” Dik Nur melempar selimut Dik Lin ke pintu. Dik Lin masih merengkut. Rambut panjangnya berjurai menutupi bantal. “Biarlah, burung tu bukan puasa. Kalau bangun pun tak boleh makan,” kata Dik Lin. Matanya terpejam rapat. Aku senyum. Adik-adikku jika tidak ke sekolah selalu saja lambat bangun tidur.



Aku disorong ke bilik air. Kerusi rodaku menjadi laju ditolak Dik Nur. Rambutnya yang selalu lepas ke bahu berjurai panjang. “Kakak puasa tak?” tanyanya. Mataku menjeling ke atas. Dik Nur gelak-gelak kecil. “Mama tinggalkan nasi goreng bawah tudung saji untuk kakak tapi dah tinggal sikitlah,” katanya. Aku sudah menerka. Sebelum kerusi roda mencecah lantai bilik air, aku sempat mengutil lengan Dik Nur. “Makan dengan siapa ha? Pagi-pagi sudah buka puasa,” cecehku. Dik Nur tidak mengendahkan. Dia menyalin tubuhku dengan kain basahan sebelum menjurus rambut dan badanku. Sejuk. “Sebelum mama keluar tadi, mama pesan jaga kakak baik-baik,” cerita Dik Nur. Tangannya ligat menggosok tubuhku dengan sabun. Hatiku terusik. Kasihan mama dan abah, hari minggu pun terpaksa bekerja kuat. Apakah kerana hari raya yang bakal menjelma? “Mama kata nak beli baju gaun putih dan kasut tumit tinggi untuk Dik Nur,” kata Dik Nur. “Kalau Dik Nur puasa penuhkan?” aku menyampuk. “Alah kakak tu tak pernah puasa pun..” Dia mencebik. “Kakak lain..” aku mengetap bibir. Dik Nur mengeringkan rambutku yang tinggal beberapa helai. Badan kurusku dibalut tuala bersih sebelum disorong kembali ke bilik.



Kamar sudah bersih. Tilam tempat baringku berganti cadar putih. Hatiku bergetar kala tubuhku dibaringkan Dik Nur ke tilam. Entah mengapa, bila melihat saja warna putih serasa ajalku semakin dekat. Walaupun Dik Nur selalu berkata, “Kak Hana akan cantik nanti bila rambut Kak Hana panjang.” Tetapi, sempatkah rambutku panjang? “Rambut Kak Hana panjang dalam kubur saja Dik Nur,” balasku selalu lantas dijerkah Dik Lin, “Kak Hana jangan tinggalkan kami,” katanya sambil menangis teresak.



“Dik Nur, entah-entah esok Kak Hana masuk kubur.” Tiba-tiba dadaku berasak. Sudah setahun aku menderita kanser tulang. Sejak umurku 10 tahun. Kematian yang selalu digambarkan dalam televisyen sering mengganggu tidur malamku. “Dik Nur takutlah Kak Hana. Jangan sebut lagi,” kata Dik Nur. Perkataan kubur mungkin amat rapat dengan ‘hantu’ bagi kami kanak-kanak. Tetapi, sejak aku sakit, sering aku berfikir bahawa kubur paling aman untukku melepaskan diri daripada kesakitan. Mengapa orang dewasa jarang untuk bercerita tentang kubur dan kehidupan kekal di akhirat? Malahnya, apabila aku bertanya pada mama atau abah, mereka diam dan memujukku, “Hana akan kembali sihat.” Sebenarnya, aku ingin tahu wajah alam yang bakal manusia tuju bila mereka mati. Allah itu Maha Penyayang, tentu aku akan bahagia di sana. Bertemu dengan Allah, bertemu dengan Rasulullah SAW, bermain-main dalam syurga bahkan boleh meminta apa sahaja hatta kapal terbang sekalipun akan dimakbulkan. Ah! Mengenangkan impianku untuk naik kapal terbang, semangat hidupku kembali cerah.




“Lin, siapa makan nasi goreng bawah tudung saji?” Aku terdengar Dik Nur memekik kepada adik kembarnya di dapur. Aku memejam mata, membayangkan kapal terbang MAS sedang mendarat. “Kenapa kau makan? Itu nasi Kak Hana. Kau ni Lin..” Aku membuka mata. Suara Dik Nur kuat di dapur. Aku tidak pula mendengar suara Dik Lin. Sudah-sudahlah adik-adikku, kakakmu ini lebih kepingin naik kapal terbang daripada nasi goreng sejuk tu, rungut hati kecilku. “Mana Lin tahu, Lin lapar sangat tadi,” tingkah Dik Lin. “Habis Kak Hana nak makan apa? Nanti mama marah tak jaga kakak baik-baik.” Aku tersentuh mendengar suara Dik Nur. Sedih sekali jika aku mati awal dan berpisah dengan adik-adikku.




“Kak Hana, Dik Nur turun kedai belikan kakak roti. Lin dah habiskan nasi goreng kakak..” kata Dik Nur. Aku senyum. Mengejip-ngejipkan mata. “Rupanya, dua-dua adik kakak tak puasa,” balasku. Dik Nur tersengih malu sambil menggaru rambutnya yang mengurai. Dik Nur keluar. Entah di mana Dik Lin? Mataku terpandangkan tiga kuntum bunga plastik yang disepit Dik Nur di belakang pintu bilik kami. Sekuntum berwarna hijau, dua kuntum berwarna merah. Agakanku, sekuntum yang hijau itu adalah aku, manakala dua kuntum yang merah itu buat sepasang kembar yang comel, Dik Nur dan Dik Lin. Tapi, agakanku silap kerana kata Dik Nur, “Yang hijau itu Dik Nur, kakak dan Lin dua bunga merah.” “Kenapa? Kakak bukan kembar Lin,” aku pernah mengujinya. “Dik Nur nak juga rasa tak ada pasangan kembar. Nak sorang-sorang,” jawapannya buat aku ketawa. Mengenangkan kata-kata itu, aku jadi bimbang semula, aku bakal seorang-seorang bila aku mati. Mama, abah, Dik Nur dan Dik Lin akan menghantarku ke kubur. Sebaik sahaja aku masuk ke liang lahad, mereka akan pulang meninggalkan aku kegelapan dalam tanah yang sempit.

Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Tidak masakan Allah memberiku mama yang baik, abah yang baik juga Dik Nur dan Dik Lin yang baik. Allah memberi kami rumah sebagai tempat tinggal. Allah memberi kami makanan dan pakaian. Allah menyelamatkan hidup kami dari orang-orang jahat. Ah! Tak terhitung nikmat Allah. Nyawaku yang masih berdenyut ini juga pemberian Allah.




“Mama, bagaimana kalau tiba-tiba ada orang jahat kacau keluarga kita? Allah tak kasihan pada kitakah?” Tanya Dik Nur suatu ketika. Aku teringat lagi jawapan abah bagi pihak mama. “Allah selalu kasihan pada kita sayang. Kalau ada orang jahat kacau keluarga kita, bukan Allah tak jaga tapi Allah nak uji supaya kita jadi orang yang sabar. Orang sabar ni dekat dengan Allah. Di akhirat, Allah bagi dia syurga yang paling besar dan cantik.” “Jadi, Kak Hana sakit ni sebab Allah nak uji dialah?” Tanya Dik Lin pula. Mama mengangguk. Kali ini mama pula menjawab “Sebab Allah sayang sangat pada Kak Hana. Kitapun tak boleh sayang Kak Hana macam Allah sayang pada dia.” Aku tenang sekali dengan jawapan mama. “Nanti Kak Hana dapat syurga paling besar dan cantik, jelesnya,” teringat lagi kata Dik Nur. “Dik Nur pun boleh dapat syurga lebih besar dan cantik daripada Kak Hana tapi dengan syarat…” kata-kataku dipotong abah “Dik Nur kena sabar setiap kali ada kesusahan menimpa..” “Termasuk kena kacau dengan orang jahat?” Tanya Dik Nur. Kami semua mengangguk dan tersenyum kepada Dik Nur. Entah mengapa, air mataku mengalir deras. Terbayang wajah Dik Nur sedang menggosok tubuhku dengan sabun di bilik air tadi. Tuhan, peliharalah adik-adikku kerana aku tidak mampu bergerak untuk menjaga dan mengawasi mereka.



Senja mulai merona suram. Sebentar lagi azan Magrib akan berkumandang di ufuk Kampung Kerinchi. Abah dan mama pulang dengan menjinjit plastik makanan begitu banyak. Aku terbaring lemah kerana memikirkan Dik Nur yang masih tidak pulang-pulang sejak awal pagi. Dik Lin sudah tiga kali meronda seluruh kawasan flat kami, tapi bayang Dik Nur tidak kelihatan. Kami berdua serba-salah di hadapan mama dan abah. “Dik Nur hilang?” Mama mengerut dahi. “Adalah tu dekat-dekat kawasan ni. Dia nak hilang ke mana? Agaknya di rumah Imron” kata abah menyusun kueh dalam pinggan. “Tak ada, Lin dah cari rumah Imron, rumah Dina, rumah Nora, semua tak ada abah,” jelas Dik Lin. Abah diam meneruskan suapan makanan.

“Dik Nur belum balik?” Wajah abah terjengul di muka pintu. Kali ini tona mukanya tidak setenang tadi. Mama yang resah bertambah kacau dengan tangisku. “Dia turun nak beli roti untuk Hana tapi tak balik-balik.” Entah mengapa aku berasa paling bersalah apabila melihat gelisahnya abah dan mama. “Saya cuba cari dulu dengan orang surau,” kata abah kemudian turun semula ke surau flat kami. “Mama, kalau Nur tak balik, dia tidur mana malam ni?” tanya Dik Lin. “Kalau mama tahu, mama suruh dia tidur di rumah sayang,” jawab mama. “Kawan-kawan Lin tak nampak Nur kat kedai pagi tadi?” Dik Lin menggeleng. “Abang kedai tu kata Dik Nur datang kedai semalam je, hari ni tak datang,” kata Dik Lin. Mama mengerut dahi. “Abang kedai mana?” “Yang selalu bagi gula-gula pada kami. Abang yang ada kucing comel tu.” Aku memandang Dik Lin, abang itukah yang selalu berkirim salam padaku melalui Dik Nur atau Dik Lin? Kata Dik Nur, abang itu sangat baik. “Pelik betul. Semalamkan kita semua teman Kak Hana di hospital,” jawab mama. “Lin nak panggil kawan-kawan sekejap.” Dik Lin berlari ke pintu. “Mama! Beg siapa ni?” Aku hanya memerhati langkah mama yang laju. “Mama!!! Dik Nur!!” jerit Dik Lin sehabis suaranya.


Segala-galanya sangat pantas. Seperti seekor burung yang terbang bebas kemudian dilastik batu, ia jatuh ke bumi lalu mengerang mati. Aku memang suka memerhatikan burung. Cicipnya menemani hari-hariku di jendela flat ini. Burung selamat kembali ke sarang malam ini tapi Dik Nur hanya singgah sebentar di rumah kemudian akan kembali ke sarang yang abadi; kubur! Ya Allah, betulkah apa yang terjadi hari ini? Kami tidur bersama semalam, Dik Nur memandikan aku, menyiapkan aku dan melayaniku. Matanya yang bulat, senyum begitu mesra dan rambutnya yang berjurai panjang kini hanya terpotret di gambar. Di hadapan kami sekarang adalah Dik Nur yang malang seperti mayat seekor kucing yang ditoreh sesuka hati. Siapakah manusia yang memiliki akhlak begitu dahsyat meratah kehormatan kanak-kanak Dik Nur? Sampai hati dia. Sampai hati sanggup menerima kutukan alam dan menyerah diri kepada kemurkaan Allah. Mama pengsan lagi. Abah di sisi jenazah Dik Nur tidak bersuara apa-apa. Matanya yang merah bak saga menjelaskan sengsara hatinya menerima kematian Dik Nur dengan cara begitu zalim. Mayat Dik Nur dijumpai dalam beg atas rak kasut depan rumah kami sahaja. Apakah manusia sekarang bebas melakukan apa sahaja termasuk meratah tubuh kanak-kanak, membunuhnya kemudian memulangkan kembali kepada kami? Manusiakah itu?



Dik Lin menyembam muka ke bahuku. Tangan tulangku mengelus-ngelus rambut panjangnya seperti aku mengelus-ngelus rambut Dik Nur. “Kak Hana, Dik Nur dah pergi, Kak Hana jangan pergi,” katanya. Aku mengucup Dik Lin. “Abah dan mama masih ada. Mereka akan jaga Dik Lin baik-baik.” “Kalau abah dan mama tak ada?” “Kenapa pula?” aku mengerut dahi. “Lin dengar abah dan mama nak kena tangkap sebab tak jaga Dik Nur baik-baik..” tangisnya makin tinggi. “Dik Lin, Allah ada. Allah akan jaga kita semua sayang. Jangan bimbang. Orang sabar akan dapat syurga besar tau,” pujukku. Dik Lin memelukku erat. Suara bacaan yasin semakin kuat berseli ingatanku pada kata-kata Dik Nur, “Kalau ada orang jahat kacau, Dik Nur nak sabar sebab Dik Nur nak dapat syurga lebih besar dan cantik daripada Kak Hana.” Aku mengetap bibir yang basah. Dik Nur, selamat pulang ke syurga yang abadi. Tunggu kakak di sana.


GAMBAR2 COMEL KAK BABAH, PUTERI SULUNG USTAZ MASZLEE DAN KAK MIDAH. Boleh layari blog Kak Babah http://www.nusaybahmaszlee.blogspot.com


Mudahnya Allah mengambil nyawa manusia yang disayanginya. Al-Fatehah untuk kanak-kanak yang meninggal dunia di bulan Ramadan kali ini.

Tuesday, October 2, 2007

Maisarra adalah pelakon sitkom Bong dan iklan Merdeka tv3 baru-baru ini. anak kedua dari lima beradik. 4 saudara, semuanya pelakon termasuk nenek mereka.
maisarra kata " Nak jadi macam nenek bila besar. nak berlakon."
"Siapa idola Maisarra?"
"Fasha Sandha" jawabnya.
Saya lalu hadiahkan buku saya padanya.
"Baca tau. Nanti besar Maisarra kena masuk universiti. Jadi pelakon yang berilmu dan mendidik masyarakat."
Maisarra terkebil-kebil.

Adik Maisarra (pelakon cilik Bong), abang dan adiknya yang comel



Ramadan Yang Dulu
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan




Selalu, bila terdengar pukulan gendang dari corong madrasah yang kami gelar ‘nadsah’ setiap Subuh hari, kami semakin merekot dalam selimut. Rasa sejuk ditambah perasaan kantuk melambatkan diri berpisah dari bantal dan tilam kabu. Kami tahu melambatkan Subuh tidak baik. Malah kami juga tahu menarik selimut ketika azan berkumandang samalah seperti menarik gebar kulit babi. Tapi, kanak-kanak yang degil seperti kami selagi kulit babi tidak betul-betul di atas badan kami, maka meneruskan tidur lebih menyenangkan daripada berjemaah Subuh di nadsah.




Sehinggalah badan kami dikutil tangan lembut kakak. Yang menjadi sasaran kutilan paling kuat ialah aku yang paling tua. Manakala Zaidi dan Fuad, melihatkan aku berkerut menahan sakit maka mereka bingkas menuju ke telaga. Rasa kutilan kakak seperti digigit semut dan kadangkala seperti dicucuk jarum. Berdenyut-denyut. Ketika kami bertiga, aku, Zaidi dan Fuad berbaris di saf paling belakang, buntutku yang dikutil kakak masih lagi terasa baranya.

Kakak memang garang. Lebih garang daripada emak atau pakcik. Jika ayah masih hidup, garang ayah tidak dapat melebihi kegarangan kakak. “Mengapa kakak kita selalu marah?” “Mukanya cemberut dan masam.” “Ah! Kakak seperti burung kakak tua, asyiknya berleter sahaja,” balasku menambahkah tuduhan Zaidi dan Fuad terhadap kakak. “Aku tahu kenapa?” Zaidi gelak-gelak kemudian membisik ke telinga Fuad, selepas itu Fuad berdekah lebih kuat daripada Zaidi sehingga pangkin di bawah pohon bergegar. Aku jadi tidak sabar. “Kenapa? Kenapa?” tanyaku. “Nanti kau marah, ini tentang kakak,” balas Fuad. Barangkali kerana kakak adalah saudara kandungku seibu dan sebapa, mereka ralat. Sedang Zaidi dan Fuad adalah anak ibu dengan pakcik, iaitu adik-adik tiri aku dan kakak. “Kamu bercakap seperti dia bukan kakak kamu berdua,” balasku. Zaidi dan Fuad tersengih lalu saling menjeling. “Kaulah cakap.” Zaidi menguis Fuad. “Kaulah..” balas Fuad. Aku mulai rimas. “Cakappp!” tekanku kuat sehingga Zaidi tidak berpeluang berahsia lagi. “Kakak tu umurnya sudah 20-an, bukankah dah lanjut? Di kampung kita ni mana ada anak dara setuanya, semuanya dah berkahwin.” “Lalu?” aku mencenung Fuad. Sebenarya, ramai lagi anak-anak dara di kampung kami tetapi apabila menjangkau usia belasan tahun, masing-masing berumahtangga kecuali kakak. “Kakak dapat penyakit ‘andartu’ sebab tu dia garang,” tambah Fuad. “Andartu ialah anak dara tua. Kakak anak dara tua yang tak laku,” kata Zaidi pula. “Hahahaa..” aku ketawa paling kuat. “Kasihan kakak..” kata kami bertiga serentak.




Musim Ramadan paling kami nantikan. Sejujurnya, walaupun umurku sudah menjangkau 13 tahun tetapi aku tidak pernah berpuasa penuh. Namun ibu dan kakak tidak pernah tahu kerana aku hanya meneguk air kala mengambil wudhuk terutama waktu Zohor. Pulang dari sekolah, kami tidur terlentang di beranda rumah kemudian kakak datang membawa rotan sambil menyuruh kami menukar pakaian sekolah dahulu. “Tak ada guna kamu bertiga puasa jika tinggalkan sembahyang,” kata kakak. Kerana takutkan rotan kakak (kakak benar-benar akan merotan sesungguh hatinya) kami mengekor arahan kakak. Aku sudah sedikit bertenaga selepas minum seteguk dua air kolah dan tidak bercadang menyambung tidur lagi.






Petang-petang, kami berlari ke simpang jalan melihat juadah makanan yang dijual beraneka jenis. Di tangan kami ada syiling 50 sen yang diberikan oleh pakcik sebagai upah berpuasa pada hari itu. “Tak payah belilah makanan tu, yang di rumah inipun banyak,” kata kakak. Kami mencebik. Kakak tidak pernah bersetuju dengan kami. Biarlah, duit kami, bukan duit kakak, bisikku sekadar dalam hati (kerana takut pada kakak). Di sana, ada kuih apam, badak berendam, murtabak, karipap, buah Melaka, tepung pelita, lopeh, masalodeh, bihun goreng, laksa dan lain-lain. Aku paling liur melihat sate. Walaupun harganya mahal iaitu sebatang 10 sen (berbanding kueh lain harganya hanya 5 sen satu) lalu kubeli tiga cucuk. “Ingat, tiga cucuk ni untuk aku sahaja,” kataku pada Zaidi dan Fuad. “Shh..kalau kau bagi aku secucuk, duit aku boleh digunakan membeli karbaid buat ubat meriam buluh kita,” bisik Zaidi. Kami bersepakat untuk membeli lima cucuk sate, selebihnya duit akan digunakan untuk membeli minyak tanah dan karbaid meriam. “Kenapa lima cucuk?” “Untuk aku, Zaidi, kau, emak dan pakcik,” kataku. “Kakak?” “Ah! Dia makan kuih-kuih di rumah saja,” balasku lagi.



Masuk sahaja waktu berbuka, juadah puasa terhidang memanjang. Emak memasak nasi ulam yang menjadi kegemaran pakcik. Nasi ulam dimakan bersama dengan sayur keladi. Selain itu, ada kueh buah Melaka dan karipap hasil air tangan kakak. “Hari-hari kueh Melaka, bosan!” Entah mengapa, aku berani pula memberontak di hadapan kakak. Matanya membulat. “Lebih baik daripada tak ada makanan,” katanya. Pakcik berdehem membuatkan kami semua diam.
Emak menyuakan cucuk sate kepada kakak apabila melihat kakak terkebil-kebil memerhatikan sate masuk ke mulut kami. Agakanku, kakak malu untuk meminta dan lebih rela menahan keinginannya. “Siapa beli mak?” tanya kakak. “Khairil” emak memuncung padaku. “Tak apalah mak, dia beli untuk mak,” balas kakak kemudian tangannya mencapai kueh buah Melaka. Aku menjeling Zaidi, dia menjelingku. Kami senyum sinis di belakang kakak.

Puasa sudah masuk hari kelima belas. Kampung kami mulai meriah dengan pelita minyak tanah. Malam-malam, selepas sembahyang sunat terawih kami mengikut pakcik dan orang-orang tua lain bermarhaban keliling kampung. Waktu itulah peluang aku mengintip anak-anak dara seusiaku yang mengintai kami sebalik tingkap. Agenda main meriam dilakukan ketika jemaah sedang menunaikan solat terawih. Aku, Zaidi dan Fuad hanya sembahyang empat rakaat dan jika rajin enam atau lapan rakaat. Itupun sekadar mengaburkan pandangan pakcik agar dia tidak menghidu aktiviti kami. Kalaulah pakcik tahu, kami bertiga akan ditambatnya di batang pokok nangka.



Di belakang rumah Salim, kami bertiga termasuk Budin dan Salim siap sedia dengan meriam buluh. Salim, anak Imam Zainul pakar meletupkan meriam hingga bergegar pohon-pohon sekeliling rumahnya. Paling menyeronokkan apabila kami terdengar ada para jemaah di nadsah yang melatah termasuk Imam Zainul. Habis bacaannya bercelaru hingga dibantu oleh makmum yang lain. Rupanya, pasukan meriam kami disaingi oleh budak-budak kampung sebelah. Maka, terjadilah perlawanan meriam yang paling kuat. “Cita-cita aku bila besar nanti nak cipta bom pula,” tukas Salim. “Siapa yang kau nak bom tu?” “Aku nak bom rumah Bush, samseng sangat dengan orang Arab,” balas Salim. “Shh..orang Arab tu orang Islam ke?” tanya Zaidi pula. “Mestilah Islam. Kau tak tengok ke mereka pakai jubah dan serban macam di televisyen tu,” kataku pula. “OOO..aku ingat orang Melayu je orang Islam,” kata Zaidi kebodohan. Kemudian kami terus membakar meriam sehingga terdengar alunan zikir dari nadsah menandakan terawih sudah habis.
Kali kelima berlangsungnya aktiviti meletupkan meriam, rahsia kami telah pecah. Ia angkara kakak yang melakukan operasi pengintipan setelah diberitahu oleh musuh-musuh kami dari kampung sebelah. Usai terawih, belum sempat kami menyimpan perisai buluh, minyak tanah dan serbuk karbaid, kami sudah dicerkup jemaah surau termasuk pakcik. “Budak-budak nilah yang kacau sembahyang kita sampai tak khusyuk setiap malam,” kata Haji Husin. Kami sudah terkepung seperti penjenayah ditangkap polis. Tanganku dikilas ke belakang oleh Haji Noh. Tangan Zaidi dan Fuad juga begitu. Salim lebih teruk diheret bapanya, Imam Zainul ke depan rumah. “Kau memalukan ayah!” kata Imam Zainul pada anaknya. “Bawa mereka balik rumah!” arah pakcik pula kepada lelaki-lelaki yang mengilas tangan kami.



Malam itu, pohon-pohon bawah rumah menjadi teman kami. Aku terikat di batang pohon paling hujung dekat dengan dapur. Zaidi dan Fuad di batang pohon ceri. Akulah paling kasihan kerana batang pohon kelapa langsung tiada daun dan gondol terpacak. Maka, yang memayungiku ialah bintang-bintang di langit dan bulan separa penuh. Mujurlah kami sempat menyucuh sumbu pelita sekeliling rumah membuatkan malam tidak begitu kelam di bawah pohon. Manusia yang paling aku dendami ialah kakak. Dialah punca kami disiksa sebegini kejam oleh pakcik dan menyebabkan air mata emak luruh kerana kasihankan kami, anak-anak lelakinya. “Sudahlah ayahnya, lepaskanlah anak-anak kita ni,” rayu emak. “Biarkan mereka sejuk bawah pohon tu, kalau tak didenda begini, jahatnya makin menjadi-jadi,” kata pakcik.




Zaidi dan Fuad sudah terkulai layu, tertidur sambil tangan terikat ke belakang. Rupa mereka tidak ubah seperti penjenayah yang mati di tali gantung. Aku tidak dapat melelapkan mata setelah mataku bakup dek tangisan. Puas sudah aku menjerit dan merayu pada pakcik tetapi degil pakcik melebihi jeritanku. Nyamuk-nyamuk sudah melihat aku sebagai bangkai yang enak darahnya. Sejuk. Nyamuk. Perit. Semuanya bersatu menyeksa diriku. Tuhan! Bantulah hamba-Mu. Aku berjanji tidak akan menjadi budak yang nakal lagi, doaku dalam hati.
“Cepat naik atas rumah,” bisik suara halus tepi telingaku. Rupanya, kakak telah merungkai tali yang melilit tangan kami dan memimpin Fuad dan Zaidi naik ke rumah. Kakak cuba memegang tanganku namun cepat kutepis. Mengapa baharu sekarang dia bersimpati pada kami? Mengapa kakak tidak membiarkan kami mati kesejukan dahulu baharu datang membantu? Aku masuk ke dalam bilik. Sebelum melelapkan mata, aku menangis lagi dan aku tahu, kakak di bilik sebelah juga turut menangis. Mengapa kakak perlu menangis?

Esoknya, tanggal 17 Ramadan, aku demam panas. Kala itu, aku benar-benar tidak berupaya untuk berpuasa (walaupun setiap hari aku meneguk air kolah ketika berwudhuk). Tubuhku lemah dan hanya terbaring atas tilam. Zaidi dan Fuad bernasib baik kerana mereka hanya mendapat selsema. Pakcik masuk ke bilikku, “Aku harap kau tak ulangi lagi kenakalanmu. Memang denda semalam setimpal dengan perangaimu Khairil,” kata pakcik. Aku meneguk liur. Aku tidak marahkan pakcik. Yang aku marahkan ialah kakak. Mulut besarnya menyebabkan aku menderita dua hari ini. Walau bagaimanapun, sejak aku demam kakaklah yang menjaga aku siang dan malam. Mulanya aku meluat tetapi melihatkan kakak tidak banyak bercakap, aku membiarkan saja dia melumur tubuhku dengan air daun bunga raya juga menempek asam jawa atas kepalaku. Kakak memicit tubuhku, merenggangkan jemariku dan menyuap bubur ke mulutku. “Khairil, kau jangan nakal lagi ya.” Aku diam, menelan bubur yang disuap kakak. “Kau jangan nakal,” ulang kakak lagi. “Kau dah besar, kau tak boleh nakal,” kata kakak. Hatiku mulai panas. Sudah-sudahlah dia berpesan padaku. Memang aku telah berjanji tidak akan mengganggu jemaah di surau lagi. Janji itu kukuh tatkala melihat wajah pakcik dan emak. “Arwah ayah pesan pada kakak, jaga kau baik-baik dan jangan biar kau jadi budak nakal. Kau sorang sahaja adikku seibu dan sebapa,” kata kakak sebelum keluar. Barangkali dia tidak mahu air matanya tumpah di depanku.
Ramadan sekejap berlalu. Yang paling menggembirakan kami ialah dapat memakai baju melayu dan songkok baru. Pakcik akan menyewa kereta membawa kami ke pekan untuk membeli pakaian dan peralatan hari raya. Rupanya, emak membeli begitu banyak barang termasuk kain langsir, pinggan mangkuk kaca juga tikar. “Rumah kita akan sambut kenduri besar.” “Kenduri siapa?” soal kami. “Kakak akan berkahwin,” kata emak. Aku, Zaidi dan Fuad membulatkan mata.

Kakak telah dibawa pergi oleh suaminya pada hari raya kedua. Tanpa kakak, rumah kami rasa kurang. Sejak itulah, aku mulai merasakan kakak begitu penting dalam hidup kami.

Takbir Syawal telah berlalu. Madrasah yang dulu masih agam menerima jemaah. Cuma sebelah kawasan madrasah yang dulunya kosong kini mengisi jasad-jasad tanpa nyawa.
“Ayah..!” Aku menoleh. Zakaria mampir menggenggam tanganku. ”Ibu tunggu lama dalam kereta. Adik panas,” kata Zakaria. Aku meraup muka. Pusara kakak di hadapanku basah disiram air mawar yang dibawa kami. Ramadan yang dulu tidak serupa sekarang kerana kakak sudah pulang meninggalkan seluruh kenangan untuk di kenang.

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.