Tuesday, November 20, 2007

Coret2 di PENA


Dato Kemala, Hj Suratman markasan dan Cik Salleh.



Bergambar bersama dua sasterawan besar Singapura, Saudara Isa Kamari (kiri) dan Pakcik Mohd Raman Daud (Pengerusi Asas 50 Singapura)Depan yang comel tu, cik Izzati dan cik ummu.


Anak dara manis bergambar dengan wartawan BH, Tuan Nazmi Yaakub.



Sewaktu menjadi urusetia program Serumpun Sebudaya anjuran PENA bulan lalu, saya bertemu dengan budayawan-budayawan dari negara rumpun Melayu Polinesia antaranya Saudara Mohd Raman Daud (Singapura), Tuan Haji Abdul Hakeem (Brunei) Ibu Fatin Hamamah (Indonesia) dan beberapa nama besar yang lain. Masing-masing membicarakan tentang pergolakan budaya Melayu yang kian ditelan arus global di negara sendiri.

Saudara Abdul Razak Pandangmalam dan Ustaz Ismail yang gigih berjuang di Selatan Thai untuk orang Melayu Muslim di sana


Paling menyedihkan saya kala budayawan Pattani, Abdul Razak Pandangmalam mengakui bahawa bahasa Melayu kian pupus di kalangan generasi muda Melayu di wilayah Selatan Thailand. Jelasnya, ada sesetengah kampung di Pattani, anak-anak mudanya sudah tidak pandai berbahasa Melayu sekalipun mereka adalah orang-orang Melayu. Dalam pembentangannya, beliau menyeru supaya orang-orang Melayu di Malaysia dapat memulihkan ‘keadaan tenat’itu. “Dari segi ekonomi, kami tidak begitu runcing kerana semiskin-miskin orang Melayu di Pattani masih mempunyai tanah. Yang parahnya ialah generasi muda kami kian kehilangan identiti Melayu termasuk bahasa ibunda mereka,” kata saudara Abdul Razak.

Saudara Khalid Salleh


Dua tokoh pejuang bahasa dan budaya di Pattani.

Teman mahasiswaku, sempena tahun baru ini moleklah kita melihat ke dalam diri, apakah perasaan kita terhadap jatidiri Melayu-Muslim yang semakin usang disimpuh kemodenan? Malaysia yang kita cintai memiliki kemahsyuran sebagai negara membangun yang gagah termasuk berjaya menakluk aeroangkasa. Namun, jangan kerana sibuk meniru dan meletakkan bangsa lain di haraki tertinggi, kita meminggirkan nilai budaya asal; seorang Melayu beragama Islam!

‘Apa tanda Melayu jati,
Ilmu bermanfaat ia minati,
Apa tanda Melayu jati,
Orang berilmu ia dekati,
Apa tanda Melayu berakal,
Ilmu dituntut menjadi bekal’

(Pak Tenas Effendy, 1994)

Saturday, November 10, 2007

Singapura Pasca Las Vegas


Pasangan romantis:)

Rancangan bertandang ke Singapura tiba-tiba muncul di bibir abah. Hari itu, dalam kereta dari Kedah, saya, Hasna dan Hanifah menemani abah meredah sisir lebuhraya PLUS ke Kuala Lumpur. Agenda raya rupanya belum tamat. Dan jemala otak melayang pada nota dan kertas-kertas kuliah yang berterbangan entah ke mana. Belum lagi saya bersedia untuk menikmati peperiksaan dengan enaknya. Uhhh..pilihan saya, walaupun dalam keadaan tidak berbekal dengan ‘jawapan untuk imtihan’ saya tetap memilih untuk bermusafir dengan keluarga ke Singapura. Alasan kukuhnya, negara itu tidak pernah saya jejaki walaupun sejak kecil, saya berangan-angan untuk melancong ke Singapura. Kini, sudah 24 tahun, selepas Syria, Jordan, Myanmar, Medan dan Bangkok, pintu rezeki ke Singapura baru terbuka, Alhamdulilah

Perjalanan Bersama Hujan

Jam 8.15 pagi, kami, saya, mak, Mai, abah dan Dik Pah meluncur dari lebuhraya SPRINT Damansara terus memasuki PLUS Shah Alam- Johor Bahru. Tidak ada yang menarik pagi ini di Kuala Lumpur melainkan kereta yang berpusu-pusu ke tempat kerja ditambah hujan renyai-renyai, hampir tersekat perjalanan kami sebelum masuk ke lebuhraya. Hampir jam 9.15, baharu kereta boleh meluncur selancarnya dan saya rasa mahu menulis waktu itu. Catatan-catatan hanya terpeta di kepala. Watak Iman, Salwana dan Fahda Nur menari-nari..tulislah! Saya kerling ibubapa di depan. Kiri dan kanan saya adik dan ‘bakal adik’membuatkan saya sebenarnya terhimpit oleh badan-badan yang agak besar. Alangkah menghayati alam terasa kurangnya.

Singapura Belakang Bayang Israel



Pembinaan semula negara maju Singapura

Singapura, dulu dikenali sebagai Temasik. Orang yang bertanggungjawab membuka tanah ini ialah Sir Thomas Stamford Raffles pada tahun 1819. Beliau berpandangan jauh bahawa Singapura bakal menjadi transit pasaran dunia kerana kedudukannya yang strategik. Selepas tentera Syonan (Jepun) melepas kembali Singapura ke tangan British (1942), tempat itu menjadi korban hutang-hutang British menampung kos peperangan.



gambar tak cantik dari dalam kereta

Kini, sejak mandiri dari kuasa luar termasuk Malaysia (1965), Singapura bangkit sebagai sebuah Negara Perindustrian Baru (NIC) pertama di Asia Tenggara. Pada tanggapan dunia, Singapura adalah sebuah negara maju yang KDNKnya sentiasa tinggi sejak merdeka dengan 90 peratus penduduknya memiliki rumah sendiri. Ia sudah melepasi taraf ekonomi negara-negara jiran Asia yang lain termasuk Malaysia.

Apakah dengan pencapaian ini rakyat Singapura berbangga lalu terus memilih Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diasaskan Lee Kuan Yew hampir 48 tahun lamanya? Beberapa persoalan bermain di fikiran. Apakah hegemoni PAP melangsungkan pelan ekonomi Singapura sebenarnya merobohkan institusi masyarakat Melayu Singapura? Siapakah dalangnya yang melaburi segala pembangunan, memandu pelan pertahanan, politik dan pembentukan sosial Singapura? Kerana ia sebuah negara yang kecil lebih kecil dari Pulau Pinang dengan keluasan 150.5 KM persegi tetapi mampu mencapai kedudukan negara-negara maju Eropah.



bangunan kedai lama masih dikekalkan.

Secara logiknya bolehlah dikatakan demografi negara ini hampir menyamai Israel kerana kedudukannya yang kecil di Asia Tenggara dengan majoriti penduduk China (75 %) dikepung pula oleh negara yang majoriti penduduknya adalah Melayu beragama Islam. Israel pula walaupun sebahagian besar negara dunia tidak mengiktiraf kewujudan negaranya, ia dikelilingi negara-negara Arab yang rakyatnya rata-rata adalah Muslim. Adalah pasti, selain US, penasihat hala tuju negara Singapura ini adalah Israel yang dilaknat. Malah, Israel telah menjadikan Singapura sebagai pangkalan satelit mereka di Asia Tenggara.

Singapura bermodelkan Israel dalam bidang pertahanan dan pembangunan negara manakala ekonomi mencontohi negara Switzeland.


Ustaz Hafiz Singapore

Dalam kereta ketika memasuki Pekan Johor Bahru, tidak putus saya mengutus sms kepada sahabat sekelas yang menetap di Singapura. Kebetulan hanya ada nama Ustaz Hafiz (rakyat Singapura) yang ada dalam simpanan. Mudahan, jika dapat berjumpa dengan Ustaz Hafiz, bolehlah dia menjadi pemandu pelancong kami nanti.



Jam 1.30 petang (24/10/2007) adalah waktu yang penting dalam diari kerana sudah sampai ke negara Phua Chu Kang. Abah memberhentikan kereta di tepi bangunan imegresen untuk kami mengisi borang pelancong sampil dikepilkan sekali dengan passport. Rupanya, urusan tol yang bakal kami lalui dalam negara ini perlu diselesaikan di sini.



Akhirnya, Ustaz Hafiz berjaya dihubungi malah bersedia menjadi pemandu pelancong. Abah senang hati kerana tidak begitu cekap jalan-jalan lebar di sini. Ya, nampak berbeza sekali ketika melalui jalanraya kerana para pemandu rata-ratanya tidak gopoh dan mematuhi had jalanraya yang sentiasa terpapar di skrin jalan. “Mereka ni kalau masuk Malaysia automatik bawak laju dan ganas,” lucu abah. “Di sini mereka takut dengan undang-undang. Siapa sanggup bayar saman yang tinggi?” sambungnya. Nampaknya abah masih ingat jalan ke Masjid ba’Alwi milik Habib Hassan dan keluarganya.




Masjid Ba’ alwi

Yang mengundang abah ke Singapore kali ini ialah Imam Habib Hassan. Abah dan tokoh Islam Singapura ini telah menjalin hubungan persahabatan lama sewaktu abah mengadakan pergambaran dokumentari Salam Nusantara. Kami akan bermalan di masjid yang rupanya seperti Islamic Centre yang menyediakan penginapan untuk tetamu dari luar juga sebuah muzium Islam.






Apa yang membanggakan, menurut abah orang-orang Melayu Singapore masih ramai yang berpegang teguh dengan agama Islam. Di kalangan mereka merupakan professional dan ahli karporat tetapi menjadi pendakwah yang konsisten dengan kerja-kerja kebajikan. Di Masjid Ba’alwi ini terdapat sukarelawan yang berkhidmat dengan masjid. Dalam tempoh seminggu kerja, pasti ada satu hari yang diluangkan untuk berkhidmat secara sukarela di sini.





Di halaman masjid, kereta-kereta mewah diparkir penuh melambangkan jemaah yang datang daripada golongan atasan. “Inilah istimewanya orang Melayu Singapore, mereka dididik ala China dalam urusan kerja dan sikap bersungguh-sungguh. Jadi tidak pelik kalau mereka ni ramai yang kaya (bisnes minded) tapi teguh mengamalkan Islam. Masyarakat begini yang kita mahu pupuk di kalangan umat Islam sekarang,” syarah abah pada saya dan adik-adik.


Saya akan menulis tentang masjid ini di kesempatan yang lain, insya Allah.

Berjalan ke Kampung Melayu Gaylang dan Glam.

Petang menjengah, Ustaz Hafiz tiba dengan MPVnya. Saya dan Hanifah beralih kenderaan, menumpang kereta Ustaz Hafiz. Abah merangka kami melihat aliran cable car di Pulau Sentosa. Namun, kerana tidak cukup masa, kami hanya melihat kereta kabel dari bawah (saya menelan liur nak naik!)



hanya mampu tengok cable car dari bawah..

Dalam kereta, Ustaz Hafiz banyak bercerita tentang susah-senangnya sebagai warganegara Singapore yang beragama Islam dan berbangsa Melayu. Kerajaan PAP telah menggunakan gabungan persetujuan bersama, paksaan dan penyusunan perlembagaan untuk mengekalkan hegemoni politiknya. Politik mereka bersikap autonomi kerana mereka menganggap jika terlalu banyak demokrasi, hal ini tidak produktif kepada kestabilan dan pembangunan ekonomi.



Negara maju masih tidak dapat membasmi kemiskinan. (gambar) seorang peminta sedekah di Kg Gaylang, Singapura bersama anaknya.

Orang-orang Melayu sudah pasti sebagai kelompok minoriti yang dipinggirkan! Walaupun merekalah penduduk asal/ pribumi negara ini. Malah, sejak merdeka hingga penghujung abad 21 ini, keadaan tidak banyak berubah. Dibandingkan dengan kaum Cina
dan India, orang-orang Melayu ketinggalan dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. Berapa kerat sahaja golongan ini terlibat dalam jurusan professional atau menjadi wakil rakyat berbanding dua kaum yang disebutkan.



Bertemu Farihin Fatah kat Kampung Gaylang, kecik sungguh dunia!

“Bersih ya negara ni,” kata saya. Ustaz Hafiz yang memandu sebelah Hanifah senyum sinis. “Sini masyarakatnya disemai rasa takut pada undang-undang. Kalau buang sampah ni, entah berapa ratus la kena denda. Bukan tu saja, siap kena buat kerja sosial lagi. Yang takut tu, kita tak tahu polis kat mana sebab polis selalu menyamar jadi orang awam. Hehe..” katanya.



Kami melawat Melayu Village di Gaylang. Pada perkiraan awal saya, kampung ni seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur. Ada rumah-rumah lama orang Melayu awal tetapi sangkaan itu meleset. Tempat ini sudah berubah menjadi kawasan pelancongan budaya dengan bangunan muzium bercirikan binaan Melayu serta kedai-kedai menjual kraftangan. Kata abah, kampung Melayu dahulu semua terbingkai dalam gambar sahaja.



Keagungan Melayu di Pulau Temasik terpotret dalam gambar.


“Mana orang Melayu tinggal sekarang?” tanya saya. “Orang Melayu dah jual tanah pada kapitalis Cina. Duit tu mereka buat beli apartment atau flat. Rata-rata kami dah tinggal di rumah tak bertanah,” balas Ustaz Hafiz. “Tahu berapa harga rumah bertanah di sini? Hampir suku juta atau sudah lebih. Sangat mahal,” tambahnya.



Ustaz hafiz (kanan)- tak mudah bersaing dengan masyarakat kapitalis.

Makcik Rem yang Baik Hati


Jamiah Islamiah Islamic Centre


Merakam kenangan dengan Tuan Haji Abu Bakar Maidin (tengah) dan anaknya Tuan Hasbi.


Setelah menziarahi Tuan Haji Abu Bakar Maidin di komplek Jamiah Islamiah (JI), sedarlah saya bahawa institusi agama Singapura begitu efisien menggerakkan usaha dakwah dan ekonomi Islam. Jamiah Islamiah, seperti juga warga Masjid Ba’Alwi bukan sekadar menumpukan kepada pengisian pendidikan anak-anak Muslim Singapura tetapi merancang sistem ekonomi yang boleh menjanai kebajikan masyarakat Muslim di negara autokrasi PAP. Di (JI), mereka mempunyai hospital Islam, rumah kebajikan orang2 tua, pusat pemulihan dadah, kilang makanan, sekolah dan pusat dakwah. Abah memperkenalkan saya dan adik kepada warga (JI) termasuk Haji Abu Bakar. Ah! Betapa kerdilnya kami di kalangan orang-orang hebat ini.

Aktiviti JI dipamerkan di ruang utama bangunan ini.


hanifah dan emak di depan Masjid Sultan


Senja mula berlabuh. Kami sempat singgah di kawasan Masjid Sultan yang terletak di Pekan Gaylang. Tujuannya adalah membeli sedikit cenderamata untuk adik-adik di rumah. Tidak banyak yang kami beli kerana matawang Singapore begitu tinggi (S$1 = RM2.10). Saya sempat membeli cd nasyid Hijrah oleh kumpulan Junied berharga S$19.90 (RM40).

Kami beli sup tulang di sini!


Ustaz Hafiz kemudiannya membawa kami ke Kampung Glam. Di situ terkenal dengan sup tulang yang menurut abah, sangat best! Saya tidak berasa teruja, bukankah sup tulang berlambak di Malaysia. “Sup tulang di sini spesel. Kalau nak makan, tak boleh pakai baju macam ukhti ni..” kata Ustaz Hafiz. Saya mengerut dahi. “Maksudnya?” “Makan kat rumah la,” tambah adik saya. Kami menunggu dalam kereta. Sementara abah membeli sup tulang, saya mengetik kamera di kawasan yang dimonopoli masyarakat China.

Malam sudah pekat ketika kami sampai di rumah Ustaz Hafiz. Dia tinggal di kawasan perumahan Chua Chuu Kang bersama ibubapa dan adik-adiknya. Rupanya, ibu dan adik Ustaz Hafiz menyediakan juadah malam yang menyelerakan. Dan, baharulah saya tahu mengapa sup tulang Singapura begitu spesel. Malah, sejak balik ke Kuala Lumpur, sup tulang masih terbayang-bayang di mata.


Sup tulanggg..

Makcik Ramlah, saya dan adik panggilnya Makcik Rem. Ibu teman saya ini sangat peramah dan lucu orangnya. Cerita Makcik Rem, “Makcik ada lima orang anak. Dulu, kerajaan PAP tak bagi rakyat bersalin ramai. Kalau ramai (lebih dari 3 orang) kena saman. Sorang anak tu kena S$1500 (RM3000) tapi kerana mahu juga anak, makcik bayarlah. Sekarang terbalik, sebab rakyat makin sikit mereka galakkan bersalin dan bagi elaun pula. Tapi siapa sanggup, kos hidupkan makin tinggi?”. Makcik Ramlah, Ustaz Hafiz dan adik perempuannya kami tinggalkan dengan berhutang (hutang budi). Moga Tuhan makin memurahkan rezeki untuk keluarga yang kuat memperjuangkan Islam di tengah masyarakat Buddha dan Kristian Singapura.


Terima kasih makcik rem dan ustaz hafiz!

Satu Malam di Ba’alwi
Memang kami tidak berhajat lama di Singapura. Rancangan sebenar ialah menghantar Hanifah ke Lapangan Terbang Senai untuk pulang ke Macau- Guangzhou esoknya. Malam itu, kami bermalam di Ba’alwi dan keluar semula ke Johor jam empat pagi.


Mak sempat beli bunga di Pekan Batu Pahat.


Singapura, khazanah Melayu yang hilang!

Pulau Temasik yang dulu dimiliki masyarakat Melayu awal menjadi transit perdagangan pedagang-pedagang China, India dan Arab ke Kepulauan Melayu kini menghampiri wajah Eropah. Nama-nama Melayu hanya gagah terpotret di Gaylang Malay Village diganti Lewis Rd., Alexandra Rd, Raflle City, Choo Chu Kang Rd, Lornie Rd. dan banyak nama Inggeris-Cina lain.

Orang Melayu bawah kerajaan Lee Kuan Yew hingga Lee Hsien Loong sekarang tidak banyak berubah. Momokan PAP pada masyarakat ini berlegar lama; orang Melayu dikatakan bangsa ketandusan budaya, mengalami masalah psikologi dan suka menerima menyebabkan PAP dengan autokrasi ala Eropah (yang merasakan merekalah yang bertanggungjawab ‘mengubah’ bangsa yang dianggap lemah) menghentikan segala bantuan dan kelayakan yang telah diterima orang2 Melayu Singapura ketika zaman British. Beralaskan tujuan untuk ‘mengajar’ orang Melayu supaya berdaya saing, berusaha gigih, berdikari dan bergerak seperti etnik minoriti (yang kini majority) China dan India, maka masyarakat Melayu Singapura tidak semewah kaum Bumiputera di Malaysia.

Memang kerajaan parti PAP tidak pernah melihat keistimewaan bangsa Melayu berdasarkan sejarah lampau. Untuk menggerakkan negara ini setanding Eropah, mereka tegas memberi peluang yang sama rata kepada semua etnik masyarakat serta bersaing dalam perlumbaan meritokrasi yang adil. Maka orang Melayu Singapura terpaksa berusaha untuk ‘hidup’, untuk ‘berjaya’ dan meneruskan kejayaan itu untuk ‘kuat’ di negara yang menekankan bahawa ‘Hanya yang kuat akan berjaya.’

Sebab itu tidak pelik mengapa orang Melayu Singapura ‘lain sikit’ kesungguhan mereka dengan kita di Malaysia?

Apakah kita, orang2 Melayu di Malaysia perlu dilayan serupa itu untuk menjadi golongan yang berusaha dan berjaya?

Singapura..aku akan datang lagi!!!

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.