Semalam saya dijemput para Maskara dan Sendiket Soljah untuk baca karya di Rumah PENA. Catatan ini antara yang dibaca saya semalam. Syukran buat Faez, Kak Asiah dan Kak Azi yang sudi menemani:)
Ladang Hati Mustika, saya menganggapnya sebagai anak sulung yang perit walaupun sebelumnya saya telah melahirkan beberapa karya kreatif tetapi prosesnya tidak sesabar novel setebal 316 muka ini.
Novel ini sederhana ditulis ketika usia saya menjejak 22-23 tahun. Ia bermula dengan cabaran kepada diri sendiri bahawa ‘aku perlu meninggalkan sesuatu’ buat varsiti yang saya cintai iaitu UM. Di varsiti , saya telah temui sebahagian besar diri saya sekarang terutama keyakinan, percaya diri dan cinta kepada ilmu. Proses ke arah itulah yang saya yakini penting untuk dirakam bahkan dikongsi dengan orang lain.
Novel ini, sebahagiannya adalah pengalaman saya kira-kira 70 peratus. Saya tidak perlu tema yang besar dan kajian mendalam untuk anak sulung. Saya ibu tunggal iaitu tidak perlu seorang suami untuk proses mengarangnya. Anak ini, ia mencabar saya untuk merenung, menilai, duduk menulis dengan berjadual dan bergaul dengan orang2 sekeliling. Segala yang saya alami, dirakam kejap. Saya bahkan disimpuh kerja-kerja kuliah sebagai mahasiswa, juga terlibat aktiviti persatuan masih menganggap kerja membikin anak ini sebagai bukan sampingan.
Alhamdulillah, kurnia Tuhan tak ternilaikan. Ladang Hati Mustika, anak saya ini terbit pada April lalu didanai ayah dan adik tercinta dan kini sedia untuk dihadam ikhlas oleh para khalayak semua.
Saya ingin memetik bahagian-bahagian kecil prolog novel ini yang saya selalu suka untuk mengulang membacanya.
SATU
Saya mulakan prolog dengan menggambarkan diri protagonisnya iaitu Mustika. Saya sedar, pembaca akan bijak menilai bahawa Mustika adalah diri penulisnya. Iya! Tidak ada penafian.
Saya telah ranjau dalam hidup kehidupan remaja iaitu putus cinta. Maka kecewa itu saya kalihkan pada cinta kepada Allah.
Cinta tumbuh subur dalam diri. Warna-warna bahagia menjadi baja dalam taman nubari, menggembur dan meranum denai taqwa sebati dengan cinta. Berakarlah segala sifat mahmudah hingga tercantas aloba duniawi yang selama ini membusung di hati. Cinta yang jernih itu hanya kenal kebaikan. Tidak ada kewalahan pada detik waktu yang kosong. Semuanya terisi. Semuanya menjadi sesuatu yang berharga bersama Kekasih.
(LHM, 1)
Selalu saya merenung bagi mencari protes terhadap diri. Apakah kerana ini saya terlalu buruk pada orang lain.
Aku ini sangat sederhana dalam serba-serbi tindakan. Dan kesederhanaanku malahnya bukan menghampiri kepada kesempurnaan tetapi kepada sikap gopoh-gapah yang mengundang rasa gundah dan berang pada diri sendiri. Dengan sikap itu jugalah aku menjadi seorang yang merendahkan diri walau ke lorong mana aku jelajahi. Sikap rendah diri menjadi sebati dengan diriku. Dan aku berjalan dengan mengendong sikap itulah ke mana-mana.(LHM, 2)
Tidak mahu berterusan memarahi diri, saya pujuk untuk bersabar dan melangkah (menulis sehingga selesai)
Ayuhlah! Nur Mustika tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Segala yang terbentang ini harus diterkam dengan jujur hati. Di hadapan, peluang masih luah. Dan masa pun terlalu pantas berputar tetapi waktu untuk berubah masih ada. Rawatlah jiwa rawan dengan ubat iman. Selalu-selalu membuat pemeriksaan pada diri. Selalu-selalu bergantung pada Tuhan.(LHM, 5)
DUA
Ketika menulis anak ini, saya tinggal menyewa dengan teman-teman. Saya tidak selalu menonjolkan saya sayangkan mereka amat-amat. Pergaulan seperti adik-beradik, mesra dan baik kadang2 bergaduh tetapi baik semula. Nama teman-teman ini saya abadikan dalam anak saya ini.
Teman baik saya, Faezah kami panggilnya Faez. Sangat cintakan sukan silat melebihi yang lain membuatkan saya selalu mahu marah pada dia. Bayangkan, , pukul 2, 3 pagi masih berlatih silat di um berulang-alik dari rumah sewa kami di Sek 14, PJ. Sebagai wanita, bawa motor tengah malam gelap memang tidak manis. Sebabkan letih berjaga malam, Faez selalu lewat Subuh dan tidur selepas Subuh amalan biasa. Cara saya menegur Faez adalah memerlinya selalu.
Saya merangka dalam novel ini, Faez dimasukkan ke hospital akibat giat bersilat.
“Lama dah Mus sampai?” Aku mengangguk.
“Bila mula sakit?” Agak tegas nada suaraku. Faez mengerut dahi.
“Lama dah..”
“Kenapa tak bagitau kami?”
Wajah Faez berubah merah. Aku memejam mata. Apa yang telah kulakukan? Baru sahaja tadi aku bersimpati dengannya mengapa tiba-tiba aku bercakap kasar? Ah! Aku.
Aku menggenggam tangan itu.
“Maafkan Mus. Sebenarnya, kami serumah risaukan Faez. Sepatutnya, Faez kena maklumkan tentang sakit ni. Kita boleh sepakat macam mana nak ubat..” kata-kataku
Lama aku membiarkan Faez menangis sebelum aku memeluk bahunya dan membisikkan kata ‘maaf’. Faez mengesat air mata dan meminta air untuk diminum. Aku mencapai gelas, menuang mineral yang disediakan hospital dan menyuakan kepadanya. Dia berselawat sebelum meneguk tenang.
“Tidurlah. Esok Mus kelaskan?” Tanya Faez. Aku mengangguk.
“Mus gelisah nak tidur tengok Faez macam ni. Mungkin ada lagi yang Faez rahsia dari Mus.” Faez tidak memberi apa-apa reaksi.
“Mus dah lama terkilan. Faez tak pernah perasan?” Diam
“Faez pentingkan diri tahu?”
“Mus..!” Faez menjerit kecil. Suaranya terdengar serak. Aku tersedar. Entah apa yang terkeluar dari mulutku sebentar tadi.
Faez mencapai bantal dan menekup mukanya.
“Faez..” Aku yang kembali sedar mula merendahkan suara. Seperti tadi, aku mendekat untuk memohon maaf bagi kali kedua. Faez memberi isyarat agar aku menjauh. Benar-benar dia terasa hati denganku.(LHM, 89)
Faez tidak dapat bermain perlawanan akhir sukan silatnya. Ketika itu baru dimaklumi bahawa dia sangat cintakan sukan silat.
“Mus, boleh tak Faez nak nangis kejap? Sesak dalam ni.”
Aku mengangguk. Dia menyembam mukanya ke bahuku. Aku memeluk Faez erat. Menangislah sahabat, menangis sepuasnya. Faez yang cekal, yang jarang menitiskan air mata, hari ini menjadi pilu seperti anak kecil. Sungguh besar cintanya pada sukan silat yang disertainya sejak kanak-kanak.
“Faez, kalau kita cintakan sesuatu, cinta dan kasihlah kerana Allah kerana bila ia hilang, kita tak akan berat tanggung kecewa. Allah ada alasannya.”
Badan Faez berhinggut kuat. Bahuku basah dengan air matanya. Aku mengangkat wajah itu. Wajah yang mulai kusam dengan kesedihan. Air mata bergenang di kelopak mataku. Tuhan, aku tidak pernah melihat dia sesedih ini.
“Mus minta maaf atas semua kata-kata Mus pada Faez selama ini. Mus sebenarnya cemburu. Cemburu kerana Faez banyak menghabiskan masa dengan silat. Mus marah kerana Faez leka dengan silat melebihi ibadah dan kesihatan. Mus dan kawan-kawan sayangkan Faez.” Aku mengusap air mata di pipi. Faez merendahkan tangisnya.
“Sudahlah Faez, kitakan sama percaya bahawa takdir Allah itu selalu manis. Insya Allah, penyakit Faez tak berat, Allah uji sekadar kemampuan kita. Suruh kita berfikir banyak tentangNya. Balik tenangkan diri dulu. Faez kena kuat, anak sulung jadi contoh pada adik-adik. Lagipun, mak abah harap pada kita yang paling tua. Pi lah basuh muka dulu.” (LHM, 102)
TIGA
Sebagai pelajar Usuluddin di UM, tanggungjawab melaksanakan amar makruf nahi mungkar melingkari diri. Kadang-kadang, konsep al-hikmah tidak mampu saya praktiskan. Barangkali, jiwa anak muda membuatkan saya terlepas berani. Ini ada buruk baiknya.
Peristiwa saya menegur teman serumah dengan cara tidak sepatutnya termuat di bahagian 17 novel ini (m/surat- 157-158). Kemudiannya saya sendiri ditegur teman rumah yang lain.
Sepinggan mee habis licin. Air milo dalam mug tinggal separuh. Kak Wani mengeringkan bibirnya dengan tisu.
“Mus, akak ada hal nak cakap sikit.”
“Cakap banyak pun takpe.” Aku ralat dengan sikap Kak Wani. Ada sesuatu yang penting ingin diluahkannya padaku.
“Sebelum tu akak minta maaf jika Mus terasa hati. Akak cakap seikhlas mungkin, insya Allah.” Mukaku berona merah. Aku sudah melakukan silap besar barangkali. Masakan Kak Wani memilih tempat begitu eksklusif untuk berbicara denganku tentang masalah ini.
“Mus ingat-ingat pagi tadi? Apa yang berlaku di Az-Zahra?”
“Apa?” Aku cuba memikirkan perkara-perkara yang mengaitkan aku dengan Kak Wani sejak pagi. Momentum akalku menangkap peristiwa aku mengusik Kak Rossa. Ya! Kejadian itu memang membabitkan Kak Wani. Aku ingat lagi bagaimana jelingan tajamnya.
“Pasal tukar siaran radio ke?”
“Ya! Mus sedar tak?”
“Sedar. Kak Wani marah.”
“Bukan akak yang marah tapi Kak Rossa.”
Aku mengemam bibir. Benarkah Kak Rossa terasa hati dengan sikapku? Tetapi jelingan Kak Wani lebih tajam daripada keluhan Kak Rossa. Hah! Aku hanya mahu berlucu. Bagaimana ianya telah menyakitkan hati manusia lain? Tuhan.
“Mus, Kak Rossa sedih bila Mus tukar siaran tau. Dia kata bagilah peluang pada dia nak enjoy pagi tadi. Selalunya, setiap hari kita dengar siaran mana? Ikim? Right?”
Aku mengangguk.
“Itulah silap kita sebenarnya. Kak Rossa tu ahli baru Az-Zahra tambahan pula bukan aliran agama macam kita. Jadi, kita perlu ada toleransi.”
“Tapi kak…”
“Akak rasa dalam berdakwah, membina hubungan itu lebih penting walaupun terpaksa beralah. Akak tahu Mus nak bergurau saja tadikan?”
“Ya. Itulah maksud Mus. Tak sangka perkara ni jadi besar.” Wajahku telah masam mencuka kerana kesal dengan sikap sendiri.
“Janganlah sedih. Perkara ni tak sebesar yang Mus sangka. Akak cuma nak tegur Mus awal supaya berhati-hati lepas ni. Boleh?”
“Insya Allah kak.”
Tuhan! Aku berterima kasih padaMu kerana mengirimkan seseorang untuk menegur sikapku. Aku masih mencari ruang menjadi manusia yang baik namun, aku hanyalah hamba yang kotor dengan kekurangan.
Sebelumnya, saya telah menegur teman yang sama juga tentang auratnya:
“Hai Mus, termenung jauh nampak.” Aku terperanjat. Kak Rossa yang baru keluar dari tandas hanya bertuala menutupi dada hingga ke peha. Aku lantas menjatuhkan anak mata pada skrin laptop.
“Ish! Akak ni pakai la labuh-labuh sikit. Malu kat saya kak.” Syauqi sudah hilang dalam fikiranku cuma hatiku tidak sedap dengan sikap Kak Rossa yang tidak menghormatiku. Dia masih berdiri sambil mengeringkan rambut.
“Laa..nak malu apanya, kitakan sama-sama perempuan.” Kak Rossa ketawa kecil.
“Sesama perempuan pun ada batas auratnya kak. Ustaz saya ajar, jika kita tengok aurat orang atau tayang pada orang lain, amalan kita terhapus selama 40 hari.”
“Eh! Ye ke? Akak tak tahu pulak.” Kak Rossa berubah muka. Dia mencapai kain batik dan menutup badannya.
“Berdosa lah ye?” Aku mengangguk.
“Fitnah tu bukan di antara lelaki dan perempuan sahaja sebaliknya sesama perempuan pun berlaku. Sebab itu Islam ajar kita akhlak dan adab agar manusia tahu menjaga kehormatan diri. Tambahan dalam rumah sewa, kita kena saling fahami dan tegur-menegur agar tak berlaku sesuatu yang melanggar syariat.”
Kak Rossa diam menunduk. Aku menjadi lega kerana dapat menyatakan perkara yang diajar guruku selama ini. Cuma rasa serba-salah melihat Kak Rossa diam membisu sambil mencari-cari sesuatu dalam almarinya. Apakah dia tersinggung dengan kata-kataku tadi?
“Mus. Terima kasih nasihatkan akak. Selama ni, tak ada orang pernah tegur akak benda-benda macam ni.” Kak Rossa mampir dan menggenggam tanganku. Ada nada keharuan dalam suaranya.
Kami juga berjiran dengan keluarga Cina yang baik. Kami teman-teman memanggilnya Uncle Sepet. Saya selalu berasa terpanggil untuk menerangkan tentang agama Islam kepadanya. Kerana tidak ada kekuatan jitu, saya hanya tegas dalam karya sahaja.
“Good Morning..” Aku berpaling ke belakang. Baju-baju sudah habis dijemur tinggal selimut untuk diperah dan digebar di atas ampaian.
“Morning uncle.”
“Baru jemur kain ma?” tegurnya. Aku mengangguk dalam nada malu.
“Tadi pagi senyap sunyi saja, semua orang baru bangun tidur ka?”tanyanya.
“Kami dah bangun sembahyang Subuh tadi, lepas tu tidor balik. Semua penat ma.”“Itu sembahyang aa, ikut satu arah sahajakah atau boleh banyak pusing-pusing lo?”
“Kita sembahyang satu kiblat saja. Ikut arah kaabah di Mekah.”
“OO itu macam tv tunjuk ka?”
“Olang Cina kata itu Muslim sembah dinding.”
“Tak betul Uncle. Setiap muslim sembahyang ikut arah kiblat kaabah. Dalam sembahyang, kita tak bayangkan Tuhan. Kita ada tatatertib sendiri. Kita rasa lemah dan merayu pada Tuhan. Tuhan tak boleh nampak.”
“Kalau tak boleh nampak, macam mana nak kenal Tuhan?” Uncle melirik pada mini tokongnya yang berwarna merah dan diletakkan di sebelah pasu-pasu bunga yang memenuhi lamannya.
“Uncle pernah rasa ditiup angin?” Dia mengangguk.
“Sejuk kan? Cuba uncle tarik nafas dan lepaskan.” Uncle terkebil mengikut arahanku. Speknya terjatuh ke batang hidung. Aku menutup mulut. Lucu dengan gelagat Uncle Sepet di depanku.
“Lega kan?”
“Uncle, Tuhan tak boleh nampak macam juga dia ciptakan benda-benda yang kita tak boleh nampak. Kita rasa sejuk angin tapi tak tahu wajah angin macam mana. Kita tak boleh pegang nafas kita dan orang lain. Uncle boleh?” Dia meleret senyum.
“Lu aa..bercakap memang pandai maa..”
“Betul tau Uncle. Kalau uncle terer aa, cuba uncle cerita apa yang ada dalam perut uncle sekarang.”
“You aa budak manis, banyak main-main maa. Don’t make a stupid joke!”
“Itu dalam perut. Atas kepala sendiri, boleh nampak? Cuba tengok sekarang?”
“I pergi ambil cermin dulu.”
“Mana aci. Ha..ha..”
“Allah sangat besar. Mahasuci bagiNya dari segala kejadian. Bila lihat bulan, bintang, bumi yang terbentang ini, pokok-pokok hijau, matahari, semua Dia ciptakan. Adalah mustahil manusia yang kecil ini dapat melihat Tuhan.”
“Apa?” jelas Uncle Sepet bingung dengan kata-kataku. Aku senang dia mendengar lagi. Entah bila dapat kuluahkan kebenaran ini kepadanya.
“Uncle nak jumpa Tuhan? Uncle kena masuk Islam, jadi orang Islam yang betul –betul baik. Bukan macam yang uncle tengok buat jahat tu. Di akhirat, hanya orang Islam yang baik dapat tengok Allah.”
Mulutnya semakin melongo.
“Masuk Islam beerti uncle akan selamat di dunia dan akhirat. Islam itu fitrah, marilah kita kembali kepada fitrah manusia yang sebenar. Uncle masih ada peluang lagi. Jangan lepaskan.”
“Kita sangat berbeza. I tak boleh terima pendapat u. Impossible.” Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah. Aku mengangkat kening lalu menarik baldi yang sudah kering airnya dan berjalan ke pintu
(LHM, 199)
Cara dakwah secara direct sering dilakukan oleh Rasulullah SAW sewaktu di Mekah dan Madinah. Namun, rentasan global yang mana Melayu Muslim kini tidak lagi segagah umat Islam dahulu, kita menjadi tidak berani malah ragu-ragu untuk berbangga dengan agama kita. Suara hati inilah terdapat dalam novel ini.
EMPAT
Kadang-kadang apa yang ditulis kita menjadi doa. Saya telah menulis sesuatu yang berupa rekaan kemudiannya menjadi reality setahun selepasnya.
Dalam novel ini, Mustika menyimpan hati kepada rakan sekolahnya yang dipanggilnya Ustaz Kopiah alias Hanif Mustafa kerana kata-kata harapan yang ditujukan kepadanya (barangkali kerana Mustika itu sepi ditinggalkan kekasih pertamanya lalu cepat sahaja suka pada perhatian orang lain)
Tulis Ustaz Kopiah kepadanya:
‘Kita pernah menyemai di sumur yang sama. Menuai benih-benih ilmu agar memberi tunas iman dalam diri. Kita disembur barokah para guru hingga semaian jadi gemilang. Tapi musim tidak berhenti, berlarutan dan berulang. Kerana kita ada bekal baja semangat, kita pun tidak pernah jemu menuai.’
‘Kini tanah makin subur. Bijih-bijih hasil mula mengerdip sinar. Jika sabar diri tidak kental, segala bijih akan disentap. Kerana ranumnya. Kerana kuningnya. Ah! Tidak tahan-tahan lagi.
Masih ada pesan barokah guru. Sabar-sabarkan hati. Masa mengutipnya akan tiba. Akan tiba Cik Mustika! Teruslah kita menuai dan bersabar.
(LHM, 234)
Saya tidak mahu menyatukan Mustika dengan Ustaz Kopiah kerana ingin menimbulkan suspend. Ustaz Kopiah sebenarnya dirisik oleh guru mereka untuk dijodohkan dengan anak saudara guru tersebut. Kerana taatkan guru, Ustaz Kopiah membuang perasaannya pada Mustika.
Mustika,
Apa yang ingin ana sampaikan ialah sebuah berita yang merundung ana sekarang ini. Gugup amat kala menerima taklifan tetapi berkat panduan istikharah, hati ana lapang menerimanya sebagai tanggungjawab dari Yang Maha Esa. Lagipun, hidup kita ini ditentukan olehNya. Kadang, apa yang kita suka dan idamkan tidak semestinya serasi dengan kita kerana Dia lebih mengetahui awal dan akhir perjalanan hidup kita ini. Demi mendapatkan cintaNya, kita terpaksa meredah segala ranjau dan pahit biarpun kita syahid di tengahnya. Semoga itu diberi ganjar yang mulia di akhirat.
Mus,
Ana kala ini sedang menghitung hari menjadi suami kepada seorang gadis yang ana sendiri tak kenali. Dia anak buah Ustaz Zain dan Ustazah Rohani. Ustaz yang ana anggap seperti bapa kandung sangat berharap ana menerima lamaran si gadis kerana agama. Terlalu tinggi harapan mereka untuk ana mendidik dan melayari hidup berumahtangga muslim dengannya. Sungguh-sungguh ana katakan, ana bimbang dan berasa kerdil untuk menjadi sebahagian keluarga Ustaz. Alangkah besar jadual yang ditetapkan Tuhan.
Mus,
Teruslah meredah hidup dengan menyerahkan segala urusan kepadaNya. Ana yakin, Mus akan dapat lelaki yang soleh bagaimana solehahnya Mus menjadi anak, pelajar dan manusia bermanfaat kepada orang lain. Ana berdoa, semoga pengorbanan kasih dan cinta ana pada seorang Mustika akan dibalas keberkatan hidup dalam rumahtangga kita masing-masing. Cinta adalah fitrah tetapi tidak semestinya cinta itu bersatu kerana cinta yang hakiki hanyalah pada Allah. Kita akan bersatu dalam syariat Allah dan redho pda tiap ketetapanNya
(LHM, 303)Mustika tenang malah tidak kecewa dengan khabar ini.
Menariknya, beberapa bulan lepas itu, saya juga menerima emel yang sama pemikiran dan suara hatinya seperti Ustaz Kopiah. Heeee..
LIMA
Novel ini mengandungi banyak aksi dan plot dan tak mungkin dilebarkan semuanya malam ini. Pembaca boleh membeli dan menghadamnya di rumah. Pastinya, ia bermanfaat kerana setiap kehidupan kita berbeza, ada baik dan buruk malah memberi teladan dan sempadan pada orang lain
Saya mengakhiri novel ini dengan happy ending, Mustika menemui cinta sebenarnya iaitu cinta kepada Yang Esa di samping bertemu cinta Adamnya sebagai pasangan hidup.
“Kak Mus tak tidoq lagi ka?” tanya Anis di sebelah. Dia mendekatkan tubuhnya padaku.
“Kenapa menangis?” tanyanya. Aku mengiring mengadap Anis. Mungkin dia boleh menjadi pendengar yang baik. Selama ini aku tidak pernah berkongsi rahsia dengan Anis kerana menganggap dia masih kecil dan kebudakan.
“Kak Mus tak menangis lah Anis.”
“Habis tu, Anis dengar tadi bunyi apa?”
“Bunyi hingus,” aku ketawa. Anis merengus dingin.
“Anis, tokwan nak jodohkan Kak Mus dengan anak Long Aziz. Kak Mus bimbang, Kak Mus tak kenal dia. Tokwan kata dia budak baik, layak ke dia dengan Kak Mus?” aku masih runsing memikirkan diriku yang serba kekurangan ini.
“Laa..seronoklah dapat orang yang baik, apalah Kak Mus ni. Lagi seronok dapat pi Madinah selalu.” Anis ketawa. Aku agak terhibur mendengar jawapannya. Kenapalah aku Tuhan, memohon padaMu yang terbaik, bila Kau berikan padaku, aku menjadi segan untuk menerimanya.
“Kalau Anis jadi Kak Mus?”
“Anis terima sahajalah. Kak Mus, kalau Allah bagi kehidupan yang baik dulu dan sekarang pada kita, Dia pasti akan berikan lebih baik pada masa akan datang, percayalah,” kata Anis. Aku seperti tidak percaya kata-kata itu keluar dari mulutnya. Ah! Anis sudah matang remaja. Aku sahaja yang melihatnya seperti budak-budak.
“Terima kasih Anis. Tak sangka adik kakak ni dah matang.”
Jika tadi dadaku berserabut dengan resah iblis, sekarang aku sibuk menelan manisnya iman. Apakah ini hikmahMu Tuhan?
(LHM, 311)
Akhirnya, saya ingin memetik khotimah novel ini sebagai kenang-kenangan malam ini:
Novel ini ia adalah sebuah cerita. Tentang persahabatan. Tentang kasih sayang. Tentang realis remaja Islam. Tentang cita-cita. Tentang pengalaman. Semuanya bersatu dalam perkebunan impian kasih
(LHM,316)
Teman-temanku di sini, teruslah kita menuai dan bersabar ya!