Sunday, August 12, 2007

Orang Bilang Ayah Teroris (OBAT)- Karya Kesatuan Organik Buat Manusia Jadi Awan’
Pengalaman mengembara ke dalam jiwa Paridah Abas.


PENDAHULUAN

Ustazah Paridah Abas. Seorang penulis melalui sebuah novelnya (lebih berupa catatan harian) yang sulung telah membuatkan aku menangis dua malam. Kedua mata menjadi bengkak. Malam pertama menerobos Orang Bilang Ayah Teroris (OBAT) aku guyur. Novel ini benar melekatkan lebih kepada mengikat diri, jiwa, psikologi dan rohani[1]. Terus-terusan hingga aku terasing dengan apa-apa yang berada di sekeliling. Sedu-sedanku. Kobar hatiku. Motivasi. Sesekali lucu tetapi dalam kawalan kagum, aku diam berfikir mencantas tawa. Hingga separuh buku, aku tersedar kerana alam sudah bertukar pagi maka fizikku merawan. Aku gagahkan tidur walaupun jiwaku masih ‘bercinta’ dengan OBAT. Maka lenaku adalah lelapan paksaan. Tahukan bagaimana rasanya ‘percintaan yang dipisahkan’ kemudian dipaksakan dengan yang lain? Yang lain padaku ialah bantal.

Nah! Itu suatu keajaiban pada seorang Ummu Hani kerana biasanya aku selalu dipaksakan bercinta dengan buku kemudian aku juga sendirinya menceraikan diriku dari buku kerana ‘mengantuk.’ (Ini tidak mustahil kerana penulis* juga manusia yang malas membaca buku..wakakaakaa)
* Baca kuat- Ummu Hani Abu Hassan sajaJ

Malam kedua. Aku tidak tahan untuk menghabiskan seluruh OBAT iaitu kisah Ustazah Paridah Abas yang dipetiknya daripada beberapa kolum umurnya bermula pada Disember 2002 (beliau berusia 32 tahun) hingga April 2005 (35 tahun). Lebih kurang petikan hidup dalam rangka 4 tahun itu (seperti yang termaktub di OBAT) beliau adalah wanita yang disabdakan Nabi SAW ‘Sebaik-baik perhiasan dunia.’ (Insya Allah, ini aku yakin sekali)

Bukanlan air mataku yang meleleh di pipi juga hingus yang disedut-sedut kala ini mengekspresikan keharuanku menelan buah OBAT tetapi tiada penghormatan lain buat pembaca naïf sepertiku (yang selalu tidur sebelum mencapai klimak nikmat pembacaan..) untuk buku yang berjaya mengikat empat ciri kemanusiannya sekaligus merasa kerdil dengan nikmat selepas tawakal[2] yang dirasai Ustazah Paridah dalam hidupnya[3].

Menjalar usia malam, aku tidak ingin tidur sehingga perasaanku (saat merasai seluruh kehormatan dan kemurnian misi OBAT) dapatku tuntaskan. Andailah Ustazah Paridah di hadapanku, sudah tentu mataku tidak mengerdip kerana meraup ketabahan beliau. Tambah lagi beliau adalah anak Kepulauan Melayu[4] dan kini menetap di Johor Bahru[5].
Nah! Marilah aku kongsikan sedikit rasaku mengembara OBAT (sebelum aku memaksa diriku berpisah dan bercinta dengan bantal pula)*. Kerana ada dua nikmat yang meladeni aku dalam pembacaan ini makanya aku memilih untuk menyoroti dua perspektif itu iaitu perkataan yang diwarnakan dalam tajuk di atas (sila rujuk pada tajuk).

*Aku sebagai seorang pelajar perlu cukup tidurnya alias pelajar baru belajar jaga kesihatan.


KESATUAN ORGANIK OBAT (KOO)

Jangan sesiapa panik pula dengan premis KOO di atas. Aku tidak akan mengambil pendekatan kesarjanaan untuk menceritakan pengalaman kembara dalam jiwa Ustazah Paridah[6]. Ia sebenarnya begitu abstrak untuk diterjemahkan (kecuali pada sesiapa yang sudah melunasi OBAT*) KOO adalah pengamatanku bahawa karya ini telah menyatukan ciri kemanusiaan lantaran kesatuan organik alias bahan yang direncahkan penulisnya. Berdasarkan eksperimen (yang berlaku pada diriku sendiri), aku ingin melubuki asbab OBAT begitu berjaya.[7]

*PERHATIAN! OBAT sudah dicetak pada tahun 2005 di Solo oleh Penerbit Jazera. Sudah dua tahun berlalu. Sebagai rakyat Malaysia aku berasa sangat kekurangan alias rendah diri kerana selalu ketinggalan dengan buku2 Indonesia tetapi aku akan berasa lebih malang jika aku rakyat Indonesia yang ketinggalan dengan buku2 seperti ini.

Organik menurut Kamus Dewan edisi tiga ialah bahan (yang tidak bercampur dengan sumber haiwan atau tumbuhan). KOO melihat bahan dalam OBAT sebagai nilai-nilai yang terkandung dalamnya kemudian menyatu sehingga memberikan nilai estetika rohani dan fizikal kepada pembaca. Lima pokok nilai dalam sesebuah karya agung[8] ialah ontologi, logik, epistemologi, psikologi, dan sosiologi. OBAT sebagai novel (kerana naratifnya bentuk kreatif) yang didasarkan pada kisah kehidupan sebenar (pengalaman asli) Ustazah Paridah Abas mempunyai lima organik ini.

1. ORGANIK ONTOLOGI

Setiap manusia mempunyai kisah tersendiri yang menarik dan unik berdasarkan lorekan dirinya atas apa yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Seorang bayi yang dilahirkan secara fitrah (ISLAM) maka menjadi tanggungjawab ibubapanya mencorakkan hidup besarnya sama ada menjadi Islam atau kafir[9]. Setiap manusia mempunyai fitrah (ISLAM) ini tetapi ia tidak semestinya beralur mengikut yang ditetapkan oleh Allah SWT kerana dunia dibentangkan sebagai ujian kepada manusia. Firman-NYA bermaksud:
Dan sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada para pengikutnya supaya mereka membantah kamu; jika sekiranya kamu taat kepada mereka itu (dalam menghalalkan yang haram) sesungguhnya kamu tetap menjadi orang musyrik.” – Surah An-am (6:121)

Ontologi adalah falsafah fitrah makhluk[10] yang mencerminkan keseluruhan nilai secara umum kemudian ia disokong pula oleh nilai-nilai yang lain bagi membuktikan ia benar-benar harmoni dengan fitrah tersebut.

Dalam OBAT, pembaca akan mulai terkesan dengan penulisnya melalui status isteri kepada seorang teroris (istilah yang dianugerahkan oleh media proksi barat). Kehidupan di luar kawasan kehidupan manusia biasa alias awam tentunya memberi pelbagai gambaran kepada pembaca.

Suami Ustazah Paridah iaitu Mukhlas alias Ali Ghufron adalah mujahid Islam yang diripuhkan barat dan Yahudi serta pro-pro mereka sebagai teroris yang bertanggungjawab mengebom Bali dan kini dijatuhkan hukuman mati (2003). Mukhlas seorang mujahid yang pernah bersama dalam pasukan mujahidin Afganistan, pernah menjadi orang kanan di sebuah pondok (pasantren)[11]juga seorang ilmuan yang dipanggil Ustaz (panggilan untuk orang yang dihormati kerana ilmu dan agamanya oleh orang2 Melayu) oleh sesiapa sahaja yang mengenali beliau secara rapat. Maka, secara langsung ia mempengaruhi kita bahawa Paridah, isteri yang bertindak merakam OBAT seorang yang mempunyai pegangan agama yang kuat hasil asuhan sang suami.

Seorang yang Islamis sepertiku (I am proud to be a Muslim) membaca pengenalan ringkas Ustazah Paridah di kulit belakang OBAT sudah menangkap perasaan sendiri – beliau (Ustazah Paridah) adalah mangsa keadaan. Malah, orang-orang yang digelar teroris seperti Ustaz Ali Ghufron sudah banyak dibinatangkan oleh Barat seperti mana mereka lakukan pada Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna dan Syed Qutub (sekadar mengambil contoh pejuang Islam di abad 20).

Jelas, tanggapan itu adalah premis yang berdalil. Seperti kata Saudara Bambang Sukirno, pengarah penerbitan Jazeera (Yuk! Membaca buku ini jangan juga lepaskan membaca kata-kata pengantarnya kerana di situ ada ‘anak kunci’ mengenali Ustazah Paridah dan Ustaz Ali Ghufron lebih dekat) dalam intronya:
Cak Ghufron (panggilan Ali Ghufron) ruwet menghadapi isteri yang besar di negeri metropolitan (Malaysia). Sebuah negeri makmur yang memanjakan rakyatnya. Padahal dia memiliki jalan hidup yang biasa berlawanan dengan tradisi isterinya iaitu jalan jihad yang lekat dengan kesederhanaan, penderitaan, dan ujian berat lainnya. Jalan yang beratnya ibarat ‘menggenggam bara api’” [12]

Ali Ghufron seorang yang optimis terhadap perencanaan isterinya sebagai seorang pejuang yang berkongsi hidup seperti yang selalu disebut syarikah hayati.[13] Fitrah pejuangnya itu menghijrahkan isterinya ke suatu tempat yang lebih cocok iaitu negara halaman Ali Ghufron. Di Indonesia, beliau menggeluti isteri mudanya[14] dalam ruang emas (musim awal pernikahan) sebagai seorang mursyid. Kata Bambang lagi :
Cak Ghufron kemudian mengurung diri untuk mentarbiyah ‘santriwati’ baru itu selama sebulan. Ia hanya keluar untuk solat lima waktu, belanja dan silaturrahim. Ia tidak bekerja mencari nafkah kerana perbelanjaan masih cukup. Baginya ketika itu hanya ‘mewarnai’ isterinya. Cak Ghufron menerapkan tarbiyah pada aspek; fikriyyah, ruhiyyah, diniyyah. Ada pelajaran akidah, ibadah, minhajul hayah dan materi lain.” [15]

Sudut sebelah Ustazah Paridah, beliau seorang anak yang cergas sejak kecil dan remaja membawanya menemui jodoh yang cocok (berdasarkan sikap2 Ustaz Ali Ghufron yang tersebut di atas). Penulis telah dididik secara tegas oleh ayahnya iaitu menghadapi saat genting dengan berdikari sendiri. Menurut Bambang lagi, Ustaz Ali Ghufron bercerita bahawa bapa isterinya sebelum dia dan Paridah berkahwin menyarankan sesuatu: anak gadisnya cerdas, berwatak keras, dan hanya tunduk dengan ilmu kerana itu ia harus bersuamikan orang yang memiliki ilmu..”[16] Kemudian bapa Paridah mengahwinkan anaknya itu dengan Ali Ghufron yang tidak mempunyai harta[17] tetapi kerana ilmu.

Cerita Bambang banyak mengenalkan perwatakan suami isteri ini terutamanya Paridah sebagai tipa yang bercerita dan penindak cerita OBAT. Ontologinya, gambaran-gambaran umum mereka inilah yang memulakan kisah OBAT sebagai pengalaman hidup yang dikaryai penuh estetik.


(BERSAMBUNG- Pengembara mengantuk..hehe)


















[1] Empat ciri kamanusianku (orang lain?? Tak tahu)
[2] Sifat Mahmudah paling pokok dalam keadaan genting pada seorang Mukmin
[3] Nikmat tawakalnya begitu ‘jenuh’ sebaik digelar isteri seorang pengganas sehingga suaminya dijatuhi hukuman mati kerana dituduh dalang pengeboman di Bali 2002
[4] Negeri yang dulunya dikenali sebagai Temasik
[5] Bangga punyai persamaan agama, bangsa dan negara denganku
[6] Pengembara masih belum berjaya membuka kunci pintu sarjana yang baru dimulainya
[7] Sifat literalnya yang natural dan murni
[8] Lima yang sering disebut oleh professor seni tampak Prof Madya Dr. Dzul Haimi Md Zain
[9] Mafhum hadith Nabi SAW
[10] Kamus Dewan Edisi Ketiga, h. 944
[11] Ustazah Paridah dan suaminya pernah mengajar di Pondok Luqmanul Hakim, Ulu Tiram, Johor (OBOT, h. 95.
[12] OBAT, h. XIV
[13] Partner hidup
[14] Ustazah Paridah ketika itu berusia 20 tahun
[15] OBAT, h. XIV
[16] OBAT, h. XIII
[17] Kecuali wang USD100 hasil ganti rugi barangnya yang hilang dalam pesawat ketika pulang dari Pakistan. H. XIII

No comments:

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.