Friday, September 21, 2007

Perubahan Mentaliti Dakwah

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh Keutamaan menyebutkan bahawa pembaharuan masyarakat Islam hendaklah dimulakan dengan tumpuan sepenuhnya kepada pembinaan mentaliti individu terlebih dahulu sebelum pembinaan masyarakat.[1] Umat Islam di abad 21 adalah umat yang telah menerima pelbagai serangan pemikiran terutama daripada barat dan blok komunis, hegemoni ini secara langsung menjadikan umat Islam berasa terkepung.

Namun, Islam dengan acuan yang tersendiri, berpaksi pada nilai-nilai tauhid yang mutlak kepada Allah SWT tidak dapat digugah oleh barat. Sekalipun terdapat umat Islam yang terpengaruh dengan aliran pemikiran barat dan cuba mengadunkan pemikiran-pemikiran ini dengan Islam, usaha mereka masih tersekat lantaran sifat nature Islam yang tidak tergugah.

Islam adalah agama saintifik yang tidak membicarakan tentang alam metafizik dan alam ghaib semata-mata. Harun Yahya, seorang tokoh pemikir Islam misalnya telah berjaya mencanggahi teori evolusi Darwin dengan hujahan al-Quran secara saintifik. Malah, kita memerlukan ramai Harun Yahya dalam setiap kepakaran teknologi dan maklumat semasa terutama dalam bidang multimedia termasuk radio dan televisyen. George Gubner, pemikir Eropah mengatakan bahawa televisyen sebagai satu agama baru kepada masyarakat industri yang cuba meminggirkan agama konvensional dan sebagai pusat minda masyarakat dunia. Jelaslah bahawa, mentaliti masyarakat kini adalah dibentuk oleh media semasa yang kebanyakkan disuapi barat dengan hidangan hedonisma[2] melampau.

Tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan-kerajaan di negara Islam untuk mengerahkan para ilmuan mereka mencipta formula pendidikan berteraskan terapi Islam bagi menggantikan skrip pendidikan sekular Barat. Di Malaysia, usaha penerapan nilai Islam bersepadu hanya dilakukan oleh institusi pendidikan swasta sedangkan di kebanyakan sekolah harian kerajaan kekal dengan silibus pendidikan yang mengutamakan sains dan matematik berbanding ilmu tradisi Islam. Pendidikan kita juga mengutamakan pengajaran dalam bahasa Inggeris secara langsung mengiktiraf hegemoni Barat sedangkan tradisi ilmuan Islam ialah pemantapan bahasa Arab yang menjadi sumber memahami al-Quran dan al-Sunnah.
Tidak dinafikan bahawa kebergantungan negara Islam kepada teknologi barat memberi manfaat yang besar terutama proses penyebaran maklumat dan kelicinan pentadbiran negara yang berlaku secara pantas. Namun, sehingga bila negara Islam akan memberi ruang keselesaan kepada barat sebagai pembekal malah penentu hala tuju ekonomi, politik dan sosiologi kebanyakan negara dunia termasuk di Malaysia?

Justeru, seruan Dr Yusuf al-Qaradhawi supaya penumpuan ke arah pembinaan mentaliti individu dan masyarakat. Antara yang digariskan beliau dalam bukunya[3] ialah:
(a) Membina kebenaran pada akal dan hati, iman, tubuh badan dan akhlak individu secara sempurna dan seimbang.
(b) Mengisi akal fikiran individu dengan ilmu pengetahuan.
(c) Membentuk jiwa dan mentaliti individu dengan ibadah yang benar.
(d) Membina jasmani individu dengan riadah dan olah raga yang sihat.
(e) Membimbing akhlak individu dengan sifat-sifat kemuliaan.
(f) Melatih individu dengan keberanian dan didikan ketenteraan.
(g) Memberikan individu pendidikan kemasyarakatan dan kesedaran berpolitik

Penerapan nilai-nilai ini secara langsung dapat membentengi dalaman umat Islam daripada serangan sekularisme barat terutama hegemoni Amerika yang tidak akan berhenti sehingga kiamat untuk menghancurkan umat Islam sama ada jasmani (seperti pembunuhan yang dilakukan mereka ke atas rakyat Iraq, palestin, Afganistan, Bosnia dan lain-lain) dan rohani (seperti yang kita saksikan di seluruh negara umat Islam, masyarakatnya hancur tidak bermoral lantaran serangan pemikiran sekularisma barat). Jelasnya, umat Islam perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah sebagai asas ilmu yang menjadi panduan mereka di dunia dan selamat di akhirat kelak.


Berdasarkan kepada huraian di atas, jelas bahawa Barat sedang mengalami kejatuhan nilai dalamannya. Pembinaan diri muda-mudi barat sekarang tidak dapat membekalkan model sahsiah kepada masyarakat dunia. Justeru, gejala ini adalah peluang besar kepada tamadun Islam sebagai sebuah tamadun yang pernah mengecap kegemilangan di kurun lalu untuk mengambil semula tempat sebagai sebuah kuasa besar dunia yang memonopoli politik, ekonomi, pendidikan, ketenteraan, sains dan teknologi serta sosial masyarakat yang semuanya terdapat dalam Islam.
Islam sebagai agama tauhid mempunyai dua perundangan mutlak iaitu al-Quran dan as-Sunnah sangat idealis menyelesaikan masalah umat manusia. Wahyu Tuhan merupakan sumber kepada kehidupan manusia yang membawa manusia hidup secara fitrah serta mengembalikan manusia kepada fitrah. Untuk mencapai kegemilangan Islam, usaha ke arah pemurnian akidah dan akal fikiran umat Islam merupakan teraju merealisasikan hasrat tersebut
[1] Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi, Fiqh Keutamaan: Satu Kajian Baru Dari Perspektif al-Quran dan al-Sunnah, Kuala Lumpur: Thinkers Library, h. 241.
[2] Budaya keseronokan tanpa batas
[3] Ibid, h. 244.

No comments:

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.