Si hilwa eh..
PUTIK QUNAITARA
Oleh :Ummu Hani Abu Hassan
“Anakku, aku ibumu ingin berpesan. Jika berjalan, peganglah tanganku erat-erat.” Ibu menghembus dahiku, anak rambut berwarna perang terkibas ke atas. Topi berjambul biru masih lekap mendinding dingin kepala. Ibu menarikku dekat ke sisinya. Jemari kami berangkulan ketika melintas jalan menuju ke Jisr Rais.
“Wajah Dimasyq cepat malap di musim dingin. Aduh! Kita selalu berkejar dengan masa sayang.
Ibu makin erat menggenggam tanganku. Memandang sekeliling, semua manusia seperti ibu. Berjalan tangkas ke depan, menunu dan meluru langsung tidak menghiraukan orang lain. Aku jika tidak dipeluk ibu, sudah tertiarap di tubir tangga jejantas. Apakah orang-orang dewasa mempunyai perasaan seperti bangunan-bangunan batu yang berselerak seluruh Jabal Muhajirin? Tidak halus memikirkan makhluk yang lain? Suam tangan ibu berminyak di jariku.
Kami menaiki service berlabel Kud’sia. Ibu memangku badanku atas pehanya kemudian menyua syiling 5 lirah kepada pemuda di sebelah. Ibu tidak ralat menampung montel tubuhku semata tidak mahu membayar lebih daripada harga seorang penumpang. “Bapamu kedekut,” keluh ibu setiap kali anak mataku menikam mata ibu. Kasihan. Perjalanan 45 minit ke Nazlah Kud’sia dalam service sempit biasa bagi ibu. Aku atas ribanya, beg comelku dimasukkan dalam beg kerja ibu yang turut diletak sebelah kiri pehanya. Biasanya, tubuh kami dihimpit pula lelaki-lelaki besar seperti juga tubuh bapa, seorang jundi Syria. Jika nasib tidak baik, hidung kami menampung hamis penumpang sebelah yang rata-ratanya jarang mandi di musim sejuk. Aku lalu menempek hidung di balik kerudung ibu. Masam ibu lebih bagus daripada kelat hapak lelaki-lelaki itu.
Mataku mencenung ke luar tingkap, pemandangan yang sama sejak setahun aku berulang-alik dengan ibu dari rumah kami di Jaddat Qudsayya ke Madrasah al-Imran di Pekan Baromkheh. Ibu bertugas sebagai anisah kanak-kanak bisu yang ratanya berumur seusiaku sehingga umur 12 tahun. Kini, aku sudah mencapai umur tadika, ibu meletakkan aku di bawah jagaan seorang pengasuh, Umm Kamal. “Kamu boleh bercakap, tidak seperti mereka,” keluh ibu ketika aku merengek mahu duduk semeja dengan anak-anak muridnya.
Kami berjalan memanjat jaddat. Ibu paling mengah mengendong lemak badannya ditambah beg kerjanya yang berat. Tanganku masih setia dalam genggaman ibu. Beberapa kali ibu berhenti melepas lelah, menarik nafas kemudian berjalan semula. Ibu membiar aku berlari girang jauh meninggalkan dirinya di belakang.
Rumah yang terletak di tingkat empat bangunan batu jaddat melelahkan lagi. Aku tidak lepas pegangan ibu, walaupun perlahan kami memijat tangga terus hingga tiba di depan rumah. Pintu tidak berkunci. “Bapamu sudah pulang,” bisik ibu. Dia membuka butku dan meleraikan kain mafla yang berlilit di leher comelku. Aku berlari ke kamar, mencari bapa.
Sekujur tubuh besar agam terbaring atas katil.
“Kasihan, Jabir sudah enam tahun tapi tidak ada teman.” “Ah, saya fikir berkali-kali untuk mengandung lagi.”Kerajaan sudah mulakan kempen, Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal.” “Tapi, cukupkah Jabir seorang sahaja? Dia perlu adik. Mungkin dua orang lagi” Senyap. “Kamu mampukah?"
Pagi bersinar cantik. Ibu mendukungku ke bilik air, menyapu mukaku seluruh dan mencuci gigiku. Rambut perangku bersapu krim rambut sambil seluruh badanku ditempek krim jenama Kamil. “Bapa kamu liat sungguh bangun tidur. Tabiatnya itu tidak berubah sejak berkahwin denganku,” bebel ibu. Mataku terkebil memerhati bapa yang masih berdengkur. Tugas tenteranya tidak menentu. Pernah berbulan lamanya, bapa tinggal di di sempadan Syria-Lubnan, menjaga keamanan dua negara. Minggu ini cuti bapa panjang sedikit, apakah ibu tidak gembira bapa wujud di rumah? “Rumah kita tidak seperti rumah orang lain. Televisyen tidak ada, bilik hanya sebuah, semua perabot sudah buruk. Ah! Bapamu pula kedekut,” tambah ibu lagi, sangat perlahan di telingaku.
Matari tegak memancar di langit Qudsayya, aku berlari girang menarik tangan Salmi seperti mana ibu menarik tanganku. Salmi yang lebih kecil, terjungkit skafnya.
“Kamu perlu beli televisyen. Si Jabir mahu tengok cerita kartun,” suara ibu tinggi. “Si Jabir atau kamu? Perempuan pandai mencari alasan,” suara bapa lebih rendah daripada suara ibu. Aku mendekap telinga sebalik pintu. “Kau tidak menjagaku dengan baik, tidak menepati janjimu dahulu.” “Itu lebih mulia daripada aku biarkan kamu terlolong di Qunaitara,” tempelak bapa. Suara ibu tidak kedengaran lagi, hanya bunyi pintu berdentum kuat.
“Aku seorang askar, kerjaku bertarung nyawa tambahan pengganas Israel semakin syaitan, berbaloikah pengorbanan itu hanya untuk membeli sebuah televisyen. Bukan ibumu tidak tahu, gajiku sekadar membayar sewa rumah ini. Gajinya pula untuk membeli barangan dapur. Ah! Kita tidak mati tanpa televisyen. Kau tahu Jabir, Israel laknat itu menggunakan siaran tv untuk menyerang otak umat Islam. Begitu, sia-sia sahaja aku membantai senapang di sempadan, kau dan ibumu mati dengan virus dakyah Israel dalam rumah ini,” bebel bapa. Aku sudah duduk mengangkang depan pintu bilik yang masih dikunci ibu. Langsung tidak faham apa yang disebut bapa. Beberapa minit, ibu keluar memakai mantonya. “Aku ingin ke Qunaitara bersama Jabir,” katanya memohon izin bapa tetapi mata ibu langsung tidak bercahaya. “Baguslah, cari dirimu di sana,” balas bapa. Aku menjadi benci dengan suara itu. Mengapa tiada perkataan ‘rindu’ lagi di mulut bapa? Apakah kerana ibu tidak memakai pakaian secantik semalam?
Kami mengadap Bukit Golan. “Aku rindu,” kata ibu. Aku diam, biar ibu dulu melepas gundah nestapa. “Aku rinduuu..” tekannya lagi. “Rindu yang menderam, tidak tertahan sayang,” suaranya mendatar serak. Air mata ibu mengalir luruh. Aku di bahunya turut berasa air dari dua mata cantik itu. “Seluruhnya di sini.” Dia membawa tanganku ke dadanya, ruang di mana letaknya hati. “Semuanya sekali…di sini.” Tanganku dilepas. Aku membiar sekejap, pasti dia akan meraut kembali jemari halusku. Ya, baru sebentar mengesat air hingus, dia menyapa terus anak-anak jariku. Berangkulan semula jemari kami.
“Segala kecintaan, impian dan harapanku telah musnah sayang. Bapamu berubah sekarang. Kau tahu mengapa?” Aku mendongaknya, cuba memahami ibu. “Kerana kita miskin dan tiada tanah. Tanah di Qunaitara ini dimusnahi Israel hingga sekarang bapamu tidak menang mengalahkan mereka. Ah! Kau tidak akan faham sayang.“ Aku sepi. Ibu menyambung lagi. “Berpuluh tahun memendam rindu yang jauh sehingga hati sudah buta mengenal harapan. Aku rindukan keluargaku yang mati di mata senapang Israel” Kepala ibu tunduk merenung rumput-rumput sayu musim sejuk. “Di tanah Qunaitara inilah Jabir. Bapamu seorangnya yang menyelamatkan aku,” bisik Ibu.
Tanganku dipimpin ibu ke seberang jalan. Sambil ditarik ibu, mataku tidak lepas merenung gagah Bukit Golan. Di situkah terletaknya syaitan-syaitan Israel yang meragut segala kecintaan ibu? Ah! Aku juga mahu menjadi askar yang kedekut seperti bapa bila dewasa. Tidak sesen pun aku akan laburkan pada kalian wahai Israel!
Glosari
1. Anisah- panggilan untuk guru agama perempuan di Damsyik
2. Banat- kanak-kanak perempuan
3. Jaddat – Kawasan bukit
4. Jundi – tentera
5. Madrasah Ib’tidae- Sekolah rendah
6. Sercive- van yang menjadi kenderaan awam di Syria
7. Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal- kempen keluarga di Syria yang bermaksud keluarga kecil, masa depan lebih baik.
8. Ya hilwa- Yang Manis
1 comment:
salaam!
wah satu bahan tulisan yang bagus!!!
kagum!
Post a Comment