Saturday, June 2, 2007

Kongsi2 dengan semua

Sastera Islam dan underground

Oleh: RAZALI ENDUN

Sastera adalah medium untuk melahirkan rasa hati serta
gelodak perasaan pengarang. Sastera juga sebuah hasil
seni yang sarat keindahan kata-kata yang tersirat
makna di sebalik yang tersurat. Sastera kontemporari
tidak pula bergantung kepada keindahan bahasa tetapi
mesti mempunyai mesej dan ilmu. Karya sastera yang
tidak ada ciri-ciri ini dianggap sastera picisan.

Selain sastera picisan, dunia kesusasteraan kita
dikelaskan dalam beberapa kategori yang kemudian
diberi label mengikut jalur masing-masing. Ia bagaikan
kayu ukur bagi mengklasifikasikan karya seseorang
untuk diletakkan di dalam kelompok yang dilabelkan.

Kita ada sastera popular, sastera kabur, sastera
reformasi, sastera arus perdana, sastera siber atau
e-sastera, sastera blog, sastera Islam dan akhir
sekali sastera underground. Pengelasan ini bukan
sahaja dibuat oleh sesetengah sarjana sastera tetapi
oleh sesetengah penulis yang berada di dalam kelompok
masing-masing.

Dengan hal yang demikian, sastera kita terpecah-pecah
di dalam beberapa kelompok yang merupakan fenomena
tidak sihat. Perpecahan bukan sahaja berlaku kepada
hasil karya seseorang, malah mewabak kepada
pengarangnya menjadikan mereka dalam beberapa kelompok
yang tidak beriringan dan bersefahaman. Kelompok arus
perdana tidak sebulu dengan kelompok popular.

Kelompok penggiat sastera reformasi dipandang serong
dan dipinggirkan oleh kelompok sastera arus perdana.
Begitu juga kelompok e-sastera tidak mesra dengan
kelompok lain.

Kalau ada acara sastera anjuran kelompok arus perdana,
misalnya, maka kelompok lain tidak hadir. Begitu juga
sebaliknya. Natijahnya, perkembangan kesusasteraan
kita terpecah-pecah dan tidak dapat dibina secara
bersepadu.

Baru-baru ini, Pena menganjurkan diskusi bagi mencabar
minda penulis- penulis muda yang menjadi ahli
panelnya, di bawah tajuk yang berat dan sensasi iaitu
Sastera underground lawan sastera Islam. Tajuk ini
juga berunsur kontroversi.

Menurut penganjur, tajuk itu sengaja direka begitu
sebagai tarikan kepada khalayak sastera untuk hadir.
Strategi itu ternyata berkesan, kerana Sasterawan
Negara (SN) Datuk A. Samad Said sendiri mengakui
bahawa beliau ‘dipujuk’ oleh tajuk itu.

Malah khalayak yang hadir juga sangat menggalakkan,
hampir 50 orang, yang sebahagian besar terdiri
daripada penulis muda. Kehadiran seramai ini jarang
diperoleh dalam sesi atau majlis sastera seperti ini.
Tetapi yang menjadi persoalan, kenapa mesti ada
perkataan ‘lawan’ di situ antara sastera underground
dan sastera Islam?

Ini seolah-olah mahu melaga-lagakan antara dua
kelompok ini. Namun demikian, tajuk itu berjaya
dibicarakan oleh tiga penulis muda. Mereka ialah Ummi
Hani, Ali Atan dan Rahmat Haroun dan dipengerusikan
oleh Raihani Mohd Saaid.

Meskipun pencarian erti atau definisi sastera
underground dan sastera Islam masih belum ada
kepastian, namun huraian dan hujah yang dikemukakan
boleh diterima bagi memantapkan lagi pencarian itu.

Pencarian teori sastera Islam dibicarakan semenjak
tiga dekad lalu. Cetusan ini disuarakan oleh SN Datuk
Shahnon Ahmad dengan konsep, “Sastera kerana Allah dan
berhikmah untuk manusia.”

Topik ini juga pernah dibicarakan oleh ramai
sasterawan termasuk Kassim Ahmad, Mana Sikana dan Dr.
Shafie Abu Bakar. Malah Badaruddin H.O. pernah
menyentuh konsep sastera Islam semenjak tahun 60-an
lagi.

Walaupun unsur-unsur Islam pernah diterapkan melalui
puisi semenjak tahun 1933, di mana Pungguk (Muhamad
Yassin Ma’amor) dan penyajak-penyajak yang seangkatan
dengannya yang disiarkan dalam majalah Guru, namun
sehingga kini masih belum ditemui satu teori sastera
Islam yang boleh diguna pakai sebagai garis panduan
mentakrifkan sesebuah hasil sastera sebagai sastera
Islam.

Banyak sudah teori dicipta untuk mentakrifkan apa itu
sastera Islam, namun masih ramai yang keliru tentang
konsep itu. Malah kalangan sarjana sastera sendiri
berbalah antara satu dengan yang lain dalam pencarian
konsep sastera Islam ini.

Menurut Dr. Hashim Awang, ‘‘Teori sastera Islam itu
sebenarnya terbuka, mencakupi segala teori meskipun
dari India, China atau negara-negara lain termasuk
teori orang Melayu yang ada adab dan budaya Melayu
yang bersesuaian dengan Islam.’’

Bagi Dr. Shafie , sastera Islam mestilah bertitik
tolak dari konsep tauhid dan falsafah dan ditulis oleh
orang Islam. Teori Takmilahnya menggariskan falsafah
dan tauhid menjadi asas menentukan sama ada sesebuah
hasil sastera itu boleh digolongkan dalam kategori
sastera Islam. Kedua-dua ciri ini tidak boleh
dipisahkan kerana ia tonggak serta part and parcel
kepada pembinaan konsep sastera Islam.

Rajah teori

Dalam rajah teori Takmilahnya, falsafah dan tauhid
dijadikan pusat rangka teorinya yang di antara lain
mendefinisikan tiga kategori bagi pembentukan teori
tersebut. Tiga kategori itu ialah pengkarya, karya dan
khalayak, di mana ketiga-tiganya berpaksikan roh,
hati, akli dan inderawi.

Mana Sikana pula semacam tidak yakin bahawa teori
sastera Islam yang mantap dan bersepadu dapat
diwujudkan kerana adanya perbezaan aliran kritikan dan
mazhab-mazhab dalam Islam.

“Kita jangan menjadi sebagai ahli Sufi yang
mengasingkan diri dari dunia realiti. Kita mesti
berpijak di bumi nyata. Pembinaan teori banyak cara
dan kaedahnya. Tidak mungkin kita dapat wujudkan satu
teori sastera Islam yang betul-betul mantap dan
berpijak di bumi nyata,” kata Mana Sikana.

Sementara itu Dr. Lutfi Abas berpendapat, teori adalah
pernyataan atau sekumpulan pernyataan. Sastera Islam
mesti universal, merangkumi sastera bukan Islam. Karya
seni adalah pernyataan peribadi sasterawan dan
sasterawan bukan ahli Sufi tetapi ahli sains sastera
atau metafizik.

Suratman Markasan pula berpendapat bahawa sastera
Islam adalah ibadat dan hendaklah dengan niat kerana
Allah dan dikembalikan manfaatnya kepada manusia.
Sastera Islam berpegang kepada tiga aspek iaitu, seni@
keindahan, kebenaran dan kebaikan. Suratman menolak
karya yang dihasilkan manusia bukan Islam, betapa pun
agungnya karya sastera itu dengan adanya estetika
sastera Islam, ia tidak boleh dianggap sastera Islam,
mungkin dikategorikan sebagai karya yang berunsur
Islam sahaja.

Ustaz Muhamad Uthman El-Muhamadi menyenaraikan
beberapa konsep sebagai panduan pencarian definisi
sastera Islam. Di antara lain sastera Islam perlu ada
ciri-ciri berikut:-

1. Memancarkan faham alam, faham ilmu dan faham nilai
Islam yang dimanifestasikan dalam jalinan naratif,
pembentukan peristiwa, perwatakan serta keindahan
bahasa prosa atau puisi dan perlambangan penulis yang
mempunyai iltizam terhadap pegangan dan kehidupan
Islam serta peradabannya,

2. Memancarkan akidah Islam, hidup pengabadian
(ubudiyah), akhlak atau moral dan disiplin kehidupan
Islam mengikut Syariat-Nya.

3. Berdasarkan perintah Quran supaya manusia
‘merapatkan diri’ dengan Tuhan melalui
sifat-sifat- Nya.

4. Berdasarkan hadis yang bermaksud, “Berakhlaklah
kamu dengan akhlak-akhlak (yang diambil pengajaran
daripada sifat-sifat Allah),” tetapi kekal dengan
ketuhanannya dan manusia tetap dengan kemakhlukannya
dengan sifat-sifat manusiawinya.

Belum ada kesepakatan bagi membina sebuah teori
sastera Islam yang betul-betul mantap dan bersepadu
sebagai panduan mengklasifikasikan sesebuah karya itu
tergolong dalam kategori ini. Begitu juga dalam kita
membicarakan sastera underground, yang mutakhir ini
bagaikan menjadi medan penulis-penulis muda meluahkan
gelodak perasaan mereka.

Menurut Ali Atan, sastera underground ini dipelopori
oleh Faisal Tehrani, Azman Hussein, Sharil Sanin,
Jimadie Shah dan beberapa orang lagi yang menerbitkan
karya-karya underground mereka secara bersendirian.

Kata Ali, sastera underground bersifat bebas
sebebas-bebasnya, sarat dengan protes termasuk juga
unsur erotik. Bahasanya bertenaga dan berterus terang.
Biasanya diterbitkan dan diedarkan oleh penulisnya
sendiri.

Menurut A. Samad Said, sastera underground bermula
pada tahun 1940-an di barat. Di negara kita yang boleh
ditakrifkan sastera underground ialah antologi puisi
Keranda 152, Teluk Gong dan The Malay Dilemma. Namun
selepas buku-buku itu diterbitkan kemudiannya,
bolehkah dianggap karya underground?

Underground itu bermakna ‘bawah tanah’ atau istilah
keselamatannya ialah ‘subversif.’ Ia pergerakan
‘haram’ dan penerbitan yang berkaitan dengannya juga
dianggap ‘haram’. Namun medan itu sahajalah yang ada
bagi penulis-penulis yang mahu meluahkan protes,
perasaan dan cita rasa mereka terhadap establishment,
penguasa politik dan pihak-pihak yang berkenaan.

Dalam suasana politik kontemporari, di mana media
dikuasai oleh elit politik yang berkuasa, maka amat
sukar untuk tulisan-tulisan seperti ini mendapat
tempat. Namun persoalannya, siapakah yang menentukan
halal haramnya sesebuah karya itu?

Jawab Rahmat Haroun, “Orang yang memegang kuasa yang
menentukan.”

Pena di bawah pimpinan generasi muda amat aktif,
progresif dan proaktif. Acara percambahan pendapat dan
pandangan seperti ini sangat baik diteruskan. Ia cuba
mencabar minda penulis-penulis muda supaya turut sama
memperkatakan perkembangan kesusasteraan kita. Ada
baiknya kalau sekali sekala dilibatkan juga
penulis-penulis veteran agar percambahannya pelbagai.

No comments:

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.