Sunday, September 16, 2007

soroton oksidentalis


Nilai Remaja Barat Dalam Filem Take The Lead: Cabaran Kepada Dakwah
Oleh:Ummi Hani Abu Hassan
PENDAHULUAN

Satu cara propaganda yang digunakan oleh barat ialah menjadikan filem sebagai suara budaya yang menarik perhatian dunia. Sejak beberapa dekad, filem menjadi tradisi yang menyuburkan terapi barat kepada bangsa –bangsa lain. Kedudukan barat sebagai kuasa besar dunia tidak sahaja mencakupi legar politik dan ekonomi malahan barat memiliki cita-cita untuk menyatukan kepercayaan (akidah) manusia seluruhnya kepada fahaman global: menerima semua bentuk pemikiran moden dilandasi unsur sekularisme.

Misi dakyah ini adalah jelas kerana kebanyakan filem yang diserapkan kepada dunia mengandungi unsur pemujukan ke arah fahaman sekular yang mahu membebaskan manusia daripada norma agama. Walau bagaimanapun, agama masih di pegang sebagai alat kesantunan diri yang tersarung dalam ruang tersendiri dan memiliki ciri ekslusif. Contohnya, dalam filem-filem barat seperti filem yang akan dibincangkan ini, Take The Lead, barat cuba mengeksperesikan manusia sebagai alat seni yang tidak diikat oleh hukum agama, namun ia masih lagi merujuknya dalam skop tertentu seperti dalam keadaan desakan, kejatuhan, pengharapan, barat masih meletakkan agama sebagai tujuan terakhir.

Berbeza dengan Islam, setiap tindakan umatnya adalah menuju kepada matlamat agama iaitu mentauhidkan Allah SWT. Norma-norma Islam beralur atas dua panduan iaitu al-Quran dan Sunnah yang mesti dipatuhi setiap keadaan, tempat dan masa. Malah, Islam adalah dakwah yang perlu dipromosikan dengan jujur tanpa ada penyorokan atau penyekatan pada ruang eksklusif dan elit. Seperti barat yang bertujuan mendakyahkan umat dunia pada agama sekular, Islam juga mempunyai tujuan yang sama iaitu menyempurnakan kepercayaan manusia kepada Allah SWT sebagai Tuhan dan Pencipta seluruh makhluk. Bezanya, Islam tegas pada matlamat yang tidak terpisah daripada agama walaupun menuntut kepada keterbatasan kelakuan manusia iaitu membenarkan perkara yang baik (menurut Al-Quran dan Sunnah) dan melarang daripada kemungkaran atau kemaksiatan (bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah). Sebaliknya, barat memilih kebebasan manusia daripada norma agama yang memberi nafas mutlak untuk manusia melakukan apa sahaja tanpa sekatan hukum.

Justeru, filem Take The Lead merupakan salah satu filem terbaru Barat yang memaparkan norma hidup muda-mudi mereka yang bergerak atas fahaman sekular. Penulis cuba mengenal-pasti nilai-nilai yang membentuk aksi, pemikiran, psikologi dan fahaman watak yang cuba ditonjolkan barat bagi panduan dunia. Kajian seperti ini dapat membantu para pendakwah mendasari dakyah musuh seperti barat dalam usaha menjadi seteru dan kuasa paling ampuh menghadapi barat.

SINOPSIS TAKE THE LEAD
Take The Lead adalah sebuah filem yang diasaskan daripada kisah benar seorang guru tarian klasik di Bandar New York bernama Pierre Dulane. Beliau menghadapi cabaran untuk mengetengahkan tarian klasik kepada golongan remaja bermasalah yang lebih terpengaruh dengan muzik hip hop. Namun, kesungguhan Pierre akhirnya telah membuka mata para pelajar ini melalui pengenalan muzik klasik yang mempunyai nilai manusiawi berbanding muzik semasa.

Filem ini dibintangi oleh Antonio Banderas sebagai watak Pierre Dulane bukan sahaja watak yang menggerakkan cerita malah bertanggungjawab meronakan falsafah di sebalik judul Take The Lead melalui bahasa tarian . Umumnya, seperti kebanyakan filem Amerika, Take The Lead tidak lari dari menyampaikan nilai dan budaya Amerika yang diikuti oleh sebahagian remaja dunia sebagai hybrid Amerikanisasi. Ia walaupun dispesifikasikan sebagai sebuah filem keluarga terbitan New Line Cinema tetapi adalah terapi yang amat membahayakan bagi anak-anak muda timur terutama masyarakat Islam kerana unsur sekularisme; moden dan pasca modenisme yang diperjuangkan dalam filem ini.



PERMULAAN, PERTENGAHAN DAN PENGAKHIRAN

1.1 PERMULAAN
Amerika dengan dasar sekularnya telah berjaya merealisasikan satu budaya kontemporari yang berbeza daripada budaya asal iaitu budaya global yang meraikan kebebasan asasi manusia yang tidak terikat kepada tamadun dan peradaban sesuatu bangsa tetapi masih berpaksikan kepada nilai-nilai barat sebagai kuasa besar dunia. Dalam filem Take The Lead (TTL), dua aliran yang lahir daripada sekularisme iaitu moden dan pascamoden cuba disatukan bagi menggambarkan realiti sosial yang sedang berlaku di Amerika.

TTL dimulakan dengan galaksi tarian klasik diwakili suara golongan moden (gm) barat diselikan dengan tarian ala hip hop mewakili suara golongan pasca moden (gpm). Dua elemen muzik ini juga divisualkan dengan pemakaian pendokong tarian klasik iaitu Peirer Dulane dan anggotanya (penari Dance Ballroom dari Blaine Academy Student) dengan berpakaian sut folmal (kot, tie, gaun majlis serta kasut kulit). Manakala pendokong pasca moden pula diwakili anak-anak muda hip hop dengan citarasa kasual yang lebih bebas dan non elit (seluar jeans malahnya menampakkan seluar dalam, skirt paras lutut dan punggung, t-shirt ketat yang menampakkan tali coli bagi wanita, rantai dan subang (bertanda salib), kasut bebas). Gaya dua kelompok ini juga berbeza kerana gm bersifat internal dan ekslusif malah elit. Piere Dulane dan kelompoknya berinteraksi dalam dewan besar diiringi muzik mewah dan tarian yang menunjukkan kemewahan kelas moden barat.
Sebaliknya, kelompok gpm adalah anak-anak muda yang kebanyakan bukan berasal dari Amerika iaitu remaja-remaja kulit hitam dan Asia lakonan Elijah Kelley, Jenna Dewan, Dante Basco dan lain-lain yang mengalami masalah sosial. Dalam TTL, dua remaja gpm menjadi watak tipa yang kehidupan mereka dikupas dari awal hingga akhir cerita. Penonton dihidangkan secara suspen dengan watak remaja wanita kulit hitam bernama Larhette sedang mendukung bayi sambil menyuapkan susu botol kepada bayi tersebut dan watak temannya Rock sedang membantu bapanya muntah akibat arak di mangkuk tandas.
Dua babak yang berbeza ini hanya gambaran sekilas tentang golongan pasca moden di Bandar New York dan tidak menafikan golongan moden mendapat tempat begitu ekslusif melalui watak Pierre Dulane (PD) yang digambarkan sebagai seorang lelaki ideal yang masih kekal ciri Eropahnya. Antara sikap PD dalam TTL ialah lelaki yang sentiasa berkot kemas, seorang yang berhemah dalam percakapan dan tindakannya (contoh akan disertakan di bawah), seorang yang evergreen (yang gemar menaiki basikal tua dan mendengar muzik klasik), romantis, memahami manusia lain dan kuat dengan falsafah moden.

Pierre Dulane atas falsafah modennya percaya bahawa setiap individu yang dilahirkan di dunia ini memiliki keistimewaan dan potensi diri sendiri yang dapat membentuk dan mengarahkannya untuk berjaya telah bergerak sebagai penyatu dua golongan (gm dan gpm) dalam TTL. Jelas, terdapat unsur diskriminasi golongan moden terhadap pasca moden yang dianggap sebagai pengacau masyarakat. Dalam TTL, anak-anak muda gpm tidak diberi ruang untuk bercampur dengan golongan moderat. Rock misalnya ingin menghadiri majlis tarian ballroom tetapi dihalang kerana status dirinya yang dikatakan tidak bermoral. Kesan daripada kejian guru besarnya, seorang wanita berkulit hitam bernama Miss James mewujudkan perasaan benci dan dangkal terhadap golongan moden Amerika. Sebagai balasan, Rock dengan didorong oleh teman-teman gpm telah menghancurkan kereta gurunya itu (vandalisme). Kejadian itu disaksikan oleh Pierre Dulane hingga beliau terdorong untuk mengenali lebih rapat anak-anak muda gpm.

Kita harus sedar, Amerika yang dimonopoli bangsa kulit putih mempunyai agenda dakyah kepada bangsa lain. Tokoh barat Rudyad Kipling (1951) telah mengatakan bangsa kulit putih memang bertamadun dan mereka mempunyai beban, iaitu tanggungjawab memajukan bangsa –bangsa kulit berwarna di Asia dan Afrika dengan lunas-lunas kebudayaan barat. Bertitik tolak daripada prinsip inilah, Pierre Dulane telah cuba merapati anak-anak muda seperti Rock dan teman-temannya (90 peratus adalah remaja kulit hitam dan asia).

Perancangan Pierre Dulane untuk mengenalkan tarian klasik (dance ballroom) sebagai metod penerapan nilai moden kepada anak-anak muda pasca moden dianggap tidak logik. Miss James, pengetua yang digambar sebagai ego telah dilunakkan Pierre Dulane dengan bahasa hikmah: mata dan senyuman. Pierre Dulane sebagai hero adalah wakil gm Amerika yang ditonjol idealis, berwawasan dan karismatik. Antara babak yang menyokong beliau:
Menaiki basikal dan berkot kemas. Ketika di sekolah, beliau ditertawakan oleh anak muda gpm kerana dikatakan lapuk dan ketinggalan zaman tetapi beliau hanya tersenyum senang.
Membuka pintu untuk wanita, suatu perbuatan yang tidak ada nilai kepada gpm. Tetapi bagi golongan moden, ia satu kepuasan. Kata Pierre Dulane ketika disinis anak muda gpm: "Semua orang senyum padaku, itu sudah cukup."
Pierre Dulane seorang yang tenang, suka tersenyum, menerima pandangan orang lain dan tidak berputus asa dalam setiap konflik dalam TTL.

Arus pasca moden yang tidak menerima segala bentuk kemutlakan dan melupuskan dinamika sistematik meraikan pelbagai ragam dan budaya sekitar. Begitu anak-anak gpm ditonjolkan sebagai kelompok bebas, berpeleseran dan hidup dengan gaya ranggi Amerikanisasi. Berikut adalah babak-babak awal yang menonjolkan ciri watak:

Pemakaian watak (seperti yang disebut di bahagian atas)- anak muda lelaki bertindik subang sebelah telinga, memakai rantai emas dan bertanda salib pakaian wanita menampakkan pusat, dada dan tidak bermoral (separuh telanjang).

Bahasa watak – bagi gpm bahasa tidak menjadi ukuran diri. Bercakap dengan lucah dan tidak beradab. Contohnya, Rock memanggil bapanya ‘Pope’ bukan ‘dad’. Perkataan seperti ‘Yo!’, ‘yeah!’ ‘uh-huh’’dawg’ ‘poppin’ ‘punked’ ‘pussy’ ‘punkass’ menggantikan perkataan ‘hello’ ‘thank you’ ‘welcome’. Ayat yang menjadi mainan bibir ;‘go to hell!’ ‘full of shit’ ‘What the hell are you doing here?’ dan lain-lain.

Dalam TTL, bahasa diri orang yang lebih tua hanya panggilan nama. Contoh, para pelajar gpm memanggil PD sebagai ‘Pierre’ bukan sir selain ‘aku’ dan ‘awak.’ Begitu juga dalam keluarga, Rock sebagai wakil watak gpm, membahasakan diri ‘aku’ dan ‘engkau’ dengan ibubapanya.
Bahasa adalah alat yang mati (tidak ada budaya) bagi gpm. Ketika Pierre Dulane bertanya kepada Rock tentang masalahnya, pertanyaannya dibalas dengan kesombongan pelajarnya itu. "Aku ada dunia aku sendiri. Engkau fikir kau baik sangat dengan nilai baru yang kau bawa (tarian)? Kau boleh tahu tentang aku tapi aku tak mahu tahu tentang engkau," kata Rock.

Sikap watak – kelakuan gpm adalah berasaskan kepada anti realis yang diatur mengikut persekitaran kebendaan . Watak-watak mereka kasar dan ganas. Falsafah kehampaan (nihilis) yang mengikat diri telah menimbulkan keraguan yang menyeluruh terhadap kebenaran (no truth).

(a) Para pelajar gpm mentertawakan PD ketika dia mahu mengajar mereka tarian klasik (tango, waltz, rumba dan lain-lain) kerana dipercayai helah kesombongan golongan moden dan ketinggalan zaman. Manakala tarian hip hop, jazz, rapper dianggap budaya sebenar golongan ini (menghilangkan kehampaan diri).

(b) Dua remaja gpm yang ditimbulkan di awal cerita iaitu Rock dan Larhette mempunyai masalah keluarga. Kehampaan sosial inilah menyebabkan mereka menjadi remaja yang keras dan tidak bertimbang rasa.

(b1) Bapa Rock seorang kaki minum dan ibunya mengalami tekanan mental. Rock terpaksa bekerja menyara persekolahan dan makan minum ibubapanya kerana sikap bapanya yang tidak bertanggungjawab yang akhirnya membawa Rock terlibat jenayah penyeludupan.
Dialog Rock yang menggambarkan kebencian kepada ibubapanya:
"Kenapa kau tak masak? Aku bagi duit pada kau untuk beli makanan?" tengking Rock pada ibunya apabila mendapati peti sejuk kosong.
"Kau seorang yang tak bertanggungjawab dan menyusahkan! Mengapa kau tak seperti bapa orang lain?" Rock mengherdik bapanya dan apabila mulutnya ditampar, dia mencengkik dan hampir menumbuk bapanya sendiri.

(c) Larhette adalah anak kepada seorang pelacur yang terpaksa menjaga adik-adiknya ketika ibunya bekerja (melacur dalam bilik di rumah). Kesusahan hidup kerana ditinggalkan bapa menyebabkan dia rela ibunya menjadi pelacur sehinggalah dia sendiri hampir-hampir dirogol oleh pelanggan ibunya. Larhette melarikan diri dan akhirnya terlibat pergaduhan dan ditangkap polis.

1.2 PERTENGAHAN

Sebahagian babak di bahagian awal TTL adalah usaha untuk menonjolkan kerendahan martabat gpm dan sifat elit gm yang diwakili Pierre Dulane (PD). PD tanpa putus asa telah berjaya mendekati anak-anak muda gpm dan mula mengajar mereka memahami falsafah tarian klasik (dance ballroom) yang dikatakan paling beretika dan manusiawi:

1. Tarian yang mengikat dua tubuh menjadi satu atas satu gerakan halus dan seni.
2. Setiap harapan bermula dengan langkah pertama.
3. Tarian yang mengajar lelaki menghargai wanita dengan cara paling hormat.
4. Wanita rasa selamat dan berkeyakinan apabila disentuh lelaki melalui tarian klasik.
5. Salah satu cara menghilangkan masalah dalaman dengan alunan muzik lembut juga sentuhan pasangan yang beretika, hormat serta meransang keyakinan diri.
Adalah menjadi amalan barat mempromosikan produk budaya mereka dengan meransang nafsu masyarakat dunia. Realitinya, barat telah menghidang pelbagai ‘makanan’ syahwat dengan pelbagai corak keseronokan seperti hedonisma muzik, rancangan televisyen (antaranya American Idol dan CSI), sukan, taman tema ala-ala Disneyland, makanan segera seperti Mc Donald, KFC, dan lain-lain. Pengaruh yang sangat berkesan ialah pada kecantikan (penggoda) seorang wanita.
Pierre Dulane menggunakan strategi ‘umpan wanita cantik’ untuk menarik minat anak-anak muda gpm pada tarian klasik. Morgan, penari professional dance ballroom menggunakan tubuh dan pakaian seksi untuk menari lebih ghairah (berpasangan dengan Pierre Dulane) sehingga timbul keinginan anak-anak muda gpm. Kekaguman itu berpunca daripada dua tujuan utama iaitu:
(a) Remaja lelaki terdorong untuk memiliki tubuh wanita cantik, seksi dan mengghairahkan menjadi pasangan mereka dalam tarian klasik.

(b) Wanita berkeinginan untuk memiliki tubuh cantik, daya penggoda dan menjadi tarikan semua lelaki. Sekiranya tidak ada ciri-ciri disebutkan mereka berasa amat kekurangan ("Seperti seekor itik"- kata salah seorang pelajar wanita)

Konflik utama dalam TTL ialah apabila Pierre Dulane cuba memecahkan blok golongan moden TTL dengan membawa masuk anak-anak muda gpm ke dewan yang menjadi tempat latihan anak-anak muda moden. Sikap pesimis gm kepada gpm jelas kelihatan dari air muka dan kata-kata mereka bahawa gpm tidak mempunyai wang untuk seperti mereka (anak-anak bangsawan Eropah). Usaha PD untuk membawa masuk para pelajarnya (gpm) ke satu pertandingan dance ballroom hampir gagal dengan peristiwa itu. Kehampaan gpm kepada gm telah dihemburkan kepada PD:
"Tarian yang taksub kepada budaya Eropah kulit putih"
"Tarian yang dimonopoli golongan bangsawan terutama raja-raja Eropah"
"Tarian yang cacat dan sakit"
"Mengapa golongan kulit hitam Afrika menjadi sasaran negative
?"

Pierre Dulane sebagai watak lelaki ideal tidak panik menghadapi karenah anak-anak muda gpm. Antara kata-kata sokongan beliau :
"Kamu betul." – membenarkan pihak lawan adalah salah satu cara melunturkan keegoan mereka.
"Tahukah kamu bahawa kebanyakan tarian dance ballroom seperti Tango dan Rumba berasal dari Afrika?" – mengaitkan dengan asal-usul pihak lawan satu cara meraih sokongan mereka.
"Kamu perlu lakukan dahulu kemudian baru berasa bodoh atau tidak."- mencabar anak-anak muda untuk bertindak tidak sukar.

TTL secara tidak langsung telah memenangkan golongan moden apabila PD berjaya memujuk anak-anak muda gpm untuk meneruskan pertandingan tarian klasik. Gpm terpaksa menukar budaya pemakaian yang ranggi kepada sut formal, menari mengikut rentak muzik yang lembut dan harmoni berbanding muzik hip hop yang bebas serta menerima falsafah tarian klasik ciptaan Pierre Dulane.

PD juga menjadi watak yang berjaya menyatukan individu-individu bermasalah dalam TTL iaitu:
Miss James- daripada seorang yang ego dan elit dapat ditundukkan dengan budi PD (PD menggunakan tarian Tango meraih minat Miss James iaitu tarian yang berasal dari Afrika. Miss James adalah wanita berkulit hitam)

Rock – anak muda bermasalah dan ego yang akhirnya dengan bantuan PD dia terlepas dari pihak polis. PD menumpangkan Rock tinggal di rumahnya dan menyerapkan nilai-nilai falsafah moden- percaya kepada kemampuan dan potensi diri.

Menyelesaikan krisis di antara Rock dengan Larhette dengan tarian. Kedua anak muda gpm ini pesimis terhadap latar-belakang keluarga masing-masing yang roboh. Mereka menjadi pasangan tarian yang ideal di akhir cerita.

Memulihkan keyakinan seorang pelajar gm yang berasa seperti seekor itik apabila menari dengan kawan-kawan gmnya. PD memasukkan dia bersama remaja gpm untuk berasa yakin.

1.3 PENGAKHIRAN

TTL bertujuan untuk mempromosikan tarian klasik sebagai alat seni yang dapat menyerapi kelompangan remaja-remaja Amerika terutama golongan pasca moden tegas dengan landas itu sahaja. Penonton TTL tidak akan dihidangkan selain daripada peranan Pierre Dulane (sebagai tokoh yang benar-benar wujud) sebagai guru tarian yang telah berjaya mengubah pendirian watak-watak antagonis menjadi lebih baik dengan hanya falsafah tarian klasik yang dipegangnya.

Tanpa mahu mengacau isu lain misalnya penyelesaian konflik keluarga Rock dan Larhette yang disuguhkan di awal cerita, TTL terus di tamatkan apabila anak-anak muda gpm memasuki pentandingan dance ballroom yang menjadi tradisi golongan moden Amerika. Satu pengiktifaran kepada golongan moden lagi apabila kemenangan itu berpihak kepada Morgan dan pasangannya yang diwakili pihak moden tetapi atas budi baik yang cuba ditonjolkan TTL (untuk menaikkan golongan moden barat) kemenangan itu dikongsi dengan remaja gpm melalui tindakan Morgan menyerahkan satu pialanya kepada penari gpm.

Dalam kerancakan muzik klasik tiba-tiba dewan dikejutkan dengan muzik hip hop yang menjadi tradisi remaja pasca moden. Suasana elit turut berubah dan para remaja gpm bertukar watak menjadi ganas dan keras (dalam tarian). Ketika itulah, watak Pierre Dulane dihilangkan (keluar dewan) dan penonton di dihidangkan dengan perkataan ‘tamat.’

Kesimpulannya, filem ini menyatakan secara jujur konflik nilai yang berlaku di Eropah khususnya di Amerika sekarang ini. Walaupun golongan moden masih cekal mempromosikan nilai mereka yang wujud sejak lama (abad 18- zaman pencerahan) tetapi mereka terpaksa akur bahawa kehampaan pada nilai-nilai moden yang berasaskan logik telah membawa masyarakat kini terutama remaja menganut dan menghirup nilai pasca moden yang mematikan seluruh norma dan nilai manusiawi (no truth, no really and no meaning)



CABARAN GLOBALISASI DAN SEKULARISME KEPADA DAKWAH

Dunia barat berasa terancam (Islamophibia) dengan tamadun Islam yang subur walaupun kebanyakan di negara-negara umat Islam, mereka masih kekurangan dan jauh ketinggalan dari barat sama ada di bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi dan ketenteraan. Bahkan, barat sentiasa berwaspada supaya umat Islam berada dalam kawalan mereka iaitu sifat kebergantungan umat Islam terhadap sumber kepakaran barat. Lebih jauh, Barat merangka strategi untuk mengikat pemikiran dan psikologi umat Islam berdasarkan produk budaya mereka dengan tujuan melemahkan tamadun Islam sebagai pencabar utama kepada tamadun Barat. Perkara inilah menjadi cabaran utama kepada dakwah Islam.

Barat sebagai teraju perkembangan sains dan teknologi di abad ini melancarkan siri dominasi mereka ke seluruh dunia melalui sebaran media perdana mahupun tidak rasmi. Serangan ini dilaksanakan terus-terusan terutama ke negara-negara majoriti umat Islam termasuk di Asia dan negara-negara dunia ketiga. Usaha barat meraih keuntungan di negara-negara lain semakin baik apabila pecahnya blok-blok timur di negara komunis yang selama ini menyempitkan usaha barat menjadi kuasa ekonomi dunia yang utama. Globalisasi adalah satu bentuk penjajahan seluruh dunia secara cepat dan tidak pernah berlaku pada mana-mana zaman sebelum ini. Jika 500 tahun dahulu, Christhoper Columbus dengan restu Pope Alaxender dan Ratu Isabella telah berlayar untuk menjajah negara Amerika, Asia, Afrika dan lain-lain dengan membunuh rakyat tempatan, maka globalisasi pada hari ini lebih kepada meragut dan membunuh nilai dalaman tempatan kepada menanamkan produk budaya Eropah. Justeru, globalisasi juga adalah bentuk kolonialisasi.

Selain itu, globalisasi akan menyumbang kerosakan dan kemunduran kepada negara-negara yang tidak berasaskan industri iaitu kaedah pengstrukturan semula ekonomi, pemilikan sendirian (kapitalis) dan liberalisasi yang akhirnya mengakibatkan pengangguran, imigrasi secara besar-besaran, ketidak seimbangan kawasan, pendapatan yang tidak tetap serta kerosakan budaya tempatan. Malangnya, negara-negara ini kebanyakannya adalah negara yang majoritinya umat Islam seperti Indonesia dan negara sebelah Afrika.
Antara lain, dari segi budaya dan sahsiah masyarakat, globalisasi yang mempromosikan sekularisme akan menghakis nilai-nilai kebangsaan masyarakat termasuk nilai agama. Di Malaysia, Islam yang menjadi darah daging masyarakat Melayu akan mula kelihatan tergugat apabila sensitiviti terhadap agama berkurangan lantaran penerimaan budaya baru yang secara fizikalnya dilihat lebih mudah. Media massa yang diproksi barat akan mendedahkan pro forma sikap semasa remaja di seluruh dunia untuk diaplikasi oleh muda-mudi tempatan. Tidak hairanlah jika remaja di Amerika yang memakai seluar menampakkan pusat (seperti dalam filem Take The Lead) juga dilakukan oleh remaja di Malaysia. Malah budaya bertindik di hidung, ranggi, rappers, hip hop serta istilah-istilah lain adalah trend kebanyakan remaja di dunia. Kesan terhadap budaya remaja Islam hasil daripada penyeragaman budaya oleh barat merupakan cabaran paling rumit kepada dakwah.

Perubahan nilai sosial semasa secara tidak sedar mengelirukan masyarakat terhadap jatidirinya serta mengalami krisis identiti. Masyarakat tempatan mula berasa tidak ralat untuk menggunakan apa-apa yang dihidangkan oleh barat, bertutur dalam bahasa Inggeris, memakai pakaian ala Amerika dan tidak asing menjadi pengelola kepada hegemoni Amerikanisasi yang akhirnya menghilangkan jatidiri agama dan budaya tempatan yang ada pada diri masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak dinamakan dengan nama barat seperti Isabella (nama ratu Eropah yang memberi dana untuk menghancurkan dunia Islam), Pierre (nama komandan Portugis yang telah datang menghancurkan Melaka pada abad ke 16) dan lain-lain.
Ayuh! para teman sekalian, muhasabah diri kita apakah kita sudah bersedia untuk berperang dengan barat dan budaya2 gila mereka? atau kita terpalit sama dengan budaya2 ini?

1 comment:

mackinleyjacobi said...

888 Casino, LLC: Employee Directory | DrmCD
Find 888 Casino, 경기도 출장안마 LLC 영주 출장안마 corporate office 화성 출장샵 locations, 정읍 출장마사지 revenue, industry 여수 출장안마 and

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.