Wednesday, January 2, 2008

Suatu Pagi di Hari Kelahiran Diri




Menyerbulah di sarang jiwa
Segala apa yang dinamakan muhasabah
Dari keringat peluh si ibu
Yang telah melahirkan seorang aku
Sejarahnya, 25 tahun yang lalu

Aku
Insan daerah perjuangan ibubapaku
Yang pertama tumbuh di rahim ibu
Yang sulung dari anak-anak lain menerima kucupan bapa
Aku paling disayangi
Kerana aku pemula dan kepastian untuk yang lain
Barangkali tiada

Aku
Dengan kebanggaanku menjadi manusia
Rebung diri dibajai didikan agama
Menjadi remaja dengan asuhan akhlak Islam
Dilentur
Tidak semudahnya

Duhai ibu
Tidak pernah goyah cintamu terhadapku
Walaupun degilku adalah degil yang dibinatangkan nafsu
Sebelum mengenal hikmah makruf
Serpihan dari bisikan
Adalah kenakalan yang membumbung
Dunia kanak-kanak alam persekolahan

Duhai bapa
Asuhmu tak kuduga
Bahawa hidup hadapan, segala yang kau limpahkan
Adalan jalan yang menurapi
Untuk aku tiba ke destinasi seorang manusia

Ibu dan bapaku
Kerana kalian ibubapaku
25 tahun yang dilalui
Aku telah hidup dengan penuh kesempurnaan

Tuhan
Jadikan aku manusia yang bersyukur setiap limpahan rahmatMu
Yang membisikkan sedar
Bahawa hidup adalah umur yang dihitung
Untuk dibicarakan di mahkamah akhirat

Tuhan
Dengan umurku yang sudah jelas dewasa
Aku tidak meminta yang lain
Kau panjangkan umur ibubapaku
Kerana kehidupan mereka
Membuatkan aku hidup sempurna

Aku dengan umurku bahkan mengendong tanggungjawab makin membuncah!

Selamat Menjadi Semakin Baik Cik Ummu Hani
020108
7.28 pagi
Madinah Az-Zahra



Dia telah membangunkan aku untuk duduk berfikir bahawa seorang makhluk yang bernama Ummu Hani, hari ini bangkit dengan usia lengkap; 25 tahun!
Sanah hilwa ya jamil Cik Ummu!

Seharusnya, aku tidak menanti ucapan-ucapan selamat dari bibir dan hati keluarga dan teman-teman. Seharusnya, aku duduk bermuhasabah memperhitungkan kualiti umur yang telah aku lalui dulu, apakah jika aku mati sekarang inipun, amalan-amalan yang dikendong itu mampu menjamin kesejahteraan pada kehidupan abadi di akhirat. Seharusnya; aku berada dalam keadaan berjaga-jaga dan takut.

Ya Allah, aku manusia yang jahat jika tidak mensyukuri rahmat umur yang diberikan.

Saat ini, dalam dewasa yang meruntuhkan jiwa lantaran masalah umat yang meruncing. Seharusnya, aku dengan kurniaan umur ini moga diberi kekuatan untuk terus memperjuangkan syariat Islam dan membantu ummahku terutama masyarakat Melayu kembali meletakkan jatidiri Muslim dalam hidup mereka.
Aku, tanpa sepicing hasrat membantu ummahku, maka panjang umurku adalah sia-sia belaka.

Kalaupun aku tidak menjadi seorang pengumpul harta di usia yang rakan-rakanku ramai mengira sudah baik untuk jadi pemula hartawan. Cukuplah Allah memberiku kelapangan untuk meraih rezeki halal bagi membantu keluargaku dan melunas semua hutang dengan manusia (PTPTN dan KERAJAAN NEGERI) terutamanya.

Moga dengan berkat usia baru, aku memohon lagi supaya otak dan pemikiranku makin berkualiti menjadi seorang penulis Islam dengan dorongan sifat Pemurahnya Allah membisikkan motivasi pada hambaNya yang sedia untuk berusaha menjadi lebih baik. Aku yakin, dengan kehendakku yang selaras dengan kehendakNya, maka jalan menuju kepada kehendak itu adalah mudah, insya Allah.

Moga di usia 25 tahun juga, berupayalah aku menyempurnakan apa yang menjadi sunnah Rasulullah SAW ketika mengahwini Siti Khadijah. Dan aku lebih menumpukan kepada peribadi dan akhlak mulia rasulku sebelum tanggungjawab lebih besar aku pikul.

Kecintaan kepada Allah dan rasul hendaklah melebihi apa-apa sahaja kecintaan yang wujud dalam hati.

Semoga bergerak umurku selaras dengan apa yang menjadi hasrat tertulis di sini, insya Allah.

1 comment:

Anonymous said...

tahniah dan syukur kerana diupayakan oleh Allah menginjak 25. salam ulangtahun kelahiran, moga amal selari dengan usiamu.

nasriah abdul salam
www.puteribongsu.wordpress.com

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.