Tuesday, June 12, 2007

Si hilwa eh..

Cerpen ini tersiar dalam Mingguan Malaysia- 9 Jun 2007

PUTIK QUNAITARA
Oleh :Ummu Hani Abu Hassan
(Sepanjang di Syria, paling mengesankan di jiwa ialah kanak2nya . Sebab itu karya saya yang telah dihasilkan setakat ni lepas balik syria banyak tentang mereka - sebuah novel dan dua cerpen)



“Anakku, aku ibumu ingin berpesan. Jika berjalan, peganglah tanganku erat-erat.” Ibu menghembus dahiku, anak rambut berwarna perang terkibas ke atas. Topi berjambul biru masih lekap mendinding dingin kepala. Ibu menarikku dekat ke sisinya. Jemari kami berangkulan ketika melintas jalan menuju ke Jisr Rais.
“Wajah Dimasyq cepat malap di musim dingin. Aduh! Kita selalu berkejar dengan masa sayang.

Ibu makin erat menggenggam tanganku. Memandang sekeliling, semua manusia seperti ibu. Berjalan tangkas ke depan, menunu dan meluru langsung tidak menghiraukan orang lain. Aku jika tidak dipeluk ibu, sudah tertiarap di tubir tangga jejantas. Apakah orang-orang dewasa mempunyai perasaan seperti bangunan-bangunan batu yang berselerak seluruh Jabal Muhajirin? Tidak halus memikirkan makhluk yang lain? Suam tangan ibu berminyak di jariku.





Kami menaiki service berlabel Kud’sia. Ibu memangku badanku atas pehanya kemudian menyua syiling 5 lirah kepada pemuda di sebelah. Ibu tidak ralat menampung montel tubuhku semata tidak mahu membayar lebih daripada harga seorang penumpang. “Bapamu kedekut,” keluh ibu setiap kali anak mataku menikam mata ibu. Kasihan. Perjalanan 45 minit ke Nazlah Kud’sia dalam service sempit biasa bagi ibu. Aku atas ribanya, beg comelku dimasukkan dalam beg kerja ibu yang turut diletak sebelah kiri pehanya. Biasanya, tubuh kami dihimpit pula lelaki-lelaki besar seperti juga tubuh bapa, seorang jundi Syria. Jika nasib tidak baik, hidung kami menampung hamis penumpang sebelah yang rata-ratanya jarang mandi di musim sejuk. Aku lalu menempek hidung di balik kerudung ibu. Masam ibu lebih bagus daripada kelat hapak lelaki-lelaki itu.
Mataku mencenung ke luar tingkap, pemandangan yang sama sejak setahun aku berulang-alik dengan ibu dari rumah kami di Jaddat Qudsayya ke Madrasah al-Imran di Pekan Baromkheh. Ibu bertugas sebagai anisah kanak-kanak bisu yang ratanya berumur seusiaku sehingga umur 12 tahun. Kini, aku sudah mencapai umur tadika, ibu meletakkan aku di bawah jagaan seorang pengasuh, Umm Kamal. “Kamu boleh bercakap, tidak seperti mereka,” keluh ibu ketika aku merengek mahu duduk semeja dengan anak-anak muridnya.





Banjaran Beludan ditutupi salji putih. Aku meletak telunjuk ke cermin service, tersengih mengerdip ibu. “Sudah empat kali demam masih tidak serik?” Ibu menggeleng kepala. “Budak-budak..” balas seorang nenek di belakang kami. Dia memerhati aku sahaja sejak naik kenderaan berdebu ini.
Nenek itu senyum-senyum manja menggodaku. Gelember mukanya tambah menggelikan hati. Aku ketawa berdecit sambil menyorok lagi ke dada ibu bila tangan si nenek mula gatal mahu menyentuh. “ Ya hilwa..” katanya. Ibu mengerling perempuan tua itu. “Dia kanak-kanak pemalu puan,” kata ibu menerang dudukku. “Ana banat,” bisik nenek ke telinga ibu. Ibu ketawa spontan. “Kasihan, dia tidak pernah berkahwin pun. Mahukah kamu jadi cucunya?” ibu membisik pula ke telingaku. Tidak mahu!!! Aku menjerit di dalam hati.
Kami berjalan memanjat jaddat. Ibu paling mengah mengendong lemak badannya ditambah beg kerjanya yang berat. Tanganku masih setia dalam genggaman ibu. Beberapa kali ibu berhenti melepas lelah, menarik nafas kemudian berjalan semula. Ibu membiar aku berlari girang jauh meninggalkan dirinya di belakang.

Aku memijat tangga perlahan. Di tepi lubang bersegi empat yang mengadap Jabal Beludan, aku perhati ibu. Dia berjalan kemudian berhenti sekejap, menarik nafas kemudian berjalan semula. Lebih daripada enam kali ibu begitu. Runtun hati menyebabkan aku berlari semula mendapatkan ibu, menggenggam jemarinya. “Ah! Aku sewaktu kanak-kanak dahulu berlari lebih kuat daripada kamu,” kata ibu. Kami beriringan semula. Derap aku menderapi langkah ibu.
Rumah yang terletak di tingkat empat bangunan batu jaddat melelahkan lagi. Aku tidak lepas pegangan ibu, walaupun perlahan kami memijat tangga terus hingga tiba di depan rumah. Pintu tidak berkunci. “Bapamu sudah pulang,” bisik ibu. Dia membuka butku dan meleraikan kain mafla yang berlilit di leher comelku. Aku berlari ke kamar, mencari bapa.
Sekujur tubuh besar agam terbaring atas katil.


Aku menguis, memicit lengan berbulu itu. Sejurus mata itu terbuka, dia bingkas menarikku dan mencium berkali-kali sebelum mendekap aku ke dadanya. “Rindu..” kata bapa.



Dia juga mengerling ibu yang baru masuk ke dalam kamar. “Rindu…” kata bapa lagi sambil memandang ibu. Senyuman ibu meleret dan manis daripada biasa. “Sebentar,” kata ibu. Dia keluar membawa mantonya kemudian tiba semula dengan skirt dan t-shirt sendat. Ibu menghampiri kami, duduk di sisi bapa. Pipi merah ibu semakin meranum diusap bibir bapa. Spontan dadaku berombak kemudian menyua pipi kepada bapa. “Dia cemburu,” kata bapa sebelum mengucup pipiku berkali-kali.


Malam itu, ibu menyediakan hidangan lebih daripada hari biasa. Ada khubuz, jubneh, kusa, nasi, ikan goreng, falafel dan halib jagung. Ibu tidak lupa menyapu khubuz dengan minyak zaitun dan lada putih. Jeruk zaitun semangkuk diletak depan bapa.


Bersungguh kami makan hingga perutku terasa santak. Kambing masywi kegemaran bapa semangkuk licin. “Malam ni badan lebih panas dengan kambing ini,” kata bapa. “Kamu tidur dengan ibu dahulu,” kata ibu menarikku ke bilik. Tanganku keduanya sudah berlekap di mata. Entah pukul berapa, aku sudah terlelap bawah ketiak ibu.
“Kasihan, Jabir sudah enam tahun tapi tidak ada teman.” “Ah, saya fikir berkali-kali untuk mengandung lagi.”Kerajaan sudah mulakan kempen, Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal.” “Tapi, cukupkah Jabir seorang sahaja? Dia perlu adik. Mungkin dua orang lagi” Senyap. “Kamu mampukah?"

Aku membuka mata. Suara ibu dan bapa mendesah di kuping. Aku mencari ibu. Mencari bapa. Oh! Rupanya aku tidur seorang atas tilam bulu kambing. Sampai hati ibu. Aku mulai menangis dan mendekat pada ibu. “Dia sudah jaga,” kata bapa. Dia beralih ke tepi, memberi ruang aku TAtidur di tengah, memeluk ibu. “Sudah kukatakan, kamu tidak cukup untuk sediakan tempat tinggal yang lebih besar. Selagi itu, Jabir tidak berteman,” balas ibu. Dia memeluk kepalaku yang tersorok di lehernya.

Pagi bersinar cantik. Ibu mendukungku ke bilik air, menyapu mukaku seluruh dan mencuci gigiku. Rambut perangku bersapu krim rambut sambil seluruh badanku ditempek krim jenama Kamil. “Bapa kamu liat sungguh bangun tidur. Tabiatnya itu tidak berubah sejak berkahwin denganku,” bebel ibu. Mataku terkebil memerhati bapa yang masih berdengkur. Tugas tenteranya tidak menentu. Pernah berbulan lamanya, bapa tinggal di di sempadan Syria-Lubnan, menjaga keamanan dua negara. Minggu ini cuti bapa panjang sedikit, apakah ibu tidak gembira bapa wujud di rumah? “Rumah kita tidak seperti rumah orang lain. Televisyen tidak ada, bilik hanya sebuah, semua perabot sudah buruk. Ah! Bapamu pula kedekut,” tambah ibu lagi, sangat perlahan di telingaku.









Matari tegak memancar di langit Qudsayya, aku berlari girang menarik tangan Salmi seperti mana ibu menarik tanganku. Salmi yang lebih kecil, terjungkit skafnya.






Abangnya, Hammudeh mampir ke arah kami. “Lepaskan tangan adikku,” katanya. Sejurus, tangan Salmi terlepas dari pegangan. Mengapa Hammudeh perlu marah? “Kau mahu berkahwin dengan adikku?” Tanya Hammudeh memandangku tajam. Berkahwin? Apakah seperti bapa dan ibu? Selalu bila bapa pulang, ibu akan berpakaian cantik dan bapa selalu menyebut, ‘rindu..’.Apakah nanti jika berkahwin dengan Salmi, dia berpakaian secantik ibu dan aku mengucap pada Salmi, ‘rindu..’. Spontan aku mengangguk. “Begitu, kau boleh pegang tangan adikku,” balas Hammudeh yang baru masuk darjah satu di madrasah ibtida’ie. Belum sempat kucapai tangan kecil Salmi, dia lebih dahulu mengait jemariku. “Kita bermain anak patung di rumahku.” Aku mengerut dahi. Anak patung adalah permainan yang paling kubenci. Aku tegak membatu. “Kau mahu kahwin denganku bukan? Mari main anak patung.” Salmi menekan suaranya. Aku menggeleng kepala. Salmi garang, lebih baik aku tidak berkahwin dengannya. Pantas aku berlari naik ke rumah, meninggalkan Salmi yang mula menangis sambil dipujuk abangnya, Hammudeh.




“Kamu perlu beli televisyen. Si Jabir mahu tengok cerita kartun,” suara ibu tinggi. “Si Jabir atau kamu? Perempuan pandai mencari alasan,” suara bapa lebih rendah daripada suara ibu. Aku mendekap telinga sebalik pintu. “Kau tidak menjagaku dengan baik, tidak menepati janjimu dahulu.” “Itu lebih mulia daripada aku biarkan kamu terlolong di Qunaitara,” tempelak bapa. Suara ibu tidak kedengaran lagi, hanya bunyi pintu berdentum kuat.
Aku lari masuk ke dalam rumah. Bagaimana ibu? “Jabir, ke sini kamu..” panggil bapa. Aku tidak menghiraukannya. “Ibu, buka pintu…!” aku menjerit kuat di depan pintu bilik.


“Aku seorang askar, kerjaku bertarung nyawa tambahan pengganas Israel semakin syaitan, berbaloikah pengorbanan itu hanya untuk membeli sebuah televisyen. Bukan ibumu tidak tahu, gajiku sekadar membayar sewa rumah ini. Gajinya pula untuk membeli barangan dapur. Ah! Kita tidak mati tanpa televisyen. Kau tahu Jabir, Israel laknat itu menggunakan siaran tv untuk menyerang otak umat Islam. Begitu, sia-sia sahaja aku membantai senapang di sempadan, kau dan ibumu mati dengan virus dakyah Israel dalam rumah ini,” bebel bapa. Aku sudah duduk mengangkang depan pintu bilik yang masih dikunci ibu. Langsung tidak faham apa yang disebut bapa. Beberapa minit, ibu keluar memakai mantonya. “Aku ingin ke Qunaitara bersama Jabir,” katanya memohon izin bapa tetapi mata ibu langsung tidak bercahaya. “Baguslah, cari dirimu di sana,” balas bapa. Aku menjadi benci dengan suara itu. Mengapa tiada perkataan ‘rindu’ lagi di mulut bapa? Apakah kerana ibu tidak memakai pakaian secantik semalam?

Kami mengadap Bukit Golan. “Aku rindu,” kata ibu. Aku diam, biar ibu dulu melepas gundah nestapa. “Aku rinduuu..” tekannya lagi. “Rindu yang menderam, tidak tertahan sayang,” suaranya mendatar serak. Air mata ibu mengalir luruh. Aku di bahunya turut berasa air dari dua mata cantik itu. “Seluruhnya di sini.” Dia membawa tanganku ke dadanya, ruang di mana letaknya hati. “Semuanya sekali…di sini.” Tanganku dilepas. Aku membiar sekejap, pasti dia akan meraut kembali jemari halusku. Ya, baru sebentar mengesat air hingus, dia menyapa terus anak-anak jariku. Berangkulan semula jemari kami.
“Segala kecintaan, impian dan harapanku telah musnah sayang. Bapamu berubah sekarang. Kau tahu mengapa?” Aku mendongaknya, cuba memahami ibu. “Kerana kita miskin dan tiada tanah. Tanah di Qunaitara ini dimusnahi Israel hingga sekarang bapamu tidak menang mengalahkan mereka. Ah! Kau tidak akan faham sayang.“ Aku sepi. Ibu menyambung lagi. “Berpuluh tahun memendam rindu yang jauh sehingga hati sudah buta mengenal harapan. Aku rindukan keluargaku yang mati di mata senapang Israel” Kepala ibu tunduk merenung rumput-rumput sayu musim sejuk. “Di tanah Qunaitara inilah Jabir. Bapamu seorangnya yang menyelamatkan aku,” bisik Ibu.
“Kau tahu apa makna cinta terlarang? Menyentuh, mengusap dari jauh. Merindu hanya dalam hati, memiliki tidak sekali. Ah! aku tidak akan berputus asa walaupun aku sudah mati. Kau masih ada untuk menyambung doa-doaku semoga tanah Qunaitara kembali aman ke tangan penduduk Islam,” akhiri ibu. Dia memelukku erat. “Kita pulang, walaupun bapamu itu kedekut, dialah yang menyelamatkan aku,” kata ibu terus.
Tanganku dipimpin ibu ke seberang jalan. Sambil ditarik ibu, mataku tidak lepas merenung gagah Bukit Golan. Di situkah terletaknya syaitan-syaitan Israel yang meragut segala kecintaan ibu? Ah! Aku juga mahu menjadi askar yang kedekut seperti bapa bila dewasa. Tidak sesen pun aku akan laburkan pada kalian wahai Israel!

Glosari
1. Anisah- panggilan untuk guru agama perempuan di Damsyik
2. Banat- kanak-kanak perempuan
3. Jaddat – Kawasan bukit
4. Jundi – tentera
5. Madrasah Ib’tidae- Sekolah rendah
6. Sercive- van yang menjadi kenderaan awam di Syria
7. Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal- kempen keluarga di Syria yang bermaksud keluarga kecil, masa depan lebih baik.
8. Ya hilwa- Yang Manis

1 comment:

elvedina kesten said...

salaam!
wah satu bahan tulisan yang bagus!!!

kagum!

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.