Tuesday, February 5, 2008

BUAT ADIK REMAJAKU YANG MULAI MASUK DEWASA





Hanifah ( 3 tahun)



Hanifah ( setahun)



Hanifah (23 tahun)
Tidak terasa usia sudah merangkak jauh dari zaman kanak-kanak kita. Kau yang dulunya suka menangis dan manja dengan abah kini sudah agam dewasa dan bakal meninggalkan keluarga.



Abu Hanifah, kau kesayangan abah dan emak kerana menjadi putera sulung kebanggaan keluarga. Sejak kecil ditatang abah bagai seorang putera. Nakal zaman kanak-kanakmu telah membuatkan abah dan emak menjadi terhibur bila mengenangkannya. Aku teringat lagi betapa cemburunya kami kakak- adikmu yang perempuan ini kerana selalu beralah kepadamu dan adik-adik lelaki lain. kami yang perempuan selalu dididik untuk melakukan banyak kerja rumah sedang kalian selalu menjadi bos.


(Anak-anak lelaki abah)

Kecemburuan itu menyebabkan kita saling berasa tidak puas hati dan bergaduh. Dan akulah yang selalu beralah dan menangis. Kau pula selalu ketawa kemenangan.



Ummu dan Hasna (3 dan 2 tahun)

Teringat lagi kau yang manja apabila disekolahlah di asrama. Bersama Bangchik Fitri, kau pernah lari dari sekolah kerana tidak tahan menanggung rindu pada keluarga. Begitu juga, kala LongJit menghantar kita pulang ke asrama, kaulah yang selalu menangis atas van. Kau anak lelaki yang manja.


(Keluarga kami yang besar dan harmoni, Alhamdulillah)



Kala usia menjejak remaja, aku pernah bimbang melihat dirimu leka bersama kawan-kawan hingga mengabaikan tanggungjawab seorang abang paling sulung. Selalu kita bergaduh kerana mulutku rajin ‘berceramah’ tentang sikapmu yang gemar bangun tidur lewat. Memang musim kanak-kanak dan remaja kita mengharunginya bersama kerana tidak jauh beza usia kita- Kak Ummu, Kak Na, Bang Pah, Kak Jat, Hamdi, Husaini, Haris, arwah Hakim, Anis, Hanan dan Adibah.



Adikku Hanifah,
Jangan kau lupa jasa abah dan emak pada kita. Mereka telah memelihara kita dengan begitu baik. Abah dan emak memberi kita kehidupan dan ilmu agama yang cukup. Kau jadikanlah emak dan abah sebagai panduan dan model untuk membina keluargamu nanti. Jagalah amanah abah yang telah dia sematkan sejak menghantar kau ke negara China supaya kau betah berdikari dan mengambil sikap bersungguh-sungguh masyarakat luar.


Hanifah di Makam Saad Ibn Waqos di Guangzhou, China

Ingat juga pesan-pesan mak supaya kita selalu menjaga hubungan dengan Allah dan rasul. Dengan syariat itu sahajalah yang mengikat kita untuk bersatu hati dan saling berkasih sayang.



Hanifah,
Kau mesti ingat tonggak kekuatan keluarga kita adalah dari berkat doa tokwan Tahir dan Tok Piah. Mereka insan luar biasa yang Allah hunikan bersama kita sejak kita kecil sehingga sekarang. Doakan kesejahteraan Tok dan Tokwan agar mereka masih bersama kita mengecap kemanisan hidup dewasa kita ini. Ketabahan dan keikhlasan Tokwan Tahir mesti kau jadikan panduan bergelar seorang suami dan ayah. Kasih sayang Tok Piah pada kita cucu-cucunya sematkan di hati, moga-moga kita menjadi seorang anak, seorang cucu dan seorang manusia yang selalu menghargai orang lain.


(Wan Tahir dan Tok Piah)


Hanifah,
Saat gembiramu ini diraikan oleh seluruh keluarga kita. Detik ini amat bersejarah dalam hidupmu moga ia memberkati perjalanan dewasamu selepas ini.

Peganglah permaisuri hatimu Maizanur Akma dengan tangan yang bersalut rasa takut kepada Allah. Pimpinlah dirinya dengan rasa tanggungjawab dan kasihan belas kerana seorang isteri itu seluruh hidupnya adalah menghambakan diri pada seorang suami. Isteri yang solehah dicernai seorang suami yang soleh dan beriman. Kau iktibarilah pengalaman abah dan emak, tok dan tokwan malah saudara-saudara kita yang telah berjaya membangunkan rumahtangga Muslim yang harmoni.

Hanifah dan Mai,



Di kala menjalani bahtera rumahtangga ini, ingatlah Allah SWT di kala susah mahupun senang. Perbanyakkanlah selawat ke atas baginda Rasulullah SAW agar kalian bisa menikmati perkahwinan yang diberkahi. Bersama di dunia dan akhirat.


Salam sayang dari seluruh keluarga ini buat kalian Abu Hanifah dan Maizanur Akma.

2 comments:

Fahd Razy said...

dalam byk2 gmbar...paling suka tgk gambar kak ummu masa kecik...ahahaha. TAk berubah muka!

Raihan Mustafa KamaL said...

Selamat Pengantin Baru to Kak Mai.

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.