Thursday, May 24, 2007

CATATAN DICURI DARI ABAH

JULIA DAN REALITI

Saya bukan penulis tetapi perakam peristiwa manusia. Jadi tidak cukup kalau sekadar bermain dengan mata pena atau pun keyboard komputer, saya perlu pergi lebih jauh kerana buku memerlukan imajinasi tetapi tidak semua orang boleh menghayati patah perkataan yang ditulis sebaliknya apabila dipindahkan ke audio visual, ia menjadi mudah dan lebih berkesan.

Mungkin itulah yang terbaik untuk menceritakan bagaimana saya `bertukar’ arah dari seorang guru terlatih kepada pengamal media di negara ini.

Seperti kanak-kanak lain di Felda Guar Napai, dunia kami hanya kebun getah, guar, jiran-jiran yang kami anggap seperti keluarga sendiri walaupun pada asasnya tidak mempunyai pertalian darah. Itulah dunia zaman awal berada di felda ini. Pagi ke sekolah. Ibu dan bapa ke kebun getah. Kami mengaji di sekolah. Ibu dan bapa berhuma di bukit sementara menunggu pokok getah besar. Tengah hari ibu dan bapa balik. Memasak untuk kami. Kami balik dan makan bersama dengan keluarga yang lain. Petang ibu dan bapa ke bukit semula. Kami bermain kejar mengejar, sembunyi sembunyi. Petang ibu balik. Bapa singgah di kedai ambil barang. Kami balik mandi dan bersiap. Pasang lampu minyak gas. Lepas solat maghrib kami ke rumah guru Quran, mengaji. Ibu memasak dan mengemas. Bapa ke masjid. Kami balik dan makan malam dengan emak. Bapa bermesyuarat. Kami sudah tidur.

Rutin harian yang kami tempuhi lebih tiga tahun. Tahun 1960 hingga 1963. Itu yang saya ingat.

Kami hidup seperti keluarga besar. Tolong menolong. Berkasih sayang walaupun keadaan kebanyakkan keluarga belum stabil pendapatan mereka. Saya dari keluarga yang kurang berada. Sederhana. Tetapi apabila keluarga bertambah dan emak perlu bekerja lebih kuat. Selepas beberapa lama, emak mula sakit TB dan kemudian kanser, keadaan keluarga agak berubah.

Bapa perlu bekerja dan menjaga kami adik beradik. Suatu tanggungjawab yang besar tetapi bapa tidak pernah merungut walaupun kadang kala kenakalan saya menyebabkan bapa menjadi garang dan marah. Pernah saya dipukul kerana gara-gara terpengaruh dengan kenakalan abang-abang yang lebih besar.

Kisahnya saya cukup ingat sampai ke hari ini. Suatu malam saya mengikut Bang Chin, Chot dan rakan-rakan lain mengusik budak-budak mengaji Quran di rumah Mak Long Denah. Kami bakar sabut bersama cabai kering dan letakkan di bawah rumah mak Long ketika mak Long sedang mengajar anak-anak mengaji Quran. Habis sebuah rumah berasap dan bersin kerana bau cabai kering.

Balasannya esok saya dikejar bapa dan dirotan. Say serik untuk kali itu dan mengaku tidak akan buat lagi perangai begitu. Tetapi saya lupa. Beberapa bulan selepas itu sekali lagi bapa mengamuk kerana saya bersikap sambil lewa sehingga terlupa pesanan bapa. Dia marah dan malam itu saya hampir-hampir bermalam di hutan buluh belakang rumah.

Saya anak yang cacat. Leher saya sejak kecil sennget ke kiri. Kawan-kawan dan orang kampung memanggil saya Hassan teleing ( Chan senget). Saya merasa sangat rendah diri. Setiap kali melihat dicermin, saya akan cuba membetulkan leher saya tetapi tidak lama, kemudian saya kembali seperti diri saya sebenar.

Kata ibu saya, semasa dia melahirkan saya, leher saya normal. Semasa kecil, emak sering ke sawah bekerja sementara bapa pula bekerja sebagai home guard dan selalu keluar berkawal di luar. Jadi datuk saya Arwah Haji Din Hj Jaafar yang mengasuh dan menjaga saya. Tok Wan saya tidak pandai mendukung sebaliknya hanya mengepit saya di bawah ketiaknya setiap kali dia hendak ke mana-mana. Leher saya akan menurut arah di mana dia mengepitnya. Lama-lama kelamaan urat menjadi tegang dan menjdi kebiasaan kepada saya.

Apabila meningkat besar, walaupun emak berusaha mengurut, leher saya tetapi begitu juga. Jadilah ia seperti mana saya sekarang. Berjalan dengan leher senget ke sebelah kiri.
Sakit?
Tidak.
Perasaan?
Dahulu memang saya marah dan geram apabila orang panggil dengan gelaran yang menghina saya. Kadang kala saya menangis seorang diri. Kadang kala saya memberontak dan berang. Perasaan saya tertekan.

Saya melalui zaman kanak-kanak di sekolah Kebangsaan Guar Napai seperti kanak-kanak lain walaupun saya ada sedikit kecacatan. Saya boleh bermain bolasepak, sepaktakraw dan bersukan seperti kanak-kanak lain. Namun kecacatan itu menyebabkan rasa rendah diri yang mendalam sehingga kadang kal memberi kesan kepada pergaulan saya. Kadang kala saya menangis dan arwah emak saya akan berkata kepada saya `Jangan susah hati, can anak istimewa, kalau can berjalan mana-mana orang kenal. Orang nak kata sekejap saja, biar pi kat depa. Lama-lama orang dah jadi biasa. Yang penting kita buat perkara baik. Nanti semua orang suka.’Pujukan emak membuat saya merasa lebih lega.

Di sekolah rendah, pelajaran saya hanya sederhana walaupun pada darjah lima dan enam agak meningkat berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Saya memang kuat bermain tetapi ada sedikit sifat tanggungjawab apabila sudah mempunyai adik-adik. Saya mula sedar mengenai tanggungjawab dan bebanan yang perlu dipikul oleh ibubapa saya. Saya mula belajar berdikari dan berusaha membantu emak dan bapa saya bekerja di kebun.

Sejak berumur sebelas tahun, saya sudah boleh menoreh getah. Kalau hari-hari tidak sekolah, saya akan mengikut emak ke kebun seawal jam enam pagi sebaik saja selesai solat subuh. Sebelah petang membantu bapa di dusun dan melakukan apa saja kerja untuk mencari sedikit pendapatan.

Apabila ke sekolah saya mengambil upah menjaga kantin. Cikgu Rahmah dan cikgu Hassan, dua orang guru yang saya anggap seperti kakak dan abang yang cukup penyayang. Bila jaga kantin dapat upah dan dapat makan percuma waktu rehat. Sekurang-kurangnya saya tak perlu keluarkan duit belanja. Emak saya buat kueh untuk diletakkan di kantin. Saya masih ingat kadang kala tak habis dan saya makan dengan adik-adik di rumah.

Kehidupan tidak susah sangat tetapi tidaklah sesenang seperti keluarga yang ahli keluarga yang tidak ramai seperti Jamil dan Ariffin, dua orang kawan saya yang sangat intim. Jamil kekal sebagai guru dan Ariffin aktif di dalam perjuangan parti PAS dan tinggal di Muassasah PAS Pokok Sena.

Saya tidak berjaya mendapat kelulusan yang baik untuk melayakkan saya masuk ke sekolah berasrama penuh seperti Bang Om ( Baharom Othman) yang menjadi idola kami ketika itu kerana dia berjaya memasuki STAR Ipoh. Bahkan saya sendiri menyimpan cita-cita untuk bekerja keras dan mengikut jejak Bang Om belajar di STAR, Ipoh. Tapi saya tidak berjaya.

Saya akan menyambungkan pelajaran di sekolah Menengah Jitra 2 seperti kanak-kanak lain. Bang Om bertuah kerana dapat peluang ke sana. Penduduk kampung membuat rombongan menghantar beliau ke STAR, Ipoh. Saya kagum dengan dirinya dan sering kalau dia balik bercuti, saya curi-curi melihat buku-bukunya yang tebal-tebal. Buku tulisnya pula bersih dan selalu dapat A.

Saya belum pandai membuat pemilihan ketika hendak masuk ke sekolah menengah. Bapa saya mencadangkan saya masuk ke kelas bahasa Inggeris bersama dengan Ariifin. Sementara kawan-kawan lain seperti Jamil masuk ke kelas bahasa Melayu. Bila orang tanya kepada bapa saya mengapa hantar anak ke kelas bahasa Inggeris, bapa hanya menjawab sekurang-kurangnya kalau nanti ada orang putih masuk ke Guar Napai, ada orang yang tahu cakap Inggeris. Saya mengikut walaupun saya cukup lemah di dalam bahasa Inggeris.

Saya masuk kelas peralihan bahasa Inggeris selama setahun dan ditempatkan dengan anak-anak China yang sudah pandai berbahasa Inggeris. Saya hampir putus asa. Saya rasa saya tidak boleh lakukannya. Memang pun sehingga hari ini walaupun boleh berbahasa Inggeris tetapi saya gagal di dalam bahasa Inggeris peringkat MCE. Tetapi ketika itu bapa terus memberi semangat dan kemudian membuat keputusan memasukkan saya ke asrama. Suatu tindakan untuk memasyarakatkan saya dengan kanak-kanak berpendidikan.

Mulalah tahun-tahun berdikari di asrama. Saya tidak pasti di mana bermulaanya bakat menulis pada diri saya. Saya bukan orang yang rajin membaca. Tetapi mungkin ada sesuatu yang membuat saya jadi berani menulis. Apabila saya tertekan terutama apabila saya rendah diri ( kalau di kampung kerana kecacatan tetapi di asrama terasa kekurangan serba serba berbanding dengan kawan-kawan di asrama), saya selalu luahkan di atas kertas. Saya catat apa saja yang terlintas di fikiran.

Saya akui kehidupan di asrama banyak mencorakkan masa depan saya. Saya belajar untuk menjadi pelajar yang baik. Saya belajar banyak perkara dari Arwah cikgu Mohammad Mydin. Saya belajar untuk berdikari daripada kawan-kawan seperti cikgu Zainol dan cikgu Hj. Zawawi yang masing-masing mempunyai karektor tersendiri. Saya berkawan dengan rakan-rakan senior yang agak berada seperti cikgu Atan, YB Datuk Johari Baharom dan arwah Kapten Radzi…… Saya mula faham dan bekerja lebih kuat.

Guar Napai saya tinggalkan seketika. Sesekali emak akan datang menghantar wang di asrama. Saya menjadi harapan keluarga terutama model kepada adik-adik yang sedang belajar di sekolah rendah. Balik waktu cuti, saya kena bekerja keras membantu emak dan bapa di kebun. Tanggungjawab saya semakin besar. Guar Napai tetap dihati walaupun saya tinggal di asrama.

Saya tidak mendapat kelulusan yang baik tetapi bernasib baik untuk dipilih memasuki kelas Sains Tulin di STAR Mergong. Cita-cita untuk masuk ke STAR terkabul juga walaupun STAR mergong bukan STAR Ipoh.

Dari kanak-kanak biasa saya perlu belajar kelas sains, sesuatu yang cukup berat kepada saya. Bersama saya berhijrah ke STAR mergong memasuki kelas khas itu ialah Mustaffa Kamal, Aman Khan dan Zawawi Dogoi. Kesemua kami menjadi guru. Mustaffa mengajar di Kulim. Saya tidak pernah berjumpa dengannya sejak lebih 20 tahun. Aman Khan bertugas jabatan pendidikan Kedah, Naib ketua UMNO Kubang Pasu. Zawawi juga seorang guru dan bertugas di PPD Kubang Pasu.

Hidup ini penuh dengan kejutan. Saya dan kawan-kawan belajar di STAR tetapi tinggal di asrama Kolej Sultan Abdul Hamid. Sekaligus menjadikan kami berada di dalam dua alam. Di sekolah mengikut peraturan STAR dan bila balik ke asrama kena ikut peraturan kolej. Saya beruntung. Saya dapat kawan-kawan baru di sekolah terbaik di Kedah ini.



MCE saya kurang baik dan melayakkan saya memasuki tingkatan enam. Tetapi saya hanya sempat belajar tiga minggu dan memohon menjadi guru sementara. Permohonan diterima dan saya dihantar mengajar di Sekolah Air Hitam. Mulalah kehidupan saya sebagai seorang guru matematik..!

Enam bulan di situ dan tahun berikutnya saya berpindah ke Sekolah Menengah Al-Bukhari, Alor Setar. Saya sempat mengajar enam bulan sebelum diterima masuk ke Maktab perguruan Persekutuan Pulau Pinang di dalam bidang matematik.

Selesai di maktab, saya mengajar di Sek. Men. Putra, kangar, perlis. Selama lima tahun mengajar di sana tetapi saya tidak mengajar matematik sebaliknya geografi..! Namun saya bertuah kerana di Perlis saya bertemu dan mengajar bersama cikgu Rejab F.I. Dialah yang mengesan bakat menulis dalam diri saya. Dia memberi galakan supaya saya menulis. Pada tahun 1979, cerpen pertama saya terbit dalam Mingguan Timur. Saya begitu suka dan bawa dan tunjukkan kepada ahli keluarga dan kawan-kawan. Saya baca berulang kali dan seperti tidak percaya. Selepas lima tahun dan mengambil STP, saya menyambungkan pelajaran ke UPM dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.

Saya tinggalkan dunia persekolahan seketika dan berkenalan dengan dunia universiti yang lebih terbuka. Di sinilah saya bersua muka dengan penulis-penulis hebat yang saya kagumi seperti Arifin said dan Dzulkarnain Ithnin. Sebenarnya kalau hendak dikira adik saya ciksu lebih dahulu menulis daripada saya. Cerpennya banyak terbit di radio kedah. Begitu juga dengan kak pupu saya Wan Halimah Ku Ibrahim yang sering menggunakan nama pena WANHA apabila menulis drama radio dan sering ceritanya disiarkan oleh radio satu.

Mungkin itulah sedikit gambaran latar belakang bagaimana saya boleh berada di dunia saya sekarang sebagai pengamal media, pengarah, penerbit dan juga penulis. Saya yakin kejayaan yang saya capai adalah hasil doa ibubapa saya. Mereka yakin suatu hari kecacatan yang dahulunya menjadi racun kepada saya tetapi kini menjadi madu yang cukup bermakna kepada saya. Kecacatan bukan kehinaan tetapi penghormatan kepada saya.

Sejak mula menulis pada tahun 1979 hingga sekarang, saya sudah menulis lebih 27 buah karya sastera kanak-kanak dan remaja, lebih 40 buah cerpen dan memenangi 12 buah hadiah sayembara pelbagai peringkat termasuk hadiah tertinggi sastera negara apabila novel Julia dianugerahkan hadiah sastera perdana pada tahun 1999.

Sebagai pengamal media, saya tidak berhenti di situ kerana cita-cita untuk berdakwah melalui media perlu diteruskan. Pada tahun 1995, saya mengambil keputusan menyambungkan pendidikan di peringkat sastera media di Universiti Malaya. Sejak itu saya mula terlibat dalam perniagaan media melalui syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd. , Anugerah media Network dan Layar Consut Sdn. Bhd.

Saya menjalankan amanah sebagai pengarah Urusan di syarikat-syarikat ini yang terlibat di dalam perniagaan One Stop Media Centre. Kami menerbitkan majalah ANIS, ASUH dan ASUH KIDS. Pada masa yang sama menerbitkan siri dokumentari Islam dan drama. Pada tahun 2001 kami berjaya menerbitkan drama bersiri Julia sebanyak 6 episod untuk ASTRO. Sejak itu saya terus mendapat kepercayaan RTM dan ASTRO untuk menerbitkan pelbagai rancangan TV.

Julia sebuah kisah masyarakat kelas menengah yang sangat berkesan terutama apabila dia. perlu berhadapan dengan ujian kehilangan kedua ibu sekali apabila mereka terlibat di dalam kemalangan jalanaya. Dia dihantar belajar agama di Perth, Australia, suatu pendekatan yang jarang dilakukan oleh orang Islam. Ketika menguruskan syarikatnya Julia menggunakan pendekatan kepimpinan melalui teladan. Dan ketika syarikatnya berhadapan dengan cabaran globalisasi, Julia membuka homestay di kampung arwah bapanya Felda Guar Napai.

Felda Guar Napai muncul dalam skrip novel dan kemudiannya menjadi lokasi penggambaran drama bersiri ini. Selama dua minggu krew dan pelakon berkampung di Guar Napai bagi menjayakan drama bersiri terbitan anak tempatan. Pertama kali watak-watak berbakat penduduk Guar Napai kembali memainkan peranan.

Di dalam ceramah-ceramah, pelajar selalu bertanya mengapa Julia memilih Guar Napai? Ya mungkin juga kerana pengarangnya dari Guar Napai tetapi yang lebih penting bagi saya ialah elemen penghijrahan yang melatari kampung seperti Guar Napai. Untuk berjaya orang Melayu beragama Islam perlu berhijrah. Umat yang berhijrah membina kekuatan tersendiri. Rasulullah SAW mengajar kita supaya berhijrah. Ketika tiba di Madinah, umat Islam hanya ada Allah dan RasulNya tetapi selepas sepuluh tahun, Rasulullah SAW berjaya menukar Madinah menjadi negara Islam pertama dalam sejarah tamadun manusia. Bukan itu sahaja Madinah terus unggul dan berkembang sehingga ke hari ini. Inilah kekuatan hijrah.

Negara Amerika tidak ujud di dalam peta dunia yang dilukis oleh Al_Idrisi pada tahun 1102 tetapi selepas berlakunya penghijrahan orang Eropah ke benuaAmerika, akhirnya pada abad 21, Amerika menjadi kuasa besar dunia. Bacalah sejarah, bukalah lipatan sejarah, kebanyakkan bangsa di dunia yang berhijrah akan merintis kejayaan tersendiri. Orang Cina di Malaysia berjaya kerana penghijrahan mereka dari tanah besar China. Orang India di Manchester, Birmingham atau di Dubai, berjaya menjadi ahli perniagaan yang hebat-hebat kerana penghijrahan zaman berzaman.

Inilah Guar Napai di dalam novel Julia. Guar Napai yang dibangunkan oleh penduduk Melayu yang berhijrah dari kampung-kampung tradisi sekitarnya ke satu masyarakat tersendiri di tengah rimba. Mereka datang dengan semangat yang tinggi untuk mencipta kejayaan. Hari ini Guar Napai walaupun tidak terbilang tetapi cemerlang berbanding dengan kampung-kampung yang lain.

Julia adalah antara fantasi dan realiti yang hendak saya sampaikan kepada para pembaca terutama para pelajar yang perlu membaca novel ini. Sejak 2001 sehingga 2008 novel kecil ini akan menjadi bahan bacaan wajib pelajar tingkatan 5 zon 1- Kedah, Pulau Pinang dan Perak kerana novel ini dipilih sebagai buku teks KOMSAS tingkatan 5.

Saya bermula dengan novel Pagi Yang Cerah terbitan Marwilis Publications pada 1989 dan diikuti dengan novel Sabarlah Sayang terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun berikutnya. Pendekatan saya mudah. Hebahkan yang baik kepada manusia. Setiap penulisan saya walaupun novel kanak-kanak, saya mahukan nilai-nilai positif, akhlak Islamiah dipancarkan secara tidak sedar kepada para pembaca. Bacalah novel-novel lain seperti Cucu Tuk Wali (DBP:...), Farhana ( DBP:…) atau Menitip Kasih (DBP: ) dan novel-novel yang lain, semuanya akan bercerita mengenai realiti yang perlu kita hadapi.

Selain nilai, saya mementingkan ilmu. Saya mahu selain membaca karya kreatif, para pembaca juga akan dapat maklumat baru mengenai latar di mana berlakunya peristiwa berkenaan. Saya menggunakan pendekatan travelodge dalam novel-novel mutakhir saya seperti Natasya ( UPD: ….. ) yang berlatar belakangkan Bosnia Herzegovina, Julia di perth, Australia, Cinta Madinah di Madinah dan Makkah.dan Janji Suu Phia di Yangon, Myanmar.

Saya bersyukur penglibatan saya sebagai pengamal media telah membawa saya merantau ke banyak negara melihat sendiri budaya dan suasana masyarakat di negara berkenaan. Saya yakin ini semua doa ibubapa saya membolehkan saya terbang jauh dari Guar Napai untuk menyaksikan kejadian alam ciptakan Allah dengan segala keindahan, keunikan dan pelbagai ragam hidup antara kufur dan patuh.

Saya telah curahkan pengalaman ini di dalam siri-siri dokumentari Islam seperti Salam Nusantara, Salam Timur Tengah, Lambaian Kaabah dan Salam OIC. Selepas drama Islam Julia, saya diberi kepercayaan mengarah dan menerbitkan telemovie Sayangku Puteri dan Dosa Kamelia. Saya tidak lupa juga mengangkat mesej Islam di dalam Cinta Sempadan dan Nur Kasih dan pada tahun 2005 saya menerbitkan drama bersiri Cinta Madinah untuk RTM.

Menunaikan haji. Suatu cita-cita yang sentiasa menyala dalam diri. Apatah lain pada usia 40an tentulah inilah yang menjadi idaman saya dan isteri saya Hamidah Haji Tahir.

Namun dengan tanggungan yang ramai dan kedudukan kewangan syarikat yang belum stabil, saya tidak pasti bila dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM20,000.00 bagi membolehkan kami berangkat ke tanah suci. Tiada di duga pada tahun 2001, Allah membuka laluan apabila permohonan syarikat untuk membuat penggambaran di tanah suci di terima oleh kerajaan Arab Saudi. Saya, isteri dan tiga orang krew lain berangkat menjadi tetamu Allah dan diberi penghormatan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Kini kecacatan sebagai insan yang senget tidak sesekali menghadkan pergerakan global saya. Kadang kala saya lupa mengenai keadaan diri saya sehingga apabila saya bertembung dengan cermin, baru saya sedar beginilah keadaan diri saya. Entah apa orang lain akan kata tetapi tuah si budak teleng ini tiada siapa yang menjangka. Saya sendiri kadang kala malu pada diri sendiri atas kurniaan Tuhan kepada saya. Dalam kesempitan hidup, bersusah mencari duit belanja sekolah, berhutang sana sini nak bayar yuran sekolah, bertukar kasut setahun sekali dan hanya mampu mengayuh basikal dari Guar Napai ke Alor Setar pada hujung bulan semata-mata hendak belajar, Tuhan memberikan kemudahan dan kesenangan yang begitu banyak ketika saya saya bekerja untuk membesarkan agamanya.

Saya mula keluar negara pada umur 15 tahun mengikut cikgu Aman Khan menziarahi abang iparnya di Naratiwat, Thailand. Tetapi kemudahan keluar negara ini bermula secara konsisten pada tahun 1996 apabila mengikuti rombongan media bersama Menteri Pertahanan ke Bosnia Herzogovina menggunakan pernerbangan C 130 yang perlu singgah beberapa negara. Pertamanya singgah di Pulau Maldive, kemudian singgah di Dubai dan kemudian bermalam di Aman, Jordan. Keesokkanya terbang ke Croatia sebelum masuk ke Livno, Bosnia Herzogovina.

Sejak itu, setiap tahun Allah membuka ruang kepada saya dan syarikat untuk meneroka perkara baru di luar negara. Kalau TV 3 memulakan siri Jejak Rasul, kami berbangga dengan siri Salam Nusantara, Salam Timur Tengah, Semarak bahasa dan Salam OIC. Melalui Salam Nusantara saya menjelajah ke Kemboja, Vietnam, Thailand, Myanmar, Brunei, Indonesia dan Brunei. Salam Timur Tengah pula membawa saya ke Arab Saudi dan Mesir. Semarak Bahasa pula membawa saya ke Pulau Kokos dan Pulau Krismas di lautan Hindi kemudian ke benua Australia. Salam OIC pula membolehkan saya menjelajah ke Bangladesh, Emirates dan Iran. Setiap kali keluara negara, saya perlu berada di sana antara dua minggu sehingga 2 bulan.

Anak-anak sudah mula memahami tugas abah mereka. Mereka membesarkan lebih banyak masa bersama isteri saya Hamidah Hj. Tahir dan datuk mereka Haji Tahir Osman dan nenek mereka Hjh. Piah Ismail. Saya yang sering kerinduan berjauhan dengan mereka, namun kemudahan ICT membolehkan saya berhubung melalui telefon dan E-mail sepanjang masa dengan mereka.

Saya yakin ini adalah doa ibu saya Yah Hj. Din dan bapa saya Morad Awang yang sentiasa tenang apabila saya memberitahunya mengenai tugas saya di luar negara. Dan apabila balik dia akan bertanya lagi; lepas ni nak pi mana pula? Saya jadi kelu dan hanya berkata insyaAllah belum tahu lagi.

Saya bukan orang bandar. Saya tidak boleh berjauhan dengan suasana kampung. Saya tidak boleh berpisah dengan bendang, pokok getah, durian, cempedak dan suasana bukit bukau, bunyi cengkerik dan malam gelap seperti yang terdapat di desa, jauh daripada bandar. Saya merasa sangat rindu kalau berada begitu lama di bandar. Apatah lagi apabila masa menulisSaya bukan orang bandar. Saya tidak boleh berjauhan dengan suasana kampung. Saya tidak boleh berpisah dengan bendang, pokok getah, durian, cempedak dan suasana bukit bukau, bunyi cengkerik dan malam gelap seperti yang terdapat di desa, jauh daripada bandar. Saya merasa sangat rindu kalau berada begitu lama di bandar. Apatah lagi apabila masa menulis, saya mahu sentiasa dekat dengan suasana-suasana yang mula hilang dari dunia kehidupan moden hari ini.

Pada tahun….. saya dan isteri mengambil keputusan untuk pulang dan menetap di kampung. Selain dunia kekampungan saya, saya rasa inilah masa anak dan isteri saya memberi masa yang lebih kepada keluarga di kampung terutama kepada bapa saya Hj. Morad dan bapa mertua Hj Tahir dan emak mertua Hjh. Piah Ismail. Mereka pulang dan tinggal di rumah mertua saya di Kg Gajah Puteh sementara menunggu rumah saya siap dibina. Saya sendiri berulang alik setiap minggu ke kampung. Bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Kampung Gajah Puteh.

Pada mulanya ramai yang menganggap ia sesuatu yang pelik. Tetapi hakikatnya bukan saya seorang yang menjalani rutin begitu, sebaliknya ramai yang berbuat begitu. Ada yang berulang alik kerana isteri tidak dapat berpindah, ibubapa uzur dan sebagainya. Hakikatnya mereka juga seperti saya, menglobalkan kehidupan di kampung dan bandar.

Anak saya Ummu Hani, lulusan Universiti Malaya nampaknya mengikut jejak langkah saya, bahkan lebih awal mencipta nama sebagai penulis apabila sejak berumur20 tahun lagi, cerpennya sudah disiarkan di akhbar harian selain di Dewan Sastera, Dewan Siswa dan majalah-majalah lain. Bahkan dia beruntung kerana mendapat bimbingan penulisan apabila mengikuti minggu penulis remaja DBP berbanding dengan saya yang tidak mempunyai asas pengetahuan di dalam penulisan dan tidak pernah mengikuti sebarang kursus penulisan sehinggalah saya masuk ke universiti.

Anak-anak saya Hasna Khairiyah dan Abu Hanifah nampaknya mula mendalami ilmu media apabila memasuki kolej Islam darul Ehsan di dalam bidang pengajian media seperti bapanya juga. Mereka saya harap dapat meneruskan kecemerlangan pengurusan media sekurang-kurangnya bekerja dengan syarikat Galeri Ilmu pada masa hadapan.

Suatu ketika ketika heboh isu sekolah agama rakyat, wartawan The STAR …… telah menembual saya dan bertanya mengapa saya menghantar anak-anak saya ke sekolah agama? Bagaimana masa depan mereka?

Tanggapan yang sempit terhadap sekolah agama perlu diperbetulkan. Mendidik anak-anak dengan ilmu agama yang cukup adalah perkara yang wajib sebelum kanak-kanak itu dilepas bergelumang dengan masyarakat pelbagai perangai pada hari ini. Mereka perlu dipersiapkan dengan ilmu fardhu ain yang secukupnya sebagai benteng berhadapan dengan gejala syirik dalam masyarakat hari ini.

Saya perlu melakukan sesuatu yang terbaik untuk anak-anak saya. Anak-anak saya belajar di sekolah rendah biasa sebelum menyambungkan pelajaran di sekolah menengah agama. Bagi saya lulus atau gagal adalah perkara kedua tetapi yang pokoknya dia tahu siapa Tuhannya dan siapa tuan mereka. Dengan erti kata yang lain, mereka wajib solat apabila tiba waktunya dan amalan ini berterusan di dalam hidup mereka. Prinsip saya jika terbiasa bersolat sejak kecil maka mudahlah apabila mereka sudah dewasa.

Islam agama praktikal dan mudah. Membesarkan Allah Taala melalui solat mengingatkan mengenai betapa kerdilnya diri kita. Sebesar mana pun kejayaan kita, Allahlah yang Maha hebat dan menganugerahkan kejayaan kepada kita.
Suatu ketika saya mengarah drama di sebuah kampung yang sering digunakan sebagai lokasi penerbitan drama di tanahair kita. Seperti biasa di dalam mana-mana produksi yang saya terlibat sebagai penerbit atau pengarah, bersolat jemaah merupakan sebahagian daripada kebiasaan dan kewajipan yang menjadi amalan kami sepejabat. Namun bagi orang kampung kata mereka inilah kali pertama mereka melihat krew, pelakon dan pengarah menunaikan solat secara berjemaah di tempat mereka.

Inilah persepsi dunia hiburan di mata masyarakat. Sebagai pengamal dan penggerak media Islam, kami cuba praktiskan budaya Islam di dalam kerjaya harian dan bukan sekadar retorik yang tidak berpijak di bumi nyata. Bercakap hebat di dalam drama tetapi di luar kita `berdrama’ dengan diri dan agama kita. Sesuatu yang memalukan dan berdosa.

Ketika menyiapkan penulisan ini, saya sedang bersiap-siap untuk memulakan penggambaran drama bersiri CINTA MADINAH adaptasi daripada novel saya Cinta Madinah yang memenangi hadiah karya sastera Utusan pada tahun 2000. Saya berdoa mudah-mudahan cinta Madinah dapat memberi pengajaran dan pendidikan kepada para penonton mengenai hakikat cinta yang sebenar.








.

1 comment:

marzukhi said...

LOKASI:NO.3 TAMAN MERGONG JAYA 2, ALOR STAR

KEMUDAHAN:
*3 BILIK TIDUR BERHAWA DINGIN
*2 BILIK AIR
*RUANG TAMU DAN RUANG MAKAN YANG SELESA
*LENGKAP PERALATAN MEMASAK
*PETI SEJUK
*TELEVISYEN
*RUANG PARKING YANG SELESA

KEMUDAHAN SAMPINGAN:

*2 MINIT BERJALAN KAKI KE PASARAYA TESCO
*3 MINIT DARI TERMINAL BAS SHAHAB PERDANA
*5 MINIT KE PUSAT BANDAR
*10 MINIT DARI TOL A.STAR SELATAN/UTARA
*13 MINIT KE JETI LANGKAWI(KUALA KEDAH)
*BERDEKATAN DENGAN MEDAN SELERA

HUBUNGI:MARZUKHI AHMAD;019-4807167/019-4527167
:EMAIL; mhs_collection@yahoo.com

harga dari serendah rm 50 semalam

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.