Wednesday, May 16, 2007

Catatan seorang yang belajar

Saat ini, wujud segelintir masyarakat yang memperjuangkan sastera sebagai pembebas ummah daripada kemelut hipokrasi pemerintah. Mereka gelar mereka sosialis. Mereka berasa merekalah pejuang kebenaran. Setiap ceruk yang dihuni, mereka laungkan suara kebebasan yang menuntut anjakan akal untuk menjadi umat bertamadun.

Namun, sayang sekali mereka tidak berpijak kepada dua sumber Tuhan iaitu al-Quran dan Sunnah. Malang lagi, mereka tidak pernah pun percaya (atau sengaja melumpuhkan fitrah rasa bertuhan dalam diri) bahawa keamanan, kebebasan, keadilan dan kesempurnaan yang dituntut itu hanyalah datang apabila manusia kembali kepada Allah dan rasulNya.

Mereka tidak percayakan Tuhan. Cukup akal yang memperjalankan diri dan prinsip mereka sebagai pejuang keadilan (kononnya).

Kepada mereka ini, tidakkah mereka mahu sekejap berhenti berlari (dibawa angin kepalsuan syaitan) dan mendongak sejenak ke langit lalu bertanya- apakah aku pernah meminta untuk dihidupkan sebagai manusia? Dan siapakah yang mencipta akan aku yang serba-serbi indah ini?

Jelasnya, manusia bahkan para makhluk yang lain tidak pernah menduga untuk menjadi sebahagian daripada isi bumi ini. Bahkan, apabila wujud sahaja di bumi (sebaik keluar dari perut ibu dan membuka mata) sudah tertanggunglah di atas pundak tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t.

Firman Allah Taala:
"Apakah kamu mengira Kami menciptakan kamu secara main-main dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah Raja Yang Sebenarnya, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Tuhan Arasy Yang Mulia."

Manusia dikurniakan akal fikiran bagi membezakannya dengan makhluk2 yang lain. Dengan kelebihan itu jelaslah bahawa tanggungjawab yang dipikul oleh manusia adalah lebih besar daripada sekalian makhluk. Apakah tanggungjawab itu? Ia jelas dinyatakan oleh Allah s.w.t,
" Tidak aku ciptakan sekalian jin dan manusia kecuali untuk menyembah dan beribadah kepadaKu."

Syed Qutb dalam kitabnya Fi Zilal al-Quran menyebut bahawa matlamat manusia yang lurus adalah berlangsung di atas matlamat yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai Tuhan dan Pencipta alam ini. Matlamat itu diwahyukan kepada para rasul untuk disampaikan kepada manusia (al-Quran) agar ia menjadi peta panduan hidup di dunia yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat (perkampungan abadi).

Firman Allah Taala:
"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan dari kalangan setiap umat itu seorang rasul, dan dia berkata kepada kaumnya: Hendaklah kamu semua menyembah Allah dan meninggalkan thagut (syaitan). Maka antara mereka ada yang menerima seruan itu (diberi hidayah) dan ada juga yang berhak ditimpa kesesatan (kerana keengganan mereka untuk beriman). Maka berjalanlah kamu di muka bumi ini dan lihatlah kesudahan umat-umat terdahulu yang telah mendustakan rasul-rasul mereka."

Jelasnya, Allah menciptakan manusia dengan kelebihan akal fikiran. Allah telah menetapkan matlamat hidup manusia di dunia dan akhirat. Allah menurunkan wahyu yang disampaikan oleh para rasul agar menjadi panduan kita menjalani kehidupan di dunia menuju akhirat. Dan tugas manusia adalah menjadi hamba dan khalifah Allah bukan selainnya.

semua itu menjadi intipati hidup manusia secara fitrahnya. Mengapa kaum ini menolak sedangkan al-Quran sudah terang-terang memaklumkan kebenaran?

Kerana hati mereka sudah buta mengenal kebenaran. Mereka membaca al-Quran cuma untuk menyelewengkan ajaran Islam yang sebenar. Bagaimana mungkin akal yang cetek dapat memahami bahasa Allah tanpa keimanan dan jiwa yang luhur? sedangkan mereka telahpun dirasuk oleh fahaman yang jauh menyimpang daripada Islam.

Firman Allah Taala:
"Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang beriman, padahal mereka memperdayakan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya."

No comments:

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.