Wednesday, May 16, 2007

Sastera Islam Dalam Kolum Penulisan Dakwah

Perbincangan tentang sastera Islam di Malaysia mula bergaung sekitar 1970-an apabila Shahnon Ahmad mempersoalkan tentang tema perjuangan ASAS 50 iaitu 'seni untuk masyarakat' dan 'seni untuk seni'. Beliau lebih ideal dengan konsep 'seni untuk Allah' dan 'berhikmah kepada manusia.' Gagasan ini mendapat perhatian ramai termasuk Kasim Ahmad, yang juga seorang tokoh sastera tanah air. Ketika itu, polemik tentang sastera Islam bertiup sekencang penubuhan aliran-aliran dakwah seperti ABIM, Al-Arqam, PAS, Perkim, Gapim dan orang-orang perseorangan. Namun, konsep sastera Islam masih belum mencapai garis panduan yang jelas dan mantap.

Walaubagaimanapun, terdapat sarjana-sarjana Melayu yang mula membuka mata mendasari sastera Islam sebaiknya. Mana Sikana, antara pelopor awal yang menghasilkan wacana sastera Islam. Buku beliau, Sastera Junjungan telah memperlihatkan sastera Islam sebagai alat pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak Islam. Menurutnya, Islamlah yang menambah dan memperkasakan kesusasteraan di alam Melayu. Keindahan Islam dan keagungan al-Quran telah membentuk kesusasteraan Islam menjadi aliran sastera terbaik dan tidak boleh ditandingi aliran sastera lain. Mana Sikana turut menyarankan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka agar menjadi pusat pengembangan sastera Islam sedunia.

Gagasan 'seni untuk Allah' yang dipelopori Shahnon Ahmad, mendorong ramai sarjana lain mendalami sastera Islam secara akademik sehingga timbul seruan agar penulis berkarya dengan nafas Islam serta menilainya dengan pandangan Islam. Pada tahun 1986, Mana Sikana menghasilkan teori sastera Islam Pengabdiaan atau Taabudiyah. Kemudian muncul pula teori Takmilah yang dikemukan oleh Shafie Abu Bakar dan Teori Pemikiran Islam oleh Yusof Hasan.

Sastera Islam terangkum dalam penulisan dakwah kerana misinya jelas sama iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Justeru, tugas ini bukan terpikul di bahu penulis semata-mata bahkan ia adalah tanggungjawab semua muslim untuk membawa masyarakat kembali kepada matlamat dakwah (ISLAM).
Sastera Islam Sastera Dakwah II

Penulisan sastera Islam adalah cabang penulisan dakwah kerana misinya sama iaitu mengajak kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran. Tugas dakwah bukanlah terpikul di pundak penulis semata tetapi menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk sama berusaha membawa masyarakat kepada ISLAM.

Oleh kerana sastera adalah medium yang cantik dan halus maka metodnya relevan mendepani zaman. Al-Quran misalnya menggunakan pendekatan sastera memujuk hati manusia kepada Allah. Kemantapan seni al-Quran tidak boleh ditandingi oleh mana-mana agama dan bangsa sejak ia diturunkan. Penulis tertarik untuk berkongsi petikan ayat al-Quran berkaitan hubungan suami isteri. Firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 223 bermaksud :
“Isteri-isteri kamu ibarat ladang tanaman maka datangilah tanah tempat bercucuk- tanamanmu seperti mana yang kamu kehendaki.”
Allah s.w.t menggunakan perkataan ‘ladang tanaman’ bagi menggambarkan peranan seorang isteri kepada suami. Bahkan dalam ayat ‘datangilah tanah tempat bercucuk tanamanmu’ sudah cukup bersopan untuk difahami manusia dengan fitrahnya. Ladang tanaman mencirikan sifat subur, indah dan lapang pada seorang wanita yang bertugas sebagai isteri dan ibu.


Dewasa ini, masyarakat Muslim berhadapan dengan cabaran sengit daripada pihak musuh dari pelbagai penjuru. Justeru, persiapan sastera Islam perlu ditampilkan secara agresif, analitikal dan berterusan khususnya terhadap para remaja yang berpendidikan moden pada hari ini. Mereka mahukan Islam itu ditonjolkan sebagai agama yang ideal, saintifik, rasional, dan praktikal serta dapat dibanggakan.

Asas-asas membangunkan sastera dakwah dalam kolum ini berpaksikan pada tiga elemen utama iaitu penulis, karya dan pembaca.

PENULIS
Beliau bertindak sebagai da’ie yang memimpin masyarakt (pembaca) kembali mendasari matlamat (ISLAM) dengan pembacaan yang membangunkan minda serta mengukuhkan sahsiah (akidah).
(Bersambung)

1 comment:

rizuan mh said...

mohon izin untuk menyalin dan menggunakan entry saudari yg ini kerana saya sedang mencari bahan yg berkaitan dengan sastera Islam.terima kasih..jazakallah....

Seorang yang menyimpan impian seperti orang lain

My photo
Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang anak kepada ibubapanya yang sabar. seorang kakak kepada 10 adik yang kaletah dan comel-comel. Seorang yang selalu berusaha. Seorang yang pernah jatuh. Seorang yang ada baik dan buruk dan selalu memperbaiki dirinya dengan impian dan usaha. Seorang yang tahu dia seorang hamba dan khalifah. Bakal Mahasiswi Sarjana Universiti Malaya dalam bidang Strategi Dakwah dan media. Penulis dan penerbit yang baru2 belajar. hubunginya: Baitul Hasanah, Kampung Gajah Puteh, Padang Sira, 06100, Kodiang, Kedah. senyum_sokmo2@yahoo.com www.esasterawan.com (ummu hani) Mari tolong berikan hikmah ilmu kepada saya.